Wednesday, January 27

MENGAPA TAK TERUS TERANG SAJA?

"Mengapa dia tak cakap terus atau datang berjumpa aku?"
Pengarahnya menggelengkan kepala, tanda tidak tahu. Dia hanya bertindak sebagai penyampai maklumat dan penerima aduan, dan kini bertindak sebagai penasihat.
Amira terkilan. Sedikit marah tetapi masih dapat dikawal. Perkara kecil yang boleh diselesaikan dengan mudah menjadi besar apabila ada pihak yang tidak berpuas hati dan sebagainya mengambil tindakan mendiamkan diri dan senyum bila berhadapan dengannya, tetapi membuat pelbagai aduan di belakang [back-biting] kepada pihak atasan. Umpatan mereka juga telah sampai kepada pengetahuan beliau.
Mengapa mereka tidak menemuinya dan bertanya, untuk mendapatkan jawapan yang paling tepat? Mengapa membuat spekulasi dan mengumpatnya?
Yang menghairankan, dia sendiri sudahpun memaklumkan tentang masalah di luar kawalan yang sedang dihadapinya itu kepada rakan-rakan sekerja yang bertanya. Sudah pun direkodkan secara bertulis untuk pengetahuan umum.
Mengapa ada pula yang bertindak seolah-olah tiada masalah dengannya tetapi mengadu kepada pihak lain tentang 'kelemahan'nya?
Apa tujuan mereka?
Syukurlah pihak atasan memahami situasi yang sebenarnya. Mereka mengajaknya berbincang di dalam pejabat.

"Siapa pula yang membuat aduan itu? Siapa yang membawa cerita itu? Ada musuh dalam selimut, yang dengki dengan akukah?" Amira tertanya-tanya dan membayangkan siapa yang mungkin berniat jahat terhadapnya.
Setahunya, dia tidak pernah bermusuhan dengan sesiapapun di pejabatnya.
Kerjanya memuaskan malah boleh dibanggakan. Cuma satu kekurangan tetapi kekurangan itu di luar kawalannya. Dan kekurangan itu menimbulkan satu keadaan yang telah menjadi bahan 'serangan' untuk diketengahkan oleh mereka yang lain. Mereka tidak tahu bahawa sebenarnya dia telah berusaha agar tidak perlu menyusahkan rakan-rakan sekerjanya yang lain yang tentu akan ditambah bebanan kerja masing-masing jika dia terpaksa bercuti panjang.
Kalau boleh, mahu dijeritnya kuat-kuat untuk melepaskan geram tetapi Amira masih dapat mengawal dirinya. Dia mengucapkan terima kasih kepada Pengarahnya yang prihatin kerana memaklumkan perkara itu kepadanya dan berjanji untuk berusaha memperbaiki prestasi kerjanya supaya tidak mengundang fitnah lain.

Keluar dari pejabat ketuanya, Amira masih mengukir senyuman. Aduan mereka itu tidak akan melemahkan semangatnya untuk bekerja di situ, apatah lagi untuk membuatnya bersedih atau marah. Jauh sekali untuk membalas dendam.
Sebaliknya dia bersyukur kepada Allah swt yang memberinya hidayah untuk mengetahui sikap sebenar segolongan rakan sekerja yang seagama dengannya, yang berurusan dengannya, juga yang bersikap hipokrit talam dua muka dalam pergaulan seharian dengannya. Setahunya dia tidak pernah pun mengganggu atau menyakiti hati sesiapa pun di tempat kerjanya.
Apa susahnya untuk berjumpa dan berbincang muka ke muka, tentang kekurangannya itu, jika itu telah mengganggu mereka sehingga membuat aduan itu?
Ahhh, dia tidak berminat untuk tahu siapa mereka. Baginya mereka adalah golongan yang rugi. Biarlah Allah swt yang mengadili.

Ironinya, setiap tahun menjelang Syawal, masing-masing akan tampil bersalaman dengan semua orang untuk memohon maaf zahir dan batin. Mengapakah perlu tunggu sehingga saat itu [yang mungkin tak akan kunjung tiba tahun ini] sedangkan kesalahan yang dilakukan itu boleh dielakkan jikalau pihak yang mengadu itu bersikap proaktif dan berani mengemukakan aduan mereka itu terus kepadanya, atau pun sekurang-kurangnya menegurnya terlebih dahulu sebelum berjumpa dengan pihak atasan?
Atau adakah ada pihak yang beranggapan tidak mengapa buat sikit silap terhadap orang lain kerana boleh meminta maaf daripadanya kemudian? Bagaimana jika mangsa itu tidak mahu memaafkan?
Bagi Amirah, keadaan itu sudah banyak kali dihadapinya semenjak bekerja. Ramai yang tidak ikhlas; berani bercakap di belakang tetapi menjadi bisu bila berhadapan.
Jikalau dia bersemuka dengan mereka yang disyaki membuat aduan-aduan itu dan yang mengumpatnya, mahukah mereka mengaku?

"Tak apa, tak apa,"Amira terus tersenyum. "Banyaknya pahala yang aku akan dapat secara percuma, huhuhu... terima kasih nohhhh... "

2 comments:

  1. Itulah hidup dan kerjaya kita, sentiasa diduga walaupun telah membuat yang terbaik. Kata bos saya dulu, "shit happens!".

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum aliff,
    Sabar jer, apa-apa pun tidaklah seteruk jika disakiti/dimarahi oleh orang tersayang.

    ReplyDelete