Sunday, November 23

SUSAH BAGI MEREKA

"Abang nak solat dulu, tunggu di sini," kata suamiku lalu beredar ke surau.
Aku mengangguk faham lalu duduk berehat di ruang lobi hospital SAH. 15 minit lagi akan masuk waktu maghrib.
Mak yang bukan Islam pula duduk di sofa bersebelahan.
"Mana suami awak?"
"Pergi surau, sembahyang," jawabku ringkas.
"Dia sembahyang 5 kali sehari, betulkah?"tanya Mak lagi.
"Ya, itulah menantu Mak," kataku sambil tersenyum.
"Hmm, habis awak? Awak pun 5 kali juga?"
Aku mengangguk.
"Ya, biasalah 5 kali sehari. Cuma minggu ini aku cuti, sebab dikira datang bulan."
Mak menggeleng kepalanya. Kubiarkan dia dengan lamunannya. Aku terlalu letih untuk berbicara. Aku tahu, mungkin dia tengah berfikir,"Betulkah ini anak perempuanku? Yang dahulu susah nak tengok dia memegang colok dan sembah tuhan walaupun sekali sehari?"
Memang aku akui, dahulu aku memang malas bersembahyang. Jangan kata di rumah, sampai di tokong pun aku enggan memegang colok dan melakukan ritual sembahyang cara Taoist, walaupun didesak bertubi-tubi oleh Mak dan dipandang dengan kritikal oleh para pengunjung tokong itu.

Itu dulu. Saya sengaja tidak mahu sembahyang kerana tidak percaya pada tuhan yang disembah mereka.
Kini aku bukan lagi seperti dulu.
Aku suka mengerjakan solat 5 kali sehari. Tak perlu disuruh atau dipaksa.

Mak tidak memberi apa-apa komen tentang nama baru Islamku. Mungkin baru seminggu dia mengetahui nama rasmi yang aku gunakan sekarang. Mungkin dia terkejut bahawa aku masih mengekalkan nama keluarga. Aku biarkan begitu sahaja; kalau Mak timbulkan isu ini, barulah ku terangkan nanti.
Mak juga tidak memberi komen lagi tentang keadaanku yang bertudung dan menutup aurat. Mungkin dia berfikir, aku berubah kerana pengaruh daripada suamiku. Aku biarkan sahaja. Bukannya satu perkara buruk sekiranya Mak beranggapan bahawa aku menjadi Muslimah yang baik hasil didikan suamiku. Selagi hubungan mereka berdua kekal baik dan mesra, aku akan berdiam diri sahaja.

Aku tahu keadaan kebanyakan keluarga Cina dari segi amalan keagamaan. Aku tahu bukan mudah untuk mereka mengerjakan sembahyang secara tetap pada setiap hari. Kalau dapat lakukan selama 2 kali sehari pun sudah dikira amat baik. Inikan pula aku yang sembahyang 5 kali sehari; tentu Mak tidak faham mengapa aku mahu melakukannya. Mungkin juga Mak akan anggap ini pengaruh suamiku.

Setalah menghantar Mak pulang, aku memberitahu suamiku.
"Mak tanya tadi, betulkah Abang solat 5 kali sehari?"
"Mengapa dia tanya begitu?"
"Entah, mungkin dia tak sangka dapat menantu yang alim macam Abang."
"Bukannya susah nak solat 5 kali sehari, mudah saja," jawab suamiku sambil tersenyum.

Mudah sahaja?
Mungkin bagi Muslimin dan Muslimat yang sudah biasa mengerjakan solat, 5 kali sehari semalam bukan sesuatu yang berat.
Tetapi pada pandangan orang bukan Islam seperti ibuku, ia sesuatu yang teramat susah hendak dilakukan dan di luar kemampuan mereka.
Aku tahu benar.
Dahulu, sebelum mengenali Islam, aku pun berfikiran begitu...

2 comments:

  1. assalamualaikum

    maybe it's because the non-muslims are much more used to seeing muslims NOT praying. and even it's common among muslims to say someone is "rajin" or soleh if he/she does all of their 5 solats. But in reality we know we don't get to choose whether we want to do it or not right :)

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam drenalin,
    I don't think it applies to the scenario here in Malaysia where the adzan is called out 5 times a day and people pray even onto the streets on Fridays. Although we are told to pray 5 times a day, we do have a choice actually, to pray or not to pray. Disobey and forfeit the prayer, then we will be asked about it in akhirat. Perform it willingly and we will get pahala. We do have a choice.

    ReplyDelete