Saturday, July 26

BAHASA MELAYU, ORANG MELAYU

"Cikgu, pergi tandas.."
"Cikgu tak nak pergi tandas..." saya terus menulis di papan tulis.
Dia menggaru kepala. "Errr, saya nak pergi tandas."
"Ha, katakanlah bahawa kamu hendak pergi tandas. Gunakan bahasa Melayu dengan betul. Tadi kamu suruh cikgu pergi tandas; cikgu tak mahu ke tandas."
Dia tersengih malu sambil mengambil pas kebenaran keluar yang saya hulurkan. Pelajar-pelajar lain ketawa. Walaupun sudah saya tegur semenjak hari pertama saya mengajar mereka, masih ada pelajar yang lupa. Bukan mudah untuk membuang tabiat lama, terutama tabiat buruk.

Kalau pelajar di sekolah rendah melakukan kesilapan ketika berbahasa Melayu,mereka masih boleh dimaafkan. Masalahnya berlaku apabila pelajar-pelajar Melayu yang sudah remaja malas menggunakan bahasa dengan betul. Selagi boleh diringkaskan, mereka akan gunakan.

"Leon," saya memanggil nama pelajar yang terpampang di dinding.
Mereka sekelas ketawa.
"Apa yang silap?" saya bertanya.
"Lee-onn, cikgu. Not Leon," terang seorang pelajar.
"Sekurang-kurangnya saya tak panggil Lion."
'Siapa nama penuh kamu?" saya bertanya kepada pelajar yang bernama glamour Leon itu.
"Norliana bt Ahmad."
"Oh, Cahaya kelembutan. Kenapa panggil diri Lee-onn pula? Nama glamour yer.. Lee-onn? Ahh, cikgu panggil NurLiana sahajalah, nama yang sedap dan baik maknanya."
Dia tersipu-sipu malu.

"A'kum..."
"Apa maksud a'kum? Perkataan baru?" saya sengaja bertanya kepada pelajar.
"Assalamualaikum, cikgu.."
"Oh, cikgu sangka perkataan baru yang cikgu Bahasa Melayu kamu ajarkan. Mengapa tak kata Assalamualaikum? Susahkah nak sebut?"
"Taklah cikgu. A'kum tu singkatan."
"Bukankah lebih baik jika kita beri salam dengan elok? Katakan assalamualaikum yang bermaksud sejahtera ke atas kamu, bukannya a'kum yang tiada maksudnya dalam bahasa Arab. Keikhlasan kita memberi salam dengan cara yang baik kepada orang Islam yang lain akan memberi pahala kepada kita sendiri."
Mereka tunduk diam. Saya teruskan mengajar. Tidak perlu berleter panjang kepada pelajar remaja.

Pelajar Melayu selalu menganggap Bahasa Melayu tidak perlu dipelajari dengan serius kerana ia bahasa bangsa sendiri. Malah ramai yang tidak membuat ulangkaji langsng untuk mata pelajaran Bahasa Melayu kerana beranggapan 'pasti lulus'. Akibatnya mereka sendiri yang rugi. Pelajar bangsa lain menumpukan perhatian kepada mata pelajaran Bahasa Melayu kerana mereka sedar bahawa masih banyak yang mereka tidak tahu; maklumlah bukan bahasa ibunda. Akhirnya pelajar Melayu hanya lulus kertas Bahasa Melayu dengan markah 'cukup makan' sedangkan pelajar bangsa lain yang gigih berusaha berjaya mendapat gred A untuk kertas yang sama. Alangkah ruginya.


"Anak-anak kita didik dengan baik di rumah tetapi bila masuk ke Tahun Satu, mereka pulang ke rumah dengan bercakap bahasa 'kotor' pula. Sakit hati kita yang mendengar. Kita pula yang terpaksa 'cuci' semula segala bahasa buruk yang mereka belajar daripada kawan-kawan di sekolah," rungut seorang ibu berbangsa Melayu kepada saya.

Saya mengangguk tanda setuju. Saya sendiri pernah dimarahi oleh mak ketika saya belajar di Tahun 2 dahulu. Saya pulang ke rumah lalu memanggil anak jiran "babi hutan" apabila bergaduh dengannya, satu istilah yang saya belajar ketika mendengar kawan-kawan baru di sekolah gelarkan 'musuh-musuh' mereka. Saya tidak faham maksud istilah itu tetapi saya sedar ia akan menyebabkan orang yang dikenakan itu marah. Lagi marah musuh itu, lagi seronok saya sebutkan perkataan tersebut, huhuhuu. Itu kisah dahulu.

Kini anak-anak pula yang suka menggunakan perkataan-perkataan yang kita anggap tidak sopan. Seringkali mereka akan bergurau-senda memanggil satu sama lain dengan bahasa yang kurang manis didengari. Lama-kelamaan mereka akan memilih perkataan yang lebih teruk, maka akan berlakulah pergaduhan.

Tak perlulah saya sebut perkataan-perkataan tersebut di sini. Semuanya perkataan yang jarang tertulis di buku, tidak manis didengari dan ada yang berunsur lucah. Semua bangsa ada bahasa yang tidak manis didengari, yang sering digunakan ketika memarahi orang lain. Masalahnya Bahasa Melayu sebagai bahasa yang difahami oleh rakyat Malaysia menyebabkan semua perkataan yang keluar dari mulut orang Melayu ini mungkin menjadi ikutan orang bangsa lain yang kurang memahami penggunaannya mengikut konteks.

"Gunakanlah bahasa yang betul dan yang sopan. Ingat, segala yang kita sebut itu akan dicatat oleh malaikat dan didedahkan di akhirat nanti." Itu sahaja yang saya katakan kepada pelajar yang suka menggunakan bahasa kasar.

Kadang-kadang saya tidak merancang untuk menasihati pelajar dengan menggunakan pendekatan agama tetapi tiba-tiba sahaja pendekatan itu juga yang terpilih secara tidak langsung, heheheee. Selagi pelajar masih mahu mendengar dan insyaAllah mengubah ke arah kebaikan, mengapa tidak, kan?

'Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik...'(surah an-Nahl:125)

image: http://www.ptshirt.com/pix/Pets-Cats-See-Hear-Speak-No-Evil.jpg

2 comments:

  1. Assalamualaikum Aliya,

    Baca tulisan Aliya kali ni teringatkan pengalaman masa masih mengajar dulu. Betul, pelajar Melayu selalu ambil mudah matapelajaran Bahasa Melayu, akibatnya lulus sekadar cukup makan. Satu lagi mereka malas membaca untuk menajamkan pemikiran dan pengetahuan mereka serta membolehkan mereka membina ayat2 yang betul tatabahasanya. Saya ambil SPM dua kali (masa tu banyak berangan kut....hehehe) tapi dua2 keputusan untuk Bahasa Melayu saya dapat A1. Bukan nak memuji diri, tapi saya rasa kegemaran membaca buku2 @ majalah2 yang baik (bukan majalah hiburan) banyak membantu.

    Tentang perkataan yang tidak sopan tu pun saya mengalaminya dengan pelajar2 saya dahulu. Apa yang boleh dibuat sekadar nasihatlah. Anak2 saya pun kadang2 ada perkataan yang kurang sopan yang disebutkan, walaupun kami tidak menyebutnya di rumah. Pun nasihat juga yang boleh diberikan. Cuma kadang2 hairan juga ye, kenapa perkataan2 yang kurang sopan tu yang seronok sangat mereka sebutkan, sedangkan banyak perkataan yang baik2 yang juga mereka dengar tapi tidak mahu menyebutnya...

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam Umi Jah,
    Wow, A1 dua kali? hebat2..memang membaca buku2 dan majalah banyak membantu. Mak saya sanggup melanggan Berita Harian selama setahun semata-mata untuk membolehkan saya mudah mendapat bahan sumber untuk menulis karangan BM SPM (dapatlah C3, tu pun dimarahi cikgu kerana menjangka saya dapt A, hehehe). Sebenarnya lagi kita marah anak2 & pelajar yang menggunakan bahasa kasar, lagi mereka akan guna semula. Seronok tengok orang dewasa marah kott. Biasanya saya tegas dengan pelajar,kalau saya dengar, mereka akan didenda dengan sesuatu yng tidak disukai mereka. Sekarang rotan-logy dan marah-logy kurang berkesan, psychology yang terpaksa digunakan, Bila itu juga tak berkesan, denda-logy laaa ubatnya, huhuhuuu

    ReplyDelete