Monday, July 14

BUKUKU

"Banyaknya barang Kak Aliya!"
Itulah komen yang biasa diberikan oleh adik-adik yang memasuki bilik asrama saya. Sebahagian daripada barang yang ada di dalam bilik itu adalah buku. Buku di rak, buku dalam kotak, juga buku dalam laci. Tamat pengajian, hampir 5 buah kotak besar perlu disediakan semata-mata untuk menyimpan buku.

Saya penggemar buku. Saya juga pengumpul buku. Berkotak-kotak buku mengiringi saya berpindah dari rumah ke rumah, dan sebuah negeri ke negeri yang lain. Bukannya mudah memindahkan kotak-kotak buku yang berat tetapi saya tidak sanggup meninggalkan buku-buku yang saya anggap penting itu. Itulah harta saya.

Saya masih ingat akan buku yang terawal saya baca sebelum menjejakkan kaki ke tadika lagi. Buku yang besar atau yang orang katakan "Big Book" itu merupakan sebuah buku Nursery Rhymes kanak-kanak dalam Bahasa Inggeris. Setiap helaian buku dibuat daripada kadbod tebal yang tahan lasak, dan setiap muka surat pula mempunyai ilustrasi yang cantik dan berwarna-warni. Sebuah puisi kanak-kanak sahaja seperti 'Jack and Jill', "Humpty Dumpty' dan 'Little Blue Boy' dicetak di bahagian bawah setiap muka surat buku. Saya suka gambar-gambar yang cantik dan dilukis dengan teliti untuk menggambarkan setiap puisi dalam buku tersebut. Humpty Dumpty yang berkepala besar sedang duduk di atas dinding berwarna merah, dan di bawahnya terdapat ramai askar-askar berdiri tegak menunggu arahan. Ia menambah minat saya untuk membaca. Dengan menggunakan buku itulah agaknya saya belajar membaca Bahasa Inggeris.

Saya amat bertuah kerana Pak Su saya bekerja sebagai seorang jurutera kapal terbang, yang sering melakukan penerbangan ke London. Dialah yang menjadi sumber utama bahan bacaan Bahasa Inggeris saya. Setiap kali dia pulang dari London, pasti ada buku yang akan dihadiahkan kepada saya; buku-buku Fairy Tales yang penuh dengan ilustrasi menarik serta Collection of Short Stories untuk remaja. Kesemua buku tersebut tidak terdapat dalam pasaran tempatan.

Saya mula menggemari buku-buku cerita Bahasa Melayu apabila berada dalam Darjah 2. Guru kelas, Cikgu Hasnah (masih ingat lagi nama setiap guru kelas saya dari Darjah 1 hingga Tingkatan 6, hehehe) menyimpan koleksi buku cerita bersiri di dalam almari kelas. Sayalah orang yang paling laju menyiapkan kerja bertulis ketika itu kerana ketagih membaca Siri Penyiasatan Salma atau Nancy Drews. Boleh dikatakan saya habis membaca kesemua buku dalam almari yang mengisahkan penyiasatan Salma, Ah Moi dan Kumari pada tahun itu juga.

Ibu bapa kawan-kawan saya memberi pelbagai jenis hadiah sempena kejayaan dalam penilaian Tahun 5 (UPSR zaman saya). Mak pula hanya perlu membawa saya ke kedai buku. Satu A bernilai 2 buah buku cerita. Saya berjaya membawa balik 10 buah buku karangan Enid Blyton. Ketika itu saya sudah mempunyai hampir 100 buah judul buku cerita dalam koleksi peribadi saya.

"Bolehlah buka kedai buku second-hand nanti," Tok pernah memberi cadangan apabila buku mencapai angka 200 ketika saya di Tingkatan 3.

Saya masih suka membelek buku baru yang dibuka plastiknya. Bau buku baru memang sesuatu bau yang unik.

Kini saya terpaksa lebih berhati-hati membeli buku untu koleksi peribadi. Kategori buku sudah bertambah semenjak beragama Islam. Sekarang pembelian buku terbahagi kepada bestseller, buku agama Islam, buku ilmiah, buku hobi, dan buku rujukan untuk pengajaran. Harga buku pula agak mahal sekarang, maka terpaksalah memilih masa yang sesuai untuk membeli-belah. Nampaknya kena tambah almari buku pula tidak lama lagi, heheheee.

Kasihan saya melihat pelajar yang tidak gemar membaca.

1 comment:

  1. Hobi kita sama ya adik Alya.

    Koleksi buku abang boleh tahan juga. Dah boleh buka perpustakaan mini.

    tapi kan... abang pernah terbeli buku yang sama tajuknya sampai dua buah.... takut buku tu habis dibeli orang kononnya....hehehe

    ReplyDelete