Sunday, January 17

KENDURI JIRAN

Alhamdulillah semalam saya berpeluang menghadiri kenduri perkahwinan anak jiran yang tinggal beberapa blok dari rumah saya. Kad jemputan dihantar ke rumah. Lokasi kenduri di rumahnya sendiri - rumah teres 2 tingkat. Khemah-khemah didirikan di sepanjang jalan dari rumahnya di satu hujung sehingga ke hujung yang lagi satu dalam satu deret rumah teres tersebut.
Saya kagum.Bagaimanakah mereka melakukannya sedangkan jalan sederet itu dikongsi bersama dengan jiran-jiran lain?
Tak bisingkah jiran-jiran lain yang perlu menumpangkan tempat mereka itu? Tidak boleh meletakkan kereta di hadapan rumah, kalau letak pun tidak boleh dipandu keluar dari pagi sehingga khemah diturunkan semula. Orang ramai yang tidak dikenali lalu lalang di hadapan rumah, khemah pula didirikan betul-betul di hadapan pintu pagar. Untuk kenduri perkahwinan itu berjalan seperti yang dirancang, tentu sekali jiran-jirannya perlu berkorban.
Saya meninjau bukan sahaja rumah pengantin bahkan rumah-rumah jiran semasa makan di bawah khemah kenduri. Kelihatan semua agak sibuk, jiran-jiran sebelah rumah pengantin menumpangkan halaman rumah mereka untuk kemudahan caterer dan sebagainya. Jelas ada persemuafakatan yang begitu kukuh di kalangan mereka. Mungkin kerana semuanya beragama Islam, semua sudah lama berkenalan. Nmaun begitu, bagi saya, tidak mungkin jiran-jiran akan sudi membantu melainkan tuan rumah itu sendiri seorang yang baik hati, peramah dan disukai mereka.

Kalau jiran-jiran tersebut adalah orang Cina, saya rasa kemungkinan besar kenduri seperti itu tidak dapat dijalankan. Kebiasaanya jika tinggal di rumah teres atau rumah semi-D, hanya ruang di hadapan rumah sendiri yang dibenarkan untuk dipasang khemah,biasanya untuk perkahwinan atau kematian. Itupun hanya separuh jalan. Saya masih ingat, ketika melawat bekas abang ipar saya di Kuala Lumpur, dia terpaksa menghantar memo meminta maaf kepada jiran-jirannya, meminta maaf kerana kami telah meletakkan kereta di tepi rumah mereka. Jikalau meminta untuk mendirikan khemah di luar kawasan rumah mereka selama 12 jam, ohhh.. jangan haraplah!

Tahniah kepada jiran saya yang berjaya menganjurkan kenduri perkahwinan anak mereka dengan baik, dan juga kepada jiran-jiran sebelah rumahnya yang sudi membantu. Alhamdulillah cuaca yang baik membolehkan majlis berjalan lancar. Semoga berbahagia sehingga ke akhir hayat kepada pasangan pengantin yang diraikan.

6 comments:

  1. Assalamualaikum kak Aliya,

    Saya pun dah 2 kali hadiri majlis kahwin begini, kawasan rumah teres. Yang first tentunya kenduri kahwin saya sendiri di Penang. Jiran sebelah bukan malay. Tapi tumpang guna ruang depan rumah mereka. Tiada masalah.

    Yang baru, anak jiran sebelah rumah kami di Johor ni. Baru setahun jadi jiran. Mereka minta kebenaran tumpang ruang depan dan belakang rumah kami buat kerja. Jiran2 sini termasuk india dan cina. Rumah jiran tu dan kami, depan tu rumah orang india dan cina. Alhamdulillah tiada masalah mendirikan khemah. orang cina dan india pun ada yang datang kenduri tu. Sejuk hati tengok.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Cikgu.

    Kita tak dapat mengelak berhadapan dengan keadaan perlu berkorban sedikit sebanyak dengan memberi ruang kepada jiran jiran kita sekiranya perlu didalam hal hal kenduri kahwin, majlis keraian dan ketika berlaku kematian.

    Tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa, kita sangat sangat dituntut didalam ajaran Islam untuk memuliakan jiran kita dan membantu mereka ketika senang mahupun susah.

    Rakyat Malaysia terdiri dari pelbagai kaum, agama dan budaya.

    Sebaik mungkin hendak lah kita bersama sama memelihara semangat perpaduan diantara kita tanpa mengorbankan nilai nilai agama dan budaya masing masing.

    Hak jiran terhadap kita amat besar didalam ajaran Islam.

    Syukurlah jika dapat jiran prihatin.

    Selamat dunia akhirat.

    Insya Allah!

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum Puan,

    Saya sudah dua kali mengahwinkan anak. Tiap kali samalah keadaannya - menutup jalan bukan sahaja di hadapan rumah sendiri tetapi hadapan rumah-rumah jiran juga. Jiran-jiran faham akan keadaan ini. Hari-hari itu hari saya, esok hari mereka pula.
    Pernah terjadi (bukan di taman perumahan saya) dua kenduri kahwin di hari dan lorong yang sama kerana tiada muafakat. Ramai jemputan masuk khemah yang salah. Ada yang sedar hanya setelah selesai makan.
    Oleh itu muafakat perlu sebelum upacara kenduri lagi.

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam Sakinah,
    Memang sejuk hati kita bila melihat keadaan jiran-jiran yang hidup bermuafakat untuk sesuatu keraian.Malangnya bukan semua jiran begitu; ada yang boleh digelar jiran dari neraka. Mementingkan diri.
    Ada jiran (bukan Islam) yang membuang baki gulai di hadapan pintu pagar rumah tanpa sebab, dan ada yang menanggalkan tali yang diikat pada tembok yang dikongsi bersama.Hanya kesabaran tinggi yang dapat mengelakkan pergaduhan.
    Alhamdulillah, saya bertuah kerana dapat jiran-jiran yang baik setelah memeluk Islam.

    ReplyDelete
  5. Waalaikumussalam sifu,
    Benar, hak jiran sudah termaktub dalam agama Islam. Bersyukurlah mereka yang mendapat jiran yang baik-baik.

    ReplyDelete
  6. Waalaikumussalam En.Maarof,
    Huhu, memang kelam-kabut apabila jiran-jiran tidak ada persefahaman bukan?
    Bagi saya, keadaan jiran-jiran yang bermuafakat sehingga menjayakan majlis sebegitu memang amat terpuji. Keadaan ini tidak pernah saya lihat berlaku di kalangan orang bukan Melayu di tempat saya dahulu.

    ReplyDelete