Monday, October 13

TALI

"Berpeganglah pada tali yang kukuh.. iaitu al-Quran dan al-Sunnah..."

Alhamdulillah syukur padaNya.
Subhanallah. Allah Akbar. La illaha illallah.

"Apa yang kamu patut buat jikalau melihat kawan kamu sedang lemas?" saya mengadakan kuiz kepada pelajar.
"Terjun selamatkan dia, cikgu".
"Kalau kamu tak pandai berenang, nak terjun juga?"
"Err, panggil orang lain tolong la."
"Selain daripada panggil orang? Kalau kamu lari minta tolong, siapa lagi yang tinggal utnuk tolong kawan kamu itu?" saya soal mereka lagi.
"Errr.. hulurkan dia pelampung.." jawab seorang pelajar lelaki.
"Ya, cikgu, bagi tali atau kayu panjang supaya dia boleh bertaut pada tali itu. Kemudian kita bolehlah tarik dia ke tepi kolam atau sungai".
"Bagus, Helmi. Kalau kita tak pandai berenang atau kalau aliran sungai itu terlalu deras, kita masih boleh menggunakan bahan lain seperti dahan pokok yang panjang, tali panjang atau galah untuk selamatkan kawan kita. Gunakan akal dengan bijak, serta bahan yang ada di sekeliling kita. Yang penting kita berusaha menyelamatkannya. Jangan biarkan dia lemas."

Al-Quran dan Sunnah Rasullullah merupakan tali yang menghubungkan kita dengan Allah Yang Maha Esa. Tanpa tali tersebut, kita akan menjadi lemah. Sekiranya kita lama meninggalkan solat atau membaca al-Quran, kesannya sungguh nyata dalam amalan dan tingkahlaku kita; seolah-olah ada yang kurang. Hanya mereka yang pernah mengalaminya akan memahami maksud saya.

Hubungan kita dengan orang lain terutamanya dengan Muslimin dan Muslimat yang lain juga satu bentuk pertalian. Dengan adanya tali siratulrahim itulah, ukhwah terjalin dan segala urusan menjadi lebih mudah dan lebih sempurna. Renunglah kisah-kisah sahabat-sahabat Rasulullah yang dijamin masuk syurga dan bandingkan dengan diri kita yang serba kekurangan. Sudah kukuhkah tali siratulrahim yang kita jalinkan sesama kita atau masih ada lagi kekurangan?

Ada satu lagi tali yang amat diperlukan, tetapi kurang mendapat perhatian. pada pandangan sesetengah pihak,hanya tali pertama dan kedua yang perlu diutamakan. Akibatnya tali ketiga itu kadang-kala kuat, kadang-kala lemah dan hampir terputus. Inilah tali yang perlu dihulurkan kepada mereka yang bukan Muslim. Tali ketiga inilah yang perlu diberikan kepada born Muslim yang mengamalkan cara hidup bukan Islam. Itulah tali yang perlu disampaikan kepada mereka yang sedang berjinak-jinak dengan Islam, dan perlu ditarik dengan erat dan kuat daripada mereka yang mahu memeluk Islam kepada yang mampu membimbing mereka dalam Islam.

Syukur padaNya. Dengan perubahan zaman, tali yang ketiga ini berubah ke bentuk baru, dan semakin hari semakin menjular ke merata dunia. Bukan lagi memerlukan orang perseorangan sebagai perantara. Tidak perlu lagi mengisi borang, mencari posmen atau alamat tertentu untuk mendapatkan nasihat dan bimbingan. Kini tali ketiga ini disuntik secara halus dalam minda hamba-hambaNya, lalu direka dan diperkuatkan oleh mereka melalui perkembangan teknologi dan akhirnya disebarkan ke merata dunia sebagai jaringan internet. Alhamdulillah akibatnya cahaya Islam berkembang pesat di dunia Barat, tempat bermulanya kemudahan IT ini.

Tetapi di dunia kita, adakah tali ketiga ini dipergunakan sebaik-baiknya?
Orang born Muslim ramai yang masih bertumpu kepada tali pertama dan kedua sahaja. Tali ketiga dibiarkan kendur dan dimakan anai-anai, sedangkan tali ketiga itulah yang amat diperlukan untuk menyelamatkan dunia Islam yang semakin kucar-kacir dengan budaya heonisme, murtad dan penagihan dadah di kalangan born Muslim yang semakin hari semakin menuju kesesatan.

Bagaimana keadaan tali ketiga saudara dan saudari?
Sudah bercabang-cabang dan beranak-pinak kerana kerap digunakan atau semakin reput kerana terbiar lama?
Ramai saudara kita yang ingin menjadi sebahagian daripada keluarga kita, keluarga Islam sejagat. Tali inilah yang diperlukan untuk menarik mereka ke pangkuan kita.
Ramai rakan-rakan kita yang sudah hanyut dengan cabaran dunia igin kembali semula ke pelabuhan iman. Tali ketiga inilah yang amat diperlukan untuk menyelamatkan mereka daripaa terus lemas.

Tambahkan tali supaya terus bercabang. Perkuatkan tali yang ada. Hulurkan tali kepada yang memerlukan kerana kemungkinan tali yang dihulurkan itulah yang bakal menyelamatkan kita di alam fana, wallahua'lam.

Bantulah mereka yang memerlukan dengan bantuan derma kepada tabung Hidayah Centre (transit saudara baru), Radhatul Sakinah dan pusat-pusat lain yang memerlukan sumbangan. Selain itu, doakanlah bagi mereka yang mahu memeluk Islam tetapi masih berhadapan dengan pelbagai halangan. Kumpulan ini ramai. Alhamdulillah saya baru berkenalan dengan seorang bakal ahli keluarga kita hari ini yang memberi inspirasi kepada saya untuk menulis artikel ini.

1 comment:

  1. Tali Allah.. tali yang plg kuat sekali...
    terima kasih sudi berkongsi artikel nie..
    teringat pada hadis Rasulullah,
    jaga lah Allah, nescaya Dia akan menjagamu, peliharalah Allah nescaya engkau dapati dia bersamaMu...

    salam taaruf dari saya..

    ReplyDelete