Wednesday, May 27

RUGINYA

"Norhayati Abu.." saya membaca tulisan pada kertas jawapan.
Alahai, pelajar nakal telah menulis namanya dalam tulisan jawi.
"Tolong baca ni, " saya tunjukkan kepada seorang pelajar Melayu, untuk mendapatkan kepastian.
"Saya tak tahu baca, cikgu," katanya dengan jujur.
"Awak tak tahu baca? Habis, camner jawab soalan Pendidikan Islam?" kawannya di sebelah pula menegur.
Saya memerhatikan gelagat mereka, anak-anak teruna yang lebih tinggi dan lebih besar daripada saya.
"Kamu tak belajar Jawi? Bukankah ada dalam Pendidikan Islam?" saya bertanya kepada pelajar-pelajar lelaki yang peramah itu.
"Betul saya tak tahu baca Jawi. Masa periksa saya agak-agak saja."
"Masa sekolah rendah dulu, kami banyak ponteng sekolah agama. Petang-petang meronda keliling kampung, ustaz dan ustazah pula garang giler. Bila ingat balik, menyesal pula tak belajar bersungguh-sungguh. Sekarang nak belajar Jawi, malu lah.. dah besar," mereka memberitahu saya.
"Kamu ni orang Melayu, tulisan Jawi adalah warisan kamu. Kalau kamu sendiri tak tahu, bagaimana nak ajar anak dan isteri kamu? Hmmm..mengaji al-Quran tahu?'
"Tahu, cikgu. Aaa.. ba.. ta.. senang saja." mereka ketawa.
"Cikgu," mereka pula bertanya,"Cikgu tahu baca Jawi?"
"Tahu, bukankah tadi cikgu baca? Cikgu belajar Jawi semasa di sekolah rendah dahulu. Waktu itu, semua wajib belajar Jawi, tanpa mengira bangsa dan agama. Cuma sekarang agak lambat baca kerana sudah lama ditinggalkan."
Mereka mengangguk faham. Alahai, kasihan saya melihat mereka. Mereka bakal kehilangan satu warisan yang telah semakin hari semakin luput. Tulisan Jawi yang dahulu menjadi medium menyebarkan berita dan ilmu kini semakin dipinggirkan. Kurang nilai komersial berbanding tulisan rumi dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Nilai tulisan Jawi sebagai identiti bangsa Melayu kurang dihargai dalam abad ke-21.
Ramai anak-anak Melayu yang memandang rendah pada tulisan Jawi, dan menganggap ia hanya sesuai untuk orang tua.
Tulisan Jawi yang banyak persamaaan dengan tulisan Arab sekiranya tidak dijaga dan digunakan secara meluas, bakal menjadi seperti tulisan Sanskrit atau Latin yang hanya difahami ahli akademik.
Saya bersyukur kerana walaupun berbangsa Cina, saya berpeluang belajar Jawi di sekolah rendah dahulu. Cakap dengan orang, orang takkan percaya- sekolah mubaligh Kristian iaitu Convent tetapi atas arahan gurubesar yang berpandangan jauh, semua pelajar tanpa mengira bangsa dan agama wajib belajar Jawi. Dahulu Jawi diajar sebagai satu subjek dalam jadual waktu persekolahan, siap dengan buku teks, maka memang mudah untuk pandai [kecuali kawan-kawan bukan Melayu yang menutup hati mereka untuk belajar subjek ini]. Kini Jawi diserapkan dalam subjek Pendidikan Islam di sekolah rendah, tidak lagi terbuka kepada pelajar bukan Islam. Pelajar bukan Islam tidak berpeluang belajar Jawi, dan pelajar Islam pula tidak begitu didedahkan dengan teks Jawi seperti ketika zaman persekolahan saya. Bagi saya, ini satu kerugian kepada semua anak Malaysia.
Berbekalkan pengetahuan Jawi inilah, saya mudah belajar Iqra, kerana banyak persamaan. Alhamdulillah hari ini masih boleh membaca dan menulis dalam Jawi, walaupun agak tersekat-sekat [sekali-sekala latih dengan suami sahaja].
Saya tidak risau akan pengetahuan Bahasa Mandarin kerana kelas Bahasa Mandarin tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Itu warisan bangsa saya. InsyaAllah saya akan terus belajar Mandarin untuk memantapkan diri. [bila lama tak guna, mudah lupa cara menulis tulisan ideogram itu]. Begitu juga dengan Bahasa Arab; semakin ramai orang yang berminat dan semakin banyak kelas Bahasa Arab yang wujud hari ini.
Jawi pula seolah-olah tidak mendapat perhatian lagi dalam masyarakat Melayu. Ramai anak muda Melayu yang mengaku tidak tahu Jawi, terutama mereka yang tidak menghadiri kelas agama. Kelas khas untuk belajar Jawi pula tiada, tidak seperti kelas bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil. Kasihan mereka yang baru sedar dan mahu belajar Jawi, tetapi tiada peluang begitu di luar waktu persekolahan. Alhamdulillah sekarang dengan adanya kelas J-Qaf, mudahlah anak-anak di sekolah rendah belajar Jawi dan Bahasa Arab, tetapi abang dan kakak mereka bagaimana pula?
Saya boleh bayangkan betapa susahnya ibu bapa yang buta Jawi mengajar anak-anak yang pulang ke rumah dengan buku teks Pendidikan Islam, yang ditulis dengan teks jim-alif-wau-ya. Bagi mereka yang mampu, akan diupah ustazah untuk mengajar anak-anak; bagi yang tidak mampu, mungkin akan berakhir seperti pelajar-pelajar Melayu saya yang buta Jawi.

5 comments:

  1. itulah kemelut yang sedang dihadapi oleh anak-anak generasi baru Melayu... bahkan di kalangan para editor penerbitan sekalipun... tulisan jawi dianggap sebagai sesuatu yang menyusahkan... terutama dengan ketiadaan software jawi yang betul dan reliable dengan program layout seperti Pagemaker dan Indesign.... manakala font-font jawi pula sangat sukar diperolehi berbanding font arab...

    Ditambah pula dengan sistem ejaan jawi baru yang dianggap lebih menyusahkan berbanding sistem ejaan lama di samping penambahan huruf yang dirasakan tidak perlu seperti huruf va (wau bertitik) serta peralihan kedudukan hamzah kecil yang menampung bunyi aa-ai-au...

    Mungkin kita tidak perasan akan kesukaran ini kerana terbentang di hadapan kita sebuah buku yang telah disiapkan sepenuhnya... tetapi proses pembuatan buku bertulisan jawi jauh lebih rumit dan sangat mencabar - sama ada dari segi kesabaran, mahupun wang ringgit. Dan kerana itulah, tidak banyak syarikat-syarikat penerbitan yang mahu menerbitkan buku bertulisan jawi.

    Ditambah pula dengan penulis-penulis yang menghantar naskhah jawi mereka tetapi tidak mengikut sistem, aturhuruf dan ejaan yang tepat, manakala software ejaan baru jawi sendiri agak bercelaru dan tidak tepat...

    Saya berhadapan dengan masalah sebegitu. Dengan menggunakan aplikasi yang telah dibina oleh sebuah universiti untuk kementerian pelajaran, ternyata tatkala naskhah berkenaan dihantar kepada Pak Mat Lob, kesalahan ejaan cukup banyak dan sangat renyah.

    Sedangkan tulisan jawi sebenarnya sangat senang dan bersifat by-heart!

    Protokol dan memberi ruang kerja kepada golongan tak bekerja, begitulah jadinya... kacau bilau semua sistem

    ReplyDelete
  2. saya ingin link blog cikgu ini dengan blog saya. Mohon diizinkan....

    ReplyDelete
  3. Waalaikumussalam Suam,
    Terima kasih kerana memberi pandangan sebagai seorang editor. Saya setuju, memang sistem ejaan Jawi sekarang ini, yang dibakukan, memeningkan kepala kerana nama orang, hari dan istilah tertentu masih menggunakan ejaan lama. Yang belajar sistem lama seperti pakcik-pakcik dan empunya diri kadang-kadang keliru apa ejaan yang tepat sekarang. Contohnya lima - lim-ya-mim atau lim-ya-mim-alif?
    Boleh link, dipersilakan.

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum

    how are you kak Aliya? may Allah put in a good Iman and good health. its quite a long time since my last visit.

    something caught my attention when reading your entry. i feel myself have similar situation as you are.

    i learn jawi script in my primary school. my school was st thomas, kuantan. technically it is missionary school, and the headmaster was a catholic priest.

    it is there also i first learn computer. that was in 1985. remember wordstar, dBase plus and lotus 1-2-3? my school was one of the ealiest to be equipped with computer as it was sponsored by international christian movement.

    something we Muslim lack of. the insight they have. like your jawi script for example. while malay Muslims abandoned it, non malays, as most cases non Muslims work hard to acquire that knowledge.

    same thing happened at IIUM when non Muslim students mastered arabic better than most of Muslim students. yet they began from nothing and those Muslims had learn Al Qur'an since they were child. i know i was there.

    something we Muslims should improved a lot.

    p/s i myself don't master chinese ideogram even cantonese supposed to be my mother tongue. but i do read some hebrew script

    Wasalam

    ReplyDelete
  5. kita tidak kekurangan sebenarnya... cuma masalah kita ialah kita rasa kita dah tahu semua dan tak mahu belajar-belajar lagi... sedangkan dalam Islam, menuntut ilmu pengetahuan itu adalah kewajipan wahid kita.

    mengapa missionaries mempelajari jawi dan quran? Persoalan-persoalan sebegitu banyak jawapannya, sama ada negatif mahupun positif. Namun yang banyaknya sudah pastilah negatif.

    seperti sebilangan sahaja daripada kita yang mahu menyingkap rahsia keilmuwan Islam dalam kitab-kitab kuning berbahasa jawi lama. Mencari kelemahan sesuatu pihak, menyebabkan kita perlu menjadi pihak yang kita nak serang.

    seorang mubaligh harus tahu apa yang hendak didakwahkannya. Seorang dai'e perlu faham masyarakat yang hendak ditarbiahkannya....

    tak ada apa yang hendak dikagumkan. cuma kita sahaja yang berasa sudah cukup dengan apa yang kita ada...

    ReplyDelete