Monday, May 4

MELATIH HATI

Saya memandangnya dari jauh. Mungkinkah dia orang yang saya cari-cari itu? Dari raut wajahnya, kelihatan dia bukan Melayu. Saya tunggu sehingga tamat ceramah, lalu saya hampirinya.
"Assalamualaikum, Balqis? [bukan nama sebenar]," saya menyapanya.
Dia tersenyum. Manis. Kami bersalaman. Wanita yang duduk di sebelahnya memandang saya dengan seribu tanda tanya pada wajahnya.
"Datang dengan siapa? Suami bawakah?" saya bertanya pada wanita yang pertama kali saya temui itu.
"Tak, kami datang bersama," jawabnya.
"Oh.. dengan kawan," saya senyum pada wanita di sebelahnya. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Maria [bukan nama sebenar].
Balqis tersenyum.
"Sebenarnya saya isteri kedua. Maria isteri pertama," terang Balqis bersahaja.
"Oh, sisterlah ya?" saya mengangguk faham.
"Ya... sisters," jawab Maria, seolah-olah menyesuaikan diri dengan istilah yang saya gunakan. [Aikk, takkan saya nak gunakan istilah 'madu' yang memberi gambaran negatif pada persepsi orang Melayu?]
Wajah wanita-wanita lain yang duduk semeja dengan kami berubah apabila mengetahui status mereka berdua.
"Baguslah boleh datang sekali," puji salah seorang. Yang lain hanya memandang, diam.

Saya sebagai pemerhati dan kawan baru kagum dengan keadaan mereka yang kelihatan mesra. Maria berwatakan serius tetapi begitu menjaga kebajikan Balqis yang sedang mengandung. Diusungnya beg ke sana ke mari. Balqis pula bersahaja, dan tidak lokek memberitahu orang ramai akan status mereka berdua; seorang isteri pertama dan seorang isteri kedua yang dihantar ke ceramah oleh suami mereka. Jelas mereka bersikap terbuka dan saling hormat-menghormati.

Dalam keadaan masyarakat kini yang begitu 'self-centred' dan melaungkan 'hak kebebasan wanita', wujud sekumpulan kecil wanita yang berkongsi suami. Bukan merebut suami. Dan beza mereka dengan isteri-isteri lain yang bermadu, adalah keberanian mereka untuk menjelaskan status sendiri tanpa dipaksa. Tanpa rasa segan. Tanpa rasa malu. Tanpa rasa bersalah. Terpulang kepada orang lain untuk menerima atau tidak mereka; bagi mereka perkahwinan masing-masing sudah halal di sisi Allah swt dan suami mereka telah melakukan yang terbaik untuk keluarga masing-masing. Kalau ada orang yang mengata; biarlah. Mereka tetap bahagia. Mereka menerima hakikat bahawa mereka berkongsi suami; dan masing-masing tetap disayangi dan dicintai suami. Masing-masing ada keistimewaan yang berjaya menambat hati suami. Tidak perlu cemburu dengan kelebihan isteri lain, kerana sejarah da perkongsian hidup dengan suami berbeza. Mereka tidak peduli dengan tanggapan negatif masyarakat, dan buktinya mereka boleh berbual mesra bersama.
Saya kagum. Tentu suami mereka seorang yang 'hebat'.
Saya doakan mereka bahagia dan rumahtangga dirahmatiNya.

Sudah tentu keadaan Maria dan Balqis hari ini telah melalui tarbiyah khas dan perubahan paradigma. Sudah tentu mereka telah lama menjelajah hati sendiri sebelum dapat menerima hakikat terdapat suri lain dalam hati suami, di samping mereka. Yang pertama menerima kehadiran wanita lain dalam hidupnya, yang turut sama menjaga kebajikan suami yang disayangi. Yang kedua menerima kenyataan bahawa dia bukan satu-satunya isteri dalam hidup suaminya. Kekuatan dan keindahan hati mereka dapat dilihat kerana mereka boleh duduk semeja dan berbual mesra seperti kawan.

Ramai yang melaungkan monogami. Siapa yang tidak suka menjadi satu-satunya permaisuri si suami? Namun hakikatnya, wanita Islam perlu juga melihat dari satu sudut lain, iaitu suami dan anak-anak bukan milik persendirian, bukan untuk seumur hidup. Suami dan anak-anak bukan milik peribadi, tetapi merupakan pinjaman dari Allah swt. Bila-bila masa suami boleh sakit; boleh meninggalkan kita, sama ada melalui perceraian atau kematian. Bila-bila masa anak-anak boleh dijemput malaikat Israel. Tiada yang kekal di dunia ini kecuali Allah swt. Jikalau terlalu bertaut pada suami dan anak-anak, jangan terkejut jikalau Allah swt berikan ujian begini.

Perkongsian hidup begitu bukanlah satu yang mustahil. Wanita Islam seluruh dunia ada yang mengamalkannya, malah ada yang mencarikan suami isteri baru supaya beban hidup dapat dikongsi bersama. Hanya saya lihat masyarakat Melayu khasnya kurang menerima poligami, walaupun jelas dibenarkan oleh Islam. Keindahan dan kebaikan poligami tertutup kerana yang sering diperkatakan adalah perkara-perkara negatif sahaja. Yang diketahui menjadi isteri pertama, dikatakan isteri tua [sedangkan dia mungkin lebih muda daripada isteri lain], tidak pandai jaga suami, queen-control dan sebagainya. Yang diketahui menjadi isteri kedua pula, dituduh perampas suami orang, perosak rumahtangga dan lain-lain yang mungkin tidak berasas. Suami pula dituduh miang, gatal, dan pelbagai istilah yang tidak baik. Pok-pek-pok-pek siapa kahwin lain menjadi gosip hangat. Pantang silap sikit, sudah tentu hangat diperkatakan orang.

Bagi saya, Allah swt tidak akan turunkan ujian bagi hambaNya tanpa sebab. Hanya mereka yang terpilih sahaja akan diuji iman mereka dengan ujian seberat ini. Hati yang dahulunya lebih cenderung kepada 'self-centredness' kini perlu diubati sebelum parah dengan sifat sabar, rendah diri, dan lebih banyak mendekatiNya. Hati perlu dilatih supaya menjadi lembut, penyayang dan pemaaf. Isteri pertama seperti Maria dilatih Allah swt supaya menjadi penyayang, pemurah, dan banyak bersyukur. Isteri kedua [dan seterusnya] seperti Balqis dilatih supaya bersabar, berani dan bersyukur. Suami pula diberi latihan supaya menjadi seorang yang sabar, bijak, dan adil. Mereka yang berjaya dalam ujian ini, insyaAllah akan mendapat pahala yang banyak pada akhirat kelak.

Poligami yang diamalkan mengikut ajaran Islam banyak kebaikannya.
Ia melatih hati untuk sentiasa bersangka baik pada Allah swt yang menentukan jodoh umatNya.
Ia melatih hati untuk bersangka baik pada suami dan isteri lain.
Ia melatih hati untuk sentiasa bersyukur apabila suami berlaku adil.
Ia menyuburkan perasaan ukhwah dan kasih sayang sesama saudara seagama kerana segala yang terbaik untuknya, adalah juga terbaik untuk saudaranya.
Mustahil dilakukan?
Tidak mustahil! Ramai Maria dan Balqis di dunia ini, banyak keluarga yang bahagia mengamalkan poligami, tetapi kita lebih didedahkan dengan kisah keburukan poligami yang tidak dilakukan mengikut syariat Islam.Maklum saja, jualan akhbar dan majalah lebih laris jika berita buruk disensasikan.

Masyarakat juga tidak terkecuali daripada diuji. Allah swt juga memberikan latihan hati tanpa disedari. Mereka yang suka memburuk-burukkan poligami mungkin akan diujiNya nanti dengan sesuatu yang mereka tidak ingini, sebagai satu pengajaran. Nasihat saya, jikalau tidak dapat mengatakan yang baik, lebih baik diam sahaja. Jangan caci dan hina meeka yang amalkan dan jangan cuba memporak-perandakan rumahtangga yang diketahui mengamalkan poligami dengan membawa cerita yang sengaja disensasikan. Ketahuilah bahawa jikalau poligami sesuatu yang memudaratkan untuk wanita Islam, tentu ia telah diharamkan oleh Allah swt.

7 comments:

  1. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. Tapi ingatlah bahawa Allah juga ada berfirman bahawa bukan senang seorang suami itu mempunyai lebih dari satu isteri (susah berlaku adil).

    Lelaki merupakan pemimpin rumahtangga. Maka mereka memikul tanggungjawab yang besar. Sekiranya mereka gagal mendidik isteri-isteri mereka, mereka akan dipersoalkan di Padang Mahsyar kelak. Dan isteri yang tak didik oleh suami akan menarik suaminya ke neraka.

    Jadi buat insan yang bernama lelaki, didiklah dirimu sebelum mendidik isteri-isterimu. Moga Allah merahmati perkahwinan setiap insan yang sudah menikah.

    Kepada masyarakat yang lain pula, janganlah pula mencaci hukum Allah kerana Allah telah menghalalkan lelaki untuk berkahwin lebih dari satu isteri. Maka berhati-hatilah sebelum mencaci hukum Allah yang mulia ini. Kalau mengatakan tak releven kahwin ramai isteri pada zaman ini, takut-takut boleh jatuh syirik kecil. Minta dijauhkan, na'uzubillah min zalik...

    Wallahua'lam... Yang baik adalah dari Allah dan yang kurang dari Adawiyah sendiri...

    ReplyDelete
  2. sudah terbiasa dengan ejaan malaikat Izrail, bila sesekali melihat ejaan Israel, dua kali pandang juga lah :)

    ReplyDelete
  3. Kefahaman Islam yang kurang dan kecintaan kepada Allah yang nipis punca persepsi buruk Umat Islam sendiri terhadap poligami.

    Islam membenarkan poligami bukan untuk menzalimi wanita tetapi membela mereka sebenarnya.

    Al-Quran pun telah nyatakan kalau tak mampu adil cukuplah seorang.

    Sedutan An-Nisa: 3
    "...maka kahwinilah wanita-wanita(lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka kahwinilah seorang sahaja, atau hamba-hamba yang kamu miliki. Yang itu ialah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya."

    ReplyDelete
  4. Salam pada semua,

    Saya Jamal( munirmi76@gmail.com).Suka kepada blog kakak.Teringin nak buat blog, tapi masih tak kesempatan,berikut adalah link yang mempunyai bahan-bahan yg menarik untuk dakwah kepada diri dan orang lain khas untuk semua. www.kalamullah.com

    ReplyDelete
  5. Waalaikumussalam Mynie,
    Tahniah, tahniah kerana begitu prihatin ketika membaca. Sengaja saya letakkan ejaan itu, untuk mengetahui sama ada pembaca mahu menyatakan kesilapan saya atau tidak. Biasanya bila kita baca, kita selalu kata, "ah, ada silap" tetapi jarang mahu tampil ke depan untuk cuba betulkan :)[something I learnt in ESQ]

    ReplyDelete
  6. Waalaikumussalam,
    Adawiyah,Pemberitahu,
    Setuju dengan pendapat Adawiyah. Saya selalu menasihati pihak lelaki yang hendak mencari pasangan hidup agar melengkapkan diri dengan segala ilmu agama agar berjaya memimpin keluarga kelak.Kita perlu berhati-hati dalam isu poligami, kerana menolak satu hukum yang Allah izinkan juga bermaksud menolak kebijaksanaan & ketentuan Allah. Di medan inilah ramai wanita yang gugur kerana masih dibelenggu penyakit-penyakit hati.
    Ada yang menyatakan bahawa jika wanita menyayangi saudara seagama, tidak akan melakukan perbuatan yang menyakiti saudaranya termasuk menikahi suami saudaranya itu. Kata saya, jikalau benar-benar menyayangi saudara seagama yang amat memerlukan perlindungan dan bimbingan seorang suami,bukankah satu cara terbaik adalah dengan memberikan kebahagian berumahtangga kepadanya? Kalau anda bahagia sebagai isteri, dan mengaku berkahwin kerana Allah, mengapa dia tidak boleh mengalaminya juga, berkahwin kerana Allah? Poligami menurut sunnah Rasullullah adalah dengan menikahi wanita yang dalam kesulitan,janda, balu dan yang sudah berumur.

    ReplyDelete
  7. Waalaikumussalam
    Rantong, Jamaluddin,
    Rantong, mudah-mudahan ini kali pertama dan terakhir anda membuat iklan di blog ini. Saya 'old-fashioned' saya lebih yakin pada hasil yang konkrit.
    Jamaluddin, terima kasih atas link itu. Menulis untuk berkongsi dan berdakwah. Pujian hanya untuk Allah swt yang Maha Mencipta.

    ReplyDelete