Saturday, January 30

GONG XI DULU DAN SEKARANG

Dulu sebelum memeluk Islam, saya seperti isteri-isteri lain akan sibuk menyiapkan persiapan menjelang Tahun Baru Cina. Banyak yang perlu dilakukan, walaupun tidak membuat biskut. Selepas upacara sembahyang menghantar tuhan dapur [kitchen god] ke langit dengan hidangan kuih bakul yang manis melekit itu, bermulalah kerja membersih atau 'spring-cleaning'. Pantang ada kotoran dan sarang labah-labah, nanti dipercayai tidak akan ada ong atau tuah. Berleterlah Mak dan Nenek jikalau masih ada habuk yang kelihatan.

Saya masih ingat lagi, beberapa minggu sebelum perayaan, saya dan adik akan dikerah oleh Mak untuk membersihkan seluruh rumah, mencuci perabot rotan dan menukar langsir rumah. Kalau boleh semua alas sofa dan alas meja serta langsir ditukar kepada warna merah, merah jambu atau oren. Ceria sekali rumah dengan warna merah! Ketika itu juga, Nenek akan membeli set peralatan sembahyang yang baru seperti colok, lilin besar, dan sebagainya untuk upacara sembahyang. Ayah pula akan membawa balik colok panjang yang akan dibakar pada malam selepas makan besar.

Kalau berbanding dengan sambutan perayaan ketika saya di zaman kanak-kanak, nampaknya sekarang ini lebih banyak karenah dan kepercayaan mistik. Dahulu kami hanya dihidangkan dengan ramalan tahunan untuk setiap yang lahir pada tahun tertentu berdasarkan almanac dan pendapat ramai. Misalnya mereka yang lahir pada tahun monyet; adakah ia tahun yang baik untuknya atau perlu lebih berhati-hati agar tidak ditimpa malapetaka. Maklumlah pusingan dalam kalendar Cina adalah 12 tahun; setiap tahun diwakili oleh seekor binatang [tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam, anjing, babi].

Kini, konsep Feng Shui dan Astrologi yang semakin popular di kalangan masyarakat Cina Tao-Buddhist menampakkan trend untuk menghias rumah berdasarkan elemen-elemen tertentu pada tahun yang diraikan. Buku-buku astrologi untuk tahun 2010 dan feng shui 2010 sudah pun berlambak di pasaran. Pada zaman tok nenek saya, kami kurang mengambil berat tentang kedudukan terbaik mahupun kedudukan buruk dalam rumah untuk sesuatu tahun baru. Kini, ada pula pakar-pakar yang membuat teori bahawa kalau selalu duduk di satu bahagian di ruang tamu, boleh mendatangkan sial pada tahun itu, kerana itu kedudukan yang tidak baik. Teori itu diwar-warkan dalam majalah, suratkhabar dan juga tayangan astro. Ahhh, memang banyak teori yang dikemukakan, terpulanglah kepada masing-masing untuk percaya atau tidak. Yang pasti, keuntungan di tangan mereka yang menerbitkan buku dan mereka yang menjual barang-barang yang dinyatakan oleh pakar-pakar astrologi/feng shui itu sebagai boleh mendatangkan tuah serta melindungi daripada malapetaka.

Bukan itu sahaja sekarang ni, bahkan golongan peniaga nursery turut mencari keuntungan pada setiap tahun menjelangnya perayaan ini. Setiap tahun, ada sahaja pokok atau tumbuhan yang dikatakan membawa tuah kepada pemiliknya. Pada asalnya, pokok limau, dan bunga kekwa yang menjadi pilihan tetapi sekarang sudah banyak tumbuhan baru yang kononnya juga membawa tuah dan mempunyai maksud yang baik untuk dimiliki seperti azalea, orkid, batang buluh, bunga pussy willow[gambar], . Oleh kerana masyarakat Cina sukakan bunga menghiasi rumah pada Tahun Baru Cina, maka banyaklah pokok dan bunga-bungaan yang dibeli. Malangnya daripada pengalaman saya, kebanyakan tumbuhan berbunga itu akan mati selepas tamatnya perayaan ini.

Saya berhati-hati ketika membeli barangan untuk sambutan perayaan ini. Takut nanti tersilap beli dan menghias, sehingga boleh mendatangkan kesyirikan. Walaupun Tahun Baru Cina adalah perayaan mengikut adat dan bukanlah perayaan keagamaan seperti Deepavali dan Krismas, namun elemen-elemen kurafat masih wujud, terutamanya dengan pengaruh kuat astrologi dan feng shui dewasa ini.

Huruf 'fuk' yang bermakna tuah/kebahagiaan yang akan didapati di setiap rumah orang Cina pun saya tak berani gantung di rumah kerana ia seolah-olah membawa implikasi bahawa perkataan itulah yang akan mendatangkan tuah kepada seisi rumah. Begitu juga dengan kain rentang berwarna merah di muka pintu serta tanglung berbentuk nanas; saya takkan gantung kerana adanya kepercayaan tentang tuah, sedangkan sebagai Muslim, kita wajib percaya bahawa semua rezeki datangnya daripada Allah swt semata-mata. Malah perlu berhati-hati apabila menggantung jongkong-jongkong emas [ kalau percaya akan bawa wang/tuah, sudah jatuh hukum syirik] serta perhiasan kecil-kecilan untuk mencantikkan rumah sempena perayaan; tidak boleh ada patung/gambar binatang dan tuhan/dewa Cina walaupun sekecil mana.

Yang akan ada di rumah untuk sambutan perayaan ini hanyalah pokok pussy willow [suka bunganya yang putih] dan bunga-bunga segar yang lain [kerana saya suka bunga hidup], makanan dan minuman halal. Hiasan yang ada gambar tuhan tuah yang membawa jongkong emas pun tak boleh. Begitu juga, saya tak pasang lagu Tahun Baru Cina yang mempunyai lagu-lagu tentang kedatangan tuhan tuah [chai sen tao] dan yang sewaktu dengannya walaupun sedap didengar. Secara ringkas, apa-apa sahaja yang boleh mendatangkan keraguan atau yang mempunyai unsur-unsur syirik akan ditapis terlebih dahulu. Saya sudah lama tak sorok penyapu dan mop pada Tahun Baru Cina semenjak memeluk Islam [dipercayai menyapu sampah dan membasuh rambut pada hari pertama akan membuang tuah]. Mesti nenek dan Mak menggeleng kepala jika mereka ke rumah saya ketika itu, hehe.

Malah sekarang saya pun jarang lagi mengucapkan 'Gong Xi Fa Chai' yang bermaksud 'Tahniah dan semoga bertambah kaya'. [Tahniah kerana apa?] Saya lebih suka mengucapkan 'Xin Nian Kuai Le' atau 'Happy New Year', dan 'Wang Shi Ru Yi' bermaksud 'semoga apa yang dilakukan mencapai kejayaan.' Suami saya yang berbangsa Melayu tidak tahu maksud di sebalik setiap perhiasan dan amalan tersebut, maka saya yang lebih arif yang perlu berhati-hati. Nostalgia memang terasa, sambut tetap sambut tetapi akidah masih dijaga, insyaAllah.

Saya terpaksa berpesan kepada Mak supaya kuih bakul yang diberikan kepada kami bebas daripada aktiviti keagamaan. Risau juga sekiranya dia memberi kuih yang telah disembahkan pada tokong sebelum menyerahkan kepada kami. Untuk lebih selamat, saya ambil kuih bakul itu sebelum sambutan perayaan. Malah jika ada, saya akan membeli sendiri kuih bakul yang berbungkus daun pisang. Sedap oooo bila digoreng dengan ubi atau dicecah dengan kelapa parut.

Maaf, tahun ini saya tak adakan rumah terbuka walaupun pada awalnya memang bercadang untuk berbuat demikian. Kami hanya akan adakan jamuan sendirian berhad sahaja, memandangkan keadaan saya yang agak susah untuk bergerak banyak. InsyaAllah menu adalah masakan Cina halal yang tradisional [tahun lalu suami tiada di rumah, tak rasa la dia] yang mampu saya adakan nanti. Tahun ini beri angpau, insyaAllah tahun hadapan boleh kutip angpau balik, hehehe [angpau milik anak, bukan saya laaa].

gambar: pussy willow dari http://thestar.com.my/archives/2007/2/9/central/m_p28cheng.jpg

8 comments:

  1. Salaam sis,

    Nice post :) My sentiments exactly!

    In my effort to do da'wa that I am still Chinese even though I'm Muslim, I have handmade a tanglung to be placed outside my house. But I have to block out the 'fuk chee' off the angpaus I used!
    Unless putting up tanglungs is like, since it's red, therefore supposed to bring prosperity?
    Hmmm!
    My son's singing "Xin Nian Dao" .. during Christmas, he was singing Jingle Bells. sigh, the bane of music played in shopping malls!

    ReplyDelete
  2. sy jugak ada gantung itu tanglung nenas yg kecik dalam kereta... ada jugak dihadiahkan yg ada perkataan&tulisan tapi sy tak berani la nak gantun sebap kata ibu hanya hiasan
    sy p0n musykil gak... huhu

    anyway, xin nian kuai le. ang pau na lai :p
    (wish awal takut lupa. hihi)

    ReplyDelete
  3. Waalaikumussalam Rayhana & lidey,
    Huhu, I don't even have time to get a red tanglung, maybe next year. It's all in the 'niat', so if it's only as decoration without those extra stuff, go ahead. Red is lovely,and cheers up the house, so splash on red. Jingle Bells is ok, Xin Nian Dao is also ok.. but will need to explain why certain christmas and CNY songs are unsuitable for Muslims :)

    Boleh gantung tetapi bergantung pada maksud tulisan Cina dan niat kita yang gantung :)
    xie xie, mau ang pau, mai ambik, hehehe

    ReplyDelete
  4. best n3 ni..
    suka insight on CNY for a chinese Muslim. adik saya baru je tanya, mcm mana chinese muslim sambut CNY, sedangkan bnyk khurafat dlm perayaan tu.. ur blog answers this question nicely. (^_^)

    ReplyDelete
  5. Humayra'
    Kepercayaan orang Cina memang banyak, ditambah pula dengan teori fengshui yang semakin diwar-warkan sejak ekonomi meleset.
    Kalau ditolak semua kepercayaan itu, sebenarnya sambutan Tahun Baru Cina adalah peluang untuk semua ahli keluarga berkumpul bersama setahun sekali.

    ReplyDelete
    Replies
    1. saya meminta keizinan untuk mengambil sedikit bahan drp artikel puan untuk assingment saya tentang tahun baru cina...walaubagaimanapun saya tidak mengambil keseluruhannya, hanya yang sesuai dgn assingment saya sahaja....terima kasih...

      Delete
  6. saya telah membaca artikel puan dan ingin mengongsi bahan ini untuk assingment saya tentang tahun baru cina....saya berharap puan memberi keizinan utk saya....walaubagaimanapun saya tidak mengambil keseluruhannya hanya yg sesuai utk assingmen saya sahaja....terima kasih diucapkan...



    ReplyDelete