Wednesday, July 16

APAKAH CITA-CITA KAMU?

"Cita-cita saya menjadi seorang usahawan"
"Cita-cita saya menjadi polis."
"Saya nak jadi askar."
"Saya nak jadi pereka dalaman."

"Apa cita-cita kamu pula?"
"Err.. tak pasti," pelajar perempuan itu berbisik kepada saya.
"Tak pasti? Kamu sudah di sekolah menengah, belum pasti pekerjaaan apa yang menjadi pilihan? Ok, fikir dulu, nanti saya akan kembali kepada kamu."

Saya suka mendengar pelajar menyatakan cita-cita mereka secara terbuka. Ada pelajar yang memberitahu dengan perlahan, dan ada yang tersipu-sipu malu. Saya masih menanti kehadiran pelajar Melayu yang akan menyatakan kepada saya cita-citanya dan visi hidupnya dengan kuat, lancar dan penuh keyakinan.

Kebiasaannya pelajar yang bijak dan sudah mempunyai visi sendiri untuk masa depannya(tahap cemerlang) akan berdiri dengan penuh yakin sambil memberitahu kepada semua pendengar akan cita-citanya.

Mengapa menyatakan cita-cita itu penting?
Menyatakan secara terbuka akan cita-cita sendiri bermakna mengukuhkan pendirian bahawa itulah pekerjaan pada masa depan yang diidamkan. Pelajar dapat membayangkan dirinya berada dalam kedudukan tersebut, iaitu sebagai seorang yang memberi sumbangan khas kepada masyarakat dalam pekerjaan yang dipilihnya. Secara tidak langsung, visualisasi ini akan menjadi daya penggerak utama kepada pelajar untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajarannya dengan harapan akan berjaya mencapai cita-cita itu.

"Kegagalan untuk merancang bermakna merancang untuk gagal," begitulah yang sering saya beritahu pelajar.

Malangnya hari ni pelajar jarang menyatakan cita-cita mereka. Cita-cita seseorang pelajar bagaikan satu rahsia yang tidak harus didedahkan kepada pengetahuan umum, sehingga hendak menyebutnya pun mengambil masa yang agak lama. Maka tidak hairanlah sekiranya pelajar kita, terutamanya pelajar Melayu (maaf, ini berdasarkan pemerhatian saya di sekolah dan universiti) yang masih tidak tahu hala tuju mereka selepas tamat pengajian di Tingkatan 5. Malah ada yang masih terumbang-ambing walaupun sudah hampir tamat pengajian universiti; belum pasti pekerjaan apakah yang hendak dipohon dan masih belum mencari pekerjaan. Alahai, pelajar kita...

Saya masih ingat lagi dari kecil, saya sudah bertekad menjadi seorang guru. Itulah pekerjaan yang sering disebut oleh Tok. Saya pula memilih bidang ini kerana memberi peluang saya menggunakan pelbagai kemahiran yang ada. Di antaranya adalah kemahiran berkomunikasi, melukis, menyanyi, berlakon, mengarang, berucap, menghias, di samping mengajar. Setiap tahun dalam kad 001 rekod pelajar, itulah pilihan pekerjaan saya. Saya suka dengan cabaran yang ada dalam bidang perguruan, dengan rutin pekerjaan yang sering berubah-ubah mengikut keadaan dalam sesebuah sekolah, serta cabaran memberi ilmu kepada pelajar yang belum mahir.

Biarpun kata orang bahawa pekerjaan sebagai guru ini menyeksakan, saya tetap memilih bidang ini berbanding pekerjaan lain yang menawarkan gaji yang lebih tinggi. Di dalam kelas, sayalah raja dan saya mempunyai kuasa untuk mengubah masa depan setiap pelajar itu sama ada menjadi lebih baik atau lebih buruk. Sebagai guru, saya boleh menanam minat pelajar atau membunuh minat mereka perlahan-lahan dengan cara saya mengajar. Sumbangan saya adalah lebih bermakna kerana masa depan manusia dan negara terletak dalam tangan saya setiap kali saya mengajar dengan baik seseorang pelajar sehingga dia berjaya.

Hairan, sekarang jarang sekali ada pelajar yang bercita-cita menjadi guru.
Sudah hampir pupuskah golongan yang memilih guru sebagai opsyen utama?
Atau pilihan menjadi guru hanya untuk mereka yang gagal mendapat pekerjaan yang "lebih baik"? Adakah bidang perguruan sudah menjadi pilihan terakhir para graduan, yang tidak pernah terlintas dalam pemikiran mereka untuk menjadi guru semasa mereka menuntut di universiti?

"Cikgu, apa cita-cita cikgu pula?"
Tiba-tiba seorang pelajar lelaki Tingkatan 5 menyoal saya.
Kawan-kawannya memandang saya dengan penuh minat. Menanti jawapan saya. Saya tersenyum. Itulah jenis pelajar yang saya suka; berani bertanya soalan yang relevan.
"Cita-cita saya adalah menjadi guru yang cemerlang dalam mengajar pelajar saya sehingga mereka berjaya dalam pelajaran."
Mereka mengangguk tanda setuju. Ada juga yang bertepuk tangan.
"InsyaAllah..." saya tamatkan sesi perkenalan diri dengan pelajar kelas itu.

3 comments:

  1. Assalamualaikum Adik Alya,

    Terkenang abang masa sekolah rendah dahulu. Masa tu bila cikgu tanya apa cita-cita kami, semua kawan-kawan abang mempunyai cita-cita yang hebat-hebat belaka. Ada yang ingin jadi Perdana Menteri, Doktor, Peguam, Guru, Pemandu Kapalterbang dan sebagainya.

    Namun tidak ada yang bercita-cita menjadi penyanyi dan bintang filem. Mengkin masyarakat masa itu sangat konservetif dan menganggap penyanyi dan bintang filem itu hina dan tidak bermaruah.

    Zaman telah berubah, suasana telah bertukar. Kini ramai yang tidak malu dan tidak segan, bercita-cita menjadi penyanyi dan bintang filem.. superstar dan megastar!

    ReplyDelete
  2. semasa kecik2 dulu, saya bercita2 nak jadi seorang yang lain dari yg lain...

    kalau kwn2 dah chop utk jadi tentera, saintis, angkasawan, arkitek, cikgu + apa2..

    tahu sy pilih apa?
    jwpan sy = sy mahu jadi arkitek yang boleh jadi saintis yang boleh jadi angkasawan yang boleh jadi lawyer yang boleh jadi cikgu yg boleh jadi bla bla bla...

    hehe..lain kan sy dari yg lain?

    ReplyDelete
  3. Waalaikumussalam,
    Abg Rafas(hehe, dah biasa gelaran ni), mereka yg nak jadi penyanyi & artiste2 tu mungkin hanya memandang dari satu sudut saja, iaitu glamor & wang! Belum sedar bahawa hanya 2% saja yg berjaya dalam karier sbg penyanyi.

    Sarell,
    Saya sudah pun menjadi cikgu yg juga jadi part-time pelukis, pereka dalaman kelas, pelakon, penyanyi, pengacara, pengasuh, jururawat, pakar motivasi,dll juga is3 yg jadi surirumah, tukang masak, tukang kebun, tukang jahit, dll... heheheee

    ReplyDelete