"Benarkah?"
"Benar apa?"
"Benarkah JAKIM dah haramkan program ESQ?"
"Mana awak dengar? Baca di mana?"
"Ehh, awak tak tau kah? Depa dok heboh cerita dalam internet."
Saya tak mahu komen. Saya cari maklumat dalam internet. Masuk website JAKIM, tiada sebarang maklumat. Yang ada hanya nota lama yang menyatakan tiada pengharaman terhadap program ESQ.
Rupa-rupanya baru wujud sebuah blog baru, yang menyelar program ESQ165.
Saya cari lagi. Akhirnya jumpa dengan blog Ustaz Zahiruddin yang turut memberi komen dan ulasan tentang program yang dihadirinya. Dan setelah membaca dengan teliti, saya setuju dengan kebanyakan pendapatnya.
Ramai juga yang tanya, apakah yang saya dapat daripada ESQ? Malah pernah ditanya begitu oleh fasi di sana. Jawab saya pada hari pertama, "Biasa saja, sebab yang saya lihat sudah pun saya tahu.Cuma cara pendekatan berbeza."
Jawab saya pada hari terakhir,"Ini program yang sesuai untuk pelajar, terutama yang bermasalah disiplin jenis hardcore. Mudah-mudahan mereka didedahkan kepada program seumpama ini, sebab saya sendiri lihat pelajar saya yang mengikuti program ESQ telah menjadi lebih baik dari segi akhlak."
Saya tak mahu berkongsi semua pengalaman saya di sini, kerana nanti akan dianggap terlalu taksub, huhuhu. Dijemput baca artikel pengalaman seorang alumni di sini.
Saya sudah lama diajak menghadiri ESQ oleh pembaca blog ini tetapi ketika itu, hati saya belum terbuka. Saya menganggap ia sebagai satu program yang lebih berbentuk 'brain-washing' sama seperti beberapa program yang pernah saya dipaksa rela hadiri dahulu. Namun setelah Allah tentukan saya yang mengikuti program selama 3 hari berturut-turut, duduk dalam bilik berhawa dingin dari jam 8.30 hingga 7.30 malam [dengan waktu rehat untuk makan dan solat], banyak yang saya lihat, alami dan dengar.
"Why are they so emotional?" pernah saya ditanya oleh seorang kawan yang belum Islam ketika menjadi pemerhati ESQ [alhamdullilah dia sudahpun Islam beberapa minggu selepas itu].
"Because they have realised that they've done a lot of sin," saya jawab ringkas.
Memang, ramai yang mengesatkan airmata dalam beberapa sesi program ini, yang membawa peserta memikirkan penghidupan di dunia dan balasan di akhirat. Itu bukan sesuatu yang luar biasa dalam mana-mana program motivasi. Malah terdapat banyak program seperti Bina Insan dan Bina Negara termasuk anjuran badan kerajaan yang ada slot memaksa para peserta menangis [kerana mengenang dosa kepada ibu bapa]; amat menghairankan apabila terdapat peserta 'berhati batu' seperti saya yang tidak menangis langsung dalam slot itu!
Penggunaan teori dari Barat seperti 'Big Bang Theory' untuk membuktikan kebenaran kandungan al-Quran juga bukanlah perkara baru. Cuma bezanya, dalam ESQ, ilmu Sains dikaitkan dengan kebesaran Allah swt yang Maha Mencipta. Selama ini, kita belajar Sains di sekolah-sekolah atas dasar apa? Atas dasar orang Barat juga, yang hanya mendedahkan kita kepada hasil-hasil kajian saintifik, tanpa pernah mengaitkan kepada satu kuasa yang besar, iaitu kepada Yang Maha Mencipta. Ilmu barat dalam Sains, mengapa kita terima bulat-bulat [kerana ia dalam buku teks?], tidak pertikai tetapi apabila ada pihak yang membawa pendekatan Islam kepada penemuan Barat, ada pihak lain yang mengkritik pula? Dan kemudian kita hairan, mengapakah anak-anak kita semakin hari semakin berilmu, tetapi semakin jauh daripada al-Quran? Malah ada yang setelah belajar sehingga PhD, menjadi orang yang berfahaman liberal?
Terus-terang perasaan saya pelbagai semasa menghadiri program. Saya suka dengan arahan sentiasa masuk ke dalam dewan dalam keadaan berwuduk. Saya lihat semua peserta wanita mengambil wuduk, dan bekerjasama dalam hal ini. Saya suka dengan konsep duduk bersama kawan baru, jauh daripada kawan, dan memberi salam semut 'ala Arab' kepada kawan di kanan dan kiri, kerana ia boleh merapatkan siratulrahim sesama peserta, terutama mereka yang saling tidak mengenali.
Namun, saya mengaku saya kurang selesa dalam beberapa aktiviti yang dijalankan dalam program ini.
Pertama terdapat beberapa orang peserta bukan Islam yang menyertai atas perintah pihak atasannya [kursus yang ditaja] dan mereka tidak terlebih diasingkan, didedahkan dengan beberapa perkara asas tentang pendekatan Islam yang hendak digunakan dalam program ini, dan ditemani oleh alumni yang berpengalaman sepanjang kursus supaya pemahamannya tidak tersasar. Saya sendiri bersembang dengan salah seorang daripada mereka, yang mengaku dia tidak selesa langsung kerana menganggap program itu terlalu Islamik, lalu dia mengambil keputusan pulang pada hari kedua. Tahniah juga kepada nonMuslim yang berjaya menamatkan program latihan kerana bersikap terbuka dan berjaya mengambil intipati program ini untuk kebaikan diri dan organisasi yang diwakili.
Kedua, saya kurang selesa dengan lakonan simulasi untuk menerangkan konsep yang hendak diketengahkan. Bagi saya, itu tidak perlu.
Ketiga, saya juga tidak faham keperluan melaungkan slogan ESQ dalam setiap sesi; mungkin penerangan yang kurang jelas akan konsep slogan ini membuatkan saya tidak selesa setiap kali diminta melaungkannya.
Keempat, saya teragak-agak untuk mengambil bahagian pada sesi terakhir yang melibatkan aktiviti yang agak lasak tetapi saya ikuti juga untuk mendapat pengalaman. Dan pada pendapat saya, aktiviti tersebut perlu diganti kerana keadaan kelam-kabut ketika aktiviti itu tidak mungkin akan mencapai objektif sesi tersebut. Lebih baik diganti dengan permainan simulasi supaya semua dapat memahami dengan lebih cepat dan mudah.
Saya tidak katakan bahawa program ESQ tidak baik. Pada masa yang sama, saya tidak mencadangkan bahawa ESQ satu program yang terbaik untuk masyarakat kita. Cuma, jikalau dibandingkan dengan program motivasi dan latihan organisasi yang ada dewasa ini, program latihan ESQ ini ada lebih banyak kebaikannya, dari segi ia mengajak para peserta menghayati ajaran Islam dari 'inside-out'. Dalam kursus yang saya hadiri, ramai juga peserta dalam kalangan ustaz dan mereka daripada badan berkanun kerajaan seperti Tabung Haji, Pusat Urus Zakat dan sebagainya; tidak pula mendengar mereka mengkritik program tersebut secara terbuka. Terpulanglah kepada mereka yang telah mengikuti program latihan ESQ untuk mempergunakan segala ilmu yang didapati untuk menjadi manusia yang lebih baik. Rata-rata saya dapati peserta Muslim yang tamat latihan berubah persepsi kendiri dan bertambah keinginan untuk beribadat dan menjadi Muslim yang baik.
Mereka yang mengkritik program ini mungkin mereka yang tidak pernah pun menghadirinya; sekadar mengkritik setelah mendengar penjelasan daripada pihak ketiga. Mereka yang mengkritik program ini mungkin mereka yang sudah pun menganggotai satu NGO Islam, dan sudah mendapat bimbingan serta ilmu Islam daripada kesatuannya, maka hanya melihat keburukan program latihan ESQ ini sahaja, yang dilabel sebagai menyesatkan. Mereka mungkin telah tinggi tahap ilmu agama Islam, dan merasakan diri tidak perlu lagi mengikuti program seperti ESQ yang menelan belanja lebih seribu ringgit untuk menyertainya. Namun perlu diingati, bukan semua orang Islam sama tahap pengetahuan dan imannya; bukan semua berpeluang berguru dengan ustaz/ustazah bertauliah, dan bukan semua dapat mengikuti usrah anjuran badan NGO yang bertauliah; mungkin ESQ itu pembuka jalan untuk menggalakkan mereka mencari ilmu Islam dengan lebih mendalam.
Namun perlu juga kita terima hakikat bahawa sebahagian besar masyarakat Islam di negara kita tidak pernah mengikuti mana-mana program NGO Islam, tidak pernah tergerak hati untuk menghadiri sebarang majlis ilmu, tidak menganggotai mana-mana badan NGO Islam, dan kehadiran mereka dalam latihan ESQ juga mungkin kerana telah ditaja oleh organisasi masing-masing sebagai sebahagian daripada Latihan Dalam Perkhidmatan. Oleh itu, penerimaan dan penghayatan para peserta program mungkin berbeza; tangisan taubat mereka mungkin buat pertama kali dalam hidup; dan pengisian kerohanian mereka mungkin setelah sekian lama dalam ketandusan, wallahu'alam. Maka jangan berburuk sangka terhadap mereka yang telah mengikuti program ini dengan melabel sebagai taksub ESQ dan sebagainya, semata-mata kerana menyatakan kebaikan program yang telah dilalui.
Saya juga syorkan agar pembaca jangan mudah percaya kepada berita internet. Jangan cepat percaya kepada penulisan blog yang tidak memaparkan identiti penulis blog, kerana hanya mereka yang mempunyai agenda tertentu saja yang enggan memaparkan identiti sendiri dalam blognya. Komen dan rumusannya adalah karya dan pendapatnya sendiri, bukan daripada pihak JAKIM. Bagi saya, orang Islam bukan bersikap pengecut, dan menyembunyikan diri setelah membuat satu liputan yang mengelirukan seperti dalam blog itu satu sikap yang tidak bertanggungjawab. Saya sudahpun menulis komen dalam blog berkenaan, memintanya memperkenalkan diri tetapi tidak dibalas.
Saya juga telah diberitahu oleh seorang trainer ESQ bahawa pihaknya telah pun membuat laporan polis berkenaan blog tersebut.
Banyak program yang baik. Banyak buku yang baik untuk dibaca. Tak kiralah daripada Barat atau Islam, asalkan kita bijak mengambil unsur yang baik dan mengenepikan yang buruk. Islam tidak pernah menegah umatNya daripada meminjam ilmu daripada tamadun lain, hanya menasihati agar kita menggunakan akal fikiran, sentiasa melakukan penapisan, dan yang paling utama, sentiasa merujuk kepada dua sumber utama tinggalan Rasulullah iaitu al-Quran dan hadis.
Saya juga yakin, mereka yang telah menghadiri program latihan ESQ bukanlah taksub kepada program ini. Masing-masing pulang bukan dengan laungan 'ESQ, ESQ" tetapi dengan penuh kesyukuran pada Allah swt. Lagipun percaya kepada qadak dan qadar; Allah swt telah tentukan mereka-mereka yang menghadiri program ini, maka semoga mereka terus mendapat hidayah, dan bertambah kukuh iman masing-masing padaNya, dan terus berusaha mencapai syurga Firdaus, ameen.
Salam Kak Aliya,
ReplyDeleteSaya telah pun mengikuti program ESQ tu pada tahun lepas dan apa yang boleh saya rumuskan ialah.
Majoriti rakan2 saya (19-20 tahun) tidak berapa setuju dengan pendekatan fasi yang terlalu memaksa. Contohnya, boleh dikatakan sepanjang masa, muzik yang terlampau kuat akan dipasang dan fasi akan memaksa-maksa supaya setiap orang merasa takut dengan Allah, dan menyelami realiti kita sebagai seorang hamba dan lain-lain.
Selalunya, baru saya dan kawan-kawan nak try feeling, terus hilang, pasal duk dengar suara fasi giler kuat sampai sakit2 telinga.
Sampai hari kedua program, ramai diantara kami yang ponteng kerana tak tahan.
Bagi saya, golongan belia 20an lebih selesa dengan pendekatan conservative seperti ceramah agama, perdebatan agama secara academic, Usrah.
Kalau untuk kanak-kanak dan awal remaja 13-17 tahun mungkin sesuai.
Dan juga mungkin sesuai untuk golongan yang agak berumur 35-50 tahun.
Bagi saya, baik pergi ceramah agama daripada Ustaz dan Ustazah yang best3 dan menarik macam Ustaz Zaharudin, Ustaz MAZA. PEndekatan yang menyebabkan kita berfikir, bukannya dipaksa.
Waalaikumussalam Nazri,
ReplyDeleteAlangkah ruginya! Sebab apabila tidak mengikuti keseluruhan kursus ESQ dari awal hingga akhir, bermakna hilang hak untuk membuat penilaian kursus ini secara adil dan terperinci. Bila tak ikuti semua slot, maka tak dapat ketahui perkara yang orang lain tahu. Mungkin sebab saya jenis degil, saya biasa saja ketika slot selami diri, dan 'feel' kebanyakan berlaku pada mereka yang rasa dirinya sudah jauh dari Allah. Saya dok diam saja cuma kurang selesa dengar kiri kanan orang menangis. Rasa pelik pula sebab tak mengesat airmata seperti orang lain tapi saya tak paksa diri. Kira saya hebat juga la ya, kerana mampu bertahan sehingga saat terakhir, hahaha. Sekali sekala perlu lalui perkara berbeza, tak statik, barulah lebih banyak pengalaman kita dan lebih berkesan dakwah kita, bukan gitu?
Assalamualaikum,saya sependapat dengan puan berkenaan hal ESQ.Apa yang baik dan tidak bertentangan dengan syarak boleh dijadikan panduan.
ReplyDeleteMufti Perlis betul pada pandangan yang dikemukakannya. Dia tidak menyebut ESQ, tetapi masyarakat mengenali penulisan adalah berkaitan dengan ESQ.
ReplyDeleteAda kesinambungan antara tulisan bloger dengan Dr Juanda Jaya. Dr Juanda telah menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik sehingga mencelikkan mata-mata yang tertidur dan ada antara mereka yang tersentak, lantas tiba-tiba memberi komen.
Rentak tulisan Dr Juanda menunjukkan kajian kepada aliran ini telah dijalankan beberapa lama, (bukan dengan hanya sekali pergi dan terus memberi komen), kerana itulah tugas Mufti apabila hendak menilai hukum sesuatu program.
Sasnii,
ReplyDeleteSaya tak pernah dibayar pun untuk menulis tentang ESQ di blog ini. Terpulang sama ada anda terima pendapat saya atau tidak. Saya juga ada hak untuk menulis, ini blog saya, hahahaa..
Saya cuma mencadangkan untuk mereka yang mendapati kesilapan dalam ESQ untuk tampil secara ikhlas menerangkan kesilapan yang ditemui terus kepada pihak tertinggi program ESQ supaya pembaikan dapat dilakukan. Nampaknya anda sendiri pro kepada pendirian Mufti Perlis yang baru itu. Perlu diingatkan,mufti di dalam negara kita bukan seorang, ramai dan pendapat mereka juga perlu diambil kira. Setahu saya, yang telah hadir kursus ESQ terkini 2009, ialah mantan Bekas Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Mustapha Abdul Rahman. Respon beliau secara hikmah dan beradab menjelaskan kursus ini amat baik, jelas dan signifikan untuk kekembalian ummah kepada Islam melalui modul pengisiannya berlandaskan al-Quran dan Hadis yang meliputi golongan Eksekutif (Korporat), Agensi Kerajaan, Mahasiswa/Pelajar, Kanak-kanak, ibu bapa dan lain-lain lagi (Wacana Ilmu, Kuala lumpur).
Yang terbaru juga termasuk Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, SS Datuk Hj Hassan Ahmad, menjelaskan Training ESQ kursus terbaik yang pernah beliau ikuti, sebab pendekatan kursus ini dibuat dalam bentuk ilmiah berdasarkan ayat al-Quran dan hadis dengan gabungan paparan sains dan teknologi serta berjaya mengaitkannya dengan keyakinan kepada Allah SWT. (Lihat Majalah i Bulan April 2009. Wawancara Editor bersama Mufti Pulau Pinang terbitan Karangkraf).
Bagi saya, daripada terus menerus mengutuk dan dicadangkan diharamkan satu program seperti ESQ yang sentiasa dalam pemantauan JAKIM, lebih baik dibaiki segala kelemahan yang ada dalam program itu supaya masyarakat kita yang semakin jauh daripada Islam dapat dibawa kembali ke jalan yang benar. Lagipun yang paling tinggi dalam statistik jenayah, Mat Rempit, peragut, penagih dadah, perogol, adalah orang Melayu Islam; semoga akan ada satu program yang lebih hebat dan 'lebih betul' daripada ESQ di negeri Perlis di bawah pimpinan Mufti Perlis yang baru? Jemputlah saya jikalau ada nanti :)