Monday, November 3

SURAT TERBUKA KEPADA JABATAN IMIGRESEN

28 OKTOBER 2008 - Emel pertama kepada pegawai di Jabatan Imigresen tidak dibalas.
3 NOVEMBER 2008 - Emel kedua kepada pegawai di Jabatan Imigresen juga mungkin tidak akan dibalas.
Mungkinkah alamat emel di laman web cuma sebagai perhiasan?

Assalamulaikum,

Tuan,

Pada 28 OKTOBER 2008 saya telah membuat permohonan paspot antarabangsa. Ini permohonan saya yang pertama atas nama baru mahupun nama lama. Saya hanya mempunyai paspot terhad ke Singapura pada tahun 1979 hingga tahun 1988. Saya hanya membuat border pas ke Thailand pada tahun 2007 dengan nama lama. Saya tidak pernah melanggar apa-apa Akta Imigresen.

Saya membuat permohonan di Jabatan Imigresen di Seberang Jaya, Pulau Pinang. Sebelum ini, saya telah melawat laman web Jabatan Imigresen beralamat http://www.imi.gov.my/bm/im_page1.asp dan telah yakin bahawa segala maklumat dan dokumen yang diperlukan telah saya penuhi sebelum saya mengemukakannya di kaunter Jabatan Imigresen pada pagi ini. Saya telah sertakan Kad Pengenalan terbaru saya (dengan nama Islam) dan salinan, dua keping foto berukuran paspot mengikut ukuran yang dinyatakan, surat beranak saya yang asal dan salinan, surat akuan sumpah masuk Islam, surat masuk Islam dari Jabatan Agama Islam Pulau Pinang serta salinan. Saya diberitahu oleh pegawai di kaunter bahawa semua dokumen saya lengkap kecuali Surat Pengesahan Kad Pengenalan dari Jabatan Pendaftaran Negara (perkara ini tidak disebut dalam syarat permohonan paspot).

Namun demikian, saya berjaya mendapatkan surat tersebut dari Jabatan Pendaftaran Negara pada hari yang sama serta salinan. Setelah saya kemukakan sekali lagi segala dokumen yang diperlukan, saya diberitahu oleh pegawai bertugas bahawa permohonan saya masih tidak boleh diluluskan.

Menurutnya, sebagai seorang saudara baru Islam yang telah menukar nama ke nama baru berlainan dengan nama asal dalam surat beranak saya, saya perlu mendapatkan permohonan sekali lagi melalui Jabatan Keselamatan. Saya diberitahu bahawa saya perlu menunggu sekurang-kurangnya seminggu sebelum permohonan paspot saya diluluskan. Setelah saya selidiki dalam laman web Jabatan Imigresen serta saya cari di dinding-dinding di dalam bangunan Jabatan Imigresen yang serba canggih dan indah pada hari ini, saya dapati tiada satu pun maklumat berkenaan perkara tersebut dinyatakan.

Oleh yang demikian, saya berbesar hati sekiranya pihak tuan dapat memberi penjelasan mengapa saya perlu menunggu selama tempoh sebulan untuk mendapatkan kelulusan permohonan paspot saya, sedangkan prosedur ini tidak langsung dinyatakan dalam mana-mana halaman web pihak imigresen mahupun ditampalkan secara rasmi di bangunan imigresen.

Sebagai rakyat Malaysia, saya difahamkan saya akan mendapat paspot saya dalam tempoh dua hari dari tarikh permohonan.
Saya bukan seorang penjenayah. Saya hanya seorang guru di sekolah kerajaan yang telah memeluk Islam pada tahun 2006 dan menukar nama asal kepada nama Islam berbintikan Abdullah.
Tempoh sebulan untuk proses mengesahkan diri saya ini rakyat Malaysia sedangkan saya sudahpun diluluskan permohonan Kad Pengenalan baru amat menyulitkan saya.

Saya amat berharap masalah saya mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya dari pihak tuan. Pada hari ini 3November 2008 saya masih menunggu permohonan pasport saya diluluskan oleh jabatan tuan.

Sekian, terima kasih.

No. rujukan saya : IM.101/P-H/856/13/1/08(41)
http://pukullima.blogspot.com/2008/10/lagi-lagi-birokrasi.html

4 comments:

  1. Salam Pn Aliya...
    Takziah di atas kesulitan puan dalam menguruskan diri setelah memeluk Islam. Inilah cabarannya....
    Untuk pengetahuna puan..
    Budaya birokrasi di negara ini akan diambil tindakan segera jika surat dihantar dan dikirim ke akhbar-akhbar tempatan untuk tatapan seluruh negara.... kerana mereka ada petugas khas untuk membaca surat2 sedemikian...
    Pengalaman saya... jika aduan dibuat melalui email dan tertutup..walaupun ada pegawai bertugas tapi akan diambik tindakan sambil lewa tapi jika nama jabatan/kementerian terpampang di dada2 akhbar baru tindakan segera akan diambil...

    Bukan niat nak mengajar sekadar berkongsi pengalaman tentang kerenah birokrasi di jabatan2 kerajaan di Malaysia..

    ReplyDelete
  2. Salam mal887,
    Surat sudahpun dikirim kepada editor Utusan Malaysia dan Berita Harian. Terpulanglah kepada mereka sama ada ingin terbitkan atau tidak. Saya bertindak bukan untuk diri saya seorang sahaja tetapi di belakang saya ada beratus-ratus mualaf lain dan orang yang bakal memeluk Islam di Malaysia. Mereka juga akan menghadapi masalah yang sama seperti saya. Mahukah kita sekiranya mereka yang baru Islam ini kecewa dan menyesal memeluk Islam semata-mata kerana pelbagai masalah yang dihadapi?

    ReplyDelete
  3. Salam aliya, syabas kerana aliya mengambil langkah yang proaktif dalam mendapatkan paport anda. Mungkin boleh dikongsi saya juga berkerja di pejabat kerajaan dan pernah menghadapi karenah birokrasi seperti ini. Saya menasihatkan agar bagi setiap permohonan kepada sistem kaunter kerajaan, silalah ambil nama dan pegawai yang menguruskan permohonan pn, pastikan pn mengetahui piagam pelanggan dan jangkamasa yang sepatutnya urusan tersebut selesai. Sentiasa mengupdate perkembangan permohonan anda seminggu sekali, dan mengupdate senarai pegawai yang patut anda hubungi. Sepatutnya sekiranya, pengesahan daripada JPN telah diperolehi tiada masalah pihak immegresen untuk memproses permohonan pn. Saya yakin proses di putraya adalah lebih baik jika dibandingkan dengan cawangan. Walaubagaimanapun harap aliya, bersabar dan pohonlah selalu kepada ALLAH agar proses boleh dipercepatkan. Sentiasa sibuk sekarang nei tak sempat update baca citer aliya yang baru-baru nei.. tengah sibuk.Banyak kerja.. insya allah tuhan akan permodahkan sekiranya kita bersabar.Wassalam

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam e-joe,
    Terima kasih atas nasihat anda. Alhamdulillah nampaknya dengan izinNya saya bakal memegang paspot yang dikehendaki tidak lama lagi. Orang yang mengenali aliya tahu aliya bukan jenis suka yang tunggu dan lihat. I usually make things happen.

    ReplyDelete