"Ini tentu kali pertama berpuasa, ya?" Saya pernah ditanya begitu oleh ramai orang ketika masuknya bulan Ramadhan 2006, tahun pertama saya bergelar orang Islam.
Saya tersenyum.
"Tak juga. Saya sudah beberapa kali berpuasa sunat sebelum masuk bulan Ramadhan ni."
Seronok juga melihat perubahan pada wajah mereka, hehehee.
Puasa pertama saya berlaku pada Ramadhan 2005. Saya sudah berniat memeluk Islam tetapi pengalaman lampau menyebabkan saya masih was-was sama ada waktu tersebut adalah yang paling sesuai untuk saya meneruskan hasrat saya itu.
Apakah caranya untuk mendapat kepastian sedangkan saya masih dalam keadaan 'bersembunyi'?
Ahhh... puasa. Kebetulan waktu itu bulan Ramadhan baru bermula.
"Ya Allah, berikanlah kekuatan untuk saya berpuasa penuh sebagai tanda urusan pengislaman saya nanti akan berjalan lancar, dengan izinMu."
Saya merancang dengan teliti. Teman sebilik saya (kami menetap di asrama ketika itu) yang beragama Hindu hanya akan pulang ke asrama pada pagi Isnin. Oleh yang demikian, saya mengambil keputusan memulakan puasa pada hari Isnin supaya tidak mengganggunya. Tidak terbongkar rahsia saya. Saya bersahur dengan roti bun dan secawan kopi. Apabila teman sebilik saya tiba, saya sudahpun memulakan puasa.
Apakah perasaan saya? Saya tenang sahaja.
Pada pagi itu, saya ke kuliah seperti biasa. Bezanya saya tidak membawa bekas minuman. Pada waktu rehat, saya ke pusat sumber dengan alasan mencari bahan, supaya kawan-kawan tidak bertanya mengapa saya tidak ke kafe seperti kebiasaanya. Tamatnya kuliah, saya pulang ke asrama tetapi kembali ke pusat sumber selepas waktu Zohor. Saya perlu menjauhi bilik saya yang penuh dengan bahan makanan dan minuman.
"Peritnya tekak!"
Tekak saya yang kering kerana tidak minum air beberapa jam lamanya terasa amat pedih. Bagaikan api yang membakar tekak. Saya tetap bertahan. Anehnya keadaan itu beransur hilang setibanya saya di pejabat pensyarah saya.
"Ha, nak ke mana tu?" Saya ditegur pensyarah.
"Nak ke pusat sumber."
"Rajin, tak tidur petang ker?"
"Saya tak tidur petang, Sir. "
Pensyarah itu mengangguk.
Di antara cabaran berpuasa sembunyi-sembunyi itu adalah masalah hendak berbuka. Apabila pusat sumber itu ditutup, saya menuju ke kafe pula. Saya membeli kuih-muih dan sebungkus nasi berlauk untuk berbuka puasa di asrama. Alhamdulillah, semua urusan saya berjalan lancar. Saya berjaya berbuka puasa pada masanya, walaupun seorang diri.
Kata orang, berpuasa itu meletihkan. Kawan-kawan Melayu saya ramai yang kelihatan lesu ke kuliah ketika berpuasa. Saya pula terbalik. Saya amat bertenaga ketika berpuasa pada hari itu, walaupun hanya berbekalkan roti sewaktu sahur. Seolah-olah saya mendapat sumber tenaga yang kuat untuk meneruskan kerja saya sepajang hari, walaupun tidak menjamah makanan dan minuman semenjak subuh.
Alhamdulillah, saya berjaya berpuasa penuh selama 3 hari berturut-turut ketika bulan Ramadhan itu tanpa pengetahuan sesiapapun. Malah teman sebilik saya sendiri tidak sedar bahawa saya bangun bersahurkan roti dan kopi sebelum subuh. Keadaan sembunyi-sembunyi pada ketika itu tidak mengizinkan saya untuk terus berpuasa seperti Muslimin dan Muslimah lain, kerana saya tidak mahu niat saya memeluk Islam diketahui orang lain. Kecoh satu institusi nanti.
Selama 3 hari itu, saya sungguh bertenaga sehingga kawan-kawan sendiri tidak sedar bahawa sebenarnya saya berpuasa seperti orang Islam yang lain. 3 hari tersebut sudah cukup untuk meyakinkan saya bahawa niat saya memeluk Islam tidak lama lagi akan diperkenankanNya.
Selepas memeluk Islam dengan sahnya pada 12 Julai, saya meneruskan amalan berpuasa sunat pula. Alhamdulillah, setakat ini berpuasa bukanlah satu masalah besar kepada saya.
Alhamdullilah... Seronok saya baca tentang pengalaman Aliya. Semoga Allah sentiasa mempermudahkan urusan Aliya, dunia dan akhirat :-)
ReplyDeleteSalam ziarah.
ReplyDeleteJika berpeluang, layari laman MENGENAL ISLAM http://mengenalislam.blogspot.com dan MENGAPA ISLAM http://mengapaislam.wordpress.com/.
Pergandingan bahu semua umat Islam amat diharapkan.
Wassalam.
Waalaikumusalam Warahmatullah,
ReplyDeleteTerima kasih, Aieen..ameen. I'm positive about life.
Ahmad muslim, terima kasih kerana sudi membaca blog saya. Teruskan menulis dan berdakwah, semoga segala usaha kita diberkatiNya
Salam Puan Aliya,
ReplyDeleteBiasanya orang makan sembunyi-sembunyi [mencuri-curi makan] di bulan Ramadhan. Tapi Puan Aliya puasa sembunyi-sembunyi di bulan Ramadhan.
Bulan Ramadhan akan menjelang tak lama lagi. Pemandangan yang biasa dilihat, orang yang biasa sarapan pagi di kedai berseorangan, kini datang bawa anak atau cucu untuk beli sarapan bungkus bawa balik. Nak kata tak puasa, tak berani pula sebab bawa anak.
Menurut penyelidikan wartawan Mastika, memang ramai orang yang tak puasa di bulan Ramadhan.
Waaaikumussalam Warahmatullah,
ReplyDeleteEncik Halim,
Alangkah ruginya orang Islam yang tidak mahu berpuasa pada bulan Ramadhan yang penuh berkat. Rugi di akhirat, juga di dunia. Bukan sahaja badan menajdi kurang sihat, iman juga semakin susut dan diri akan mudah dihasuti syaitan..bukankah begitu?
Saya memang "look forward" untuk berpuasa 'terang-terang' kali ketiga dalam bulan Ramadhan nanti :)InsyaAllah
Betul tu Puan Aliya. Semoga Allah mengizinkan kita untuk menemui Ramadhan kali ini.
ReplyDeletePlease pray for those who'll have to fast in secret, or can't fast at all :/
ReplyDelete