Saturday, November 29

MENJEJAKI SAHABAT LAMA

Drink hot coffee, drink hot tea,
Burn your lips and remember me.

Makan roti disapu kaya,
Terasa manis, ingatlah saya.



Nota-nota ringkas di dalam buku autograf saya sebagai kenangan manis. Alangkah seronoknya zaman persekolahan dahulu. Dari tahun 1978 sehingga 1988, saya dikelilingi sahabat-sahabat perempuan. Masuk Tingkatan 6, barulah duduk sekelas dengan pelajar lelaki. Mungkin pada ketika itu sentimen perkauman kurang menyerlah seperti sekarang; saya dan sahabat-sahabat tidak pernah bersengketa tentang hal-hal berkaitan bangsa dan agama. Tanpa banyak bicara, kami seolah-olah tahu akan batas-batas pergaulan. Rasa-rasanya sayalah antara yang paling bertoleransi di antara mereka semua kerana boleh bergaul dengan sesiapa pun. Apabila ada waktu lapang, saya akan ke rumah sahabat-sahabat Melayu dan India yang berdekatan dengan sekolah. Ada kalanya turut dijemput makan tengah hari di rumah mereka. Semasa Raya Puasa, saya ke rumah kawan-kawan Melayu. Semasa Deepavali saya ke rumah kawan-kawan India. Pada Tahun Baru Cina, mereka serombongan ke rumah saya pula.

Alhamdulillah baru-baru ini saya berjaya bertemu kembali dengan sahabat-sahabat lama melalui Facebook. Saya perhatikan betul-betul wajah mereka di dalam foto. Ahh, tak banyak berubah nampaknya walaupun sudah 20 tahun lamanya tidak berjumpa. Saya cuba hubungi yang beragama Islam dahulu. Saya percaya mereka akan gembira berjumpa semula dengan saya, walaupun sekadar di alam siber.

Hati ini berdebar-debar untuk menghubungi semula sahabat-sahabat yang bukan Islam. Risau juga entah apa reaksi mereka apabila tahu siapa saya kini. Ada di antara mereka yang telah terlibat dalam 'mengkristiankan' saya. Ada sahabat yang suruh saya menyamar dahulu, tetapi Aliya bukan jenis yang suka cara menyamar ini. Akhirnya saya membuat keputusan teruskan sahaja, hubungi mereka untuk menjalinkan semula persahabatan yang sudah terputus selama 20 tahun (semenjak Tingkatan 5). Sekiranya mereka membalas dengan baik, maksudnya mereka dapat menerima saya semula. Sekiranya tidak, bukan menjadi masalah besar. Saya masih boleh teruskan hidup dengan mencari sahabat baru.

Sekiranya ada pembaca yang seangkatan dengan saya dahulu, bolehlah hubungi saya juga :)
1978-1988 : Sek Father Barre's Convent
1989-1990: Smk Ibrahim
1990-1992: MPerguruan Sultan Abdul Halim
1993: mengajar di Kuala Berang
1994-1999: mengajar di Batu Kurau
2000-2005: mengajar di Taiping

No comments:

Post a Comment