"Dah sedia untuk periksa?"
Mereka selamba saja. Mereka yang mengiakan boleh dikira dengan jari. Alahai pelajar zaman sekarang. Peperiksaan dianggap perkara biasa. Pada musim peperiksaan, guru yang kelihatan lebih cemas daripada pelajar. Berebut-rebut masuk kelas untuk membuat ulangkaji sedangkan pelajar, terutama di kelas-kelas hujung selamba saja. Cikgu risau pelajar gagal. Tetapi pelajar masih bermain-main. Malah ada yang masih tidak tahu tarikh bermulanya peperiksaan dan subjek yang akan diuji pada hari pertama, kedua dan seterusnya.
Di dalam kampus universiti ramai pelajar yang sudah kelam-kabut. Pada waktu inilah assignment yang belum siap perlu disiapkan dan dihantar. Pada waktu inilah buku--buku dan nota-nota penting dicari, dipinjam dan difotostat. Pada waktu inilah meja dan kerusi di dalam perpustakaan menjadi rebutan.
"Wah, akak... macam mana akak maintain CGP yang tinggi setiap semester?"
Sebenarnya tiada formula khas. Proses belajar bermula dari awal semester lagi. Tatkala orang ramai masih berehat di dalam bilik atau melepak di kafe pada minggu pertama dan kedua, saya sudah mencari buku yang disenaraikan sebgai bahan bacaan wajib. Keluar masuk perpustakaan, pinjam buku dan buat salinan bab-bab penting. Sudah dapatkan website yang penting untuk membantu dalam kerja kursus. Sudah membelek buku rujukan supaya memahami kandungan subjek, dan supaya dapat bertanya soalan ketika ceramah dan tutorial. Hubungan baik dengan para pensyarah perlu dijaga dalam tahap profesional. Saya bermula dari awal ketika orang lain masih leka dengan hiburan sampingan.
Saya juga mencari rakan tugasan yang serius dalam pembelajaran dan boleh bekerjasama dengan saya untuk kerja kursus. Orang yang berani menegur saya ketika saya lalai. Orang yang bertanggungjawab dan beramanah supaya kerja kursus yang disiapkan itu berkualiti. Rakan setugas tidak semestinya seagama dan sebangsa dengan saya. Juga tidak semestinya rakan baik saya tempat saya bermanja dan mendapat simpati. Dengan cara begini, saya sendiri perlu menunjukkan sikap belajar yang baik kepada rakan lain. Komitmen terhadap kerja dan kerjasama dengan mereka juga satu cara berdakwah kepada sahabat yang bukan seagama dengan saya. Kalau kerja kursus dapat A atau A-, insyaAllah markah keseluruhan akan tetap tinggi. Kalau sekadar B+ atau B, terpaksalah lebih tekun untuk peperiksaan bertulis pula.
Kerja yang diamanahkan perlu disiapkan dengan sebaik mungkin. Jika buat dengan ala kadar atau sekadar cukup syarat, maka jangan melenting jikalau markah yang diterima juga sekadar cukup makan. Allah swt akan membalas seiring dengan usaha kita.
Satu rahsia saya ialah menulis target saya untuk sesuatu peperiksaan yang bakal dihadapi awal-awal lagi. Kalau dianggarkan saya perlu mencapai gred tertentu sesuatu subjek bagi menentukan CGPA tetap tinggi, insyaAllah saya akan berusaha mencapainya. Kalau 8 subjek, maka lapan gred anggaran sudah saya tulis sebulan sebelum peperiksaan. Target tinggi. Saya tampal di dinding untuk saya tatapi setiap hari. Tampalan itu juga untuk memotivasikan saya untuk terus berusaha setiap hari. Seterusnya saya cari dan dapatkan soalan peperiksaan tahun lepas sebagai latihan tambahan. Saya susun jadual belajar setiap subjek sebulan sebelum peperiksaan. Ulangkaji 6-8 jam sehari.
Pada minggu peperiksaan, saya tidur awal. Tidur cukup supaya minda segar. Masa itu bukan lagi masa sesuai untuk meletihkan minda memproses fakta-fakta baru. Sebaliknya saya lihat semula peta minda yang dibuat bagi setiap subjek kerana daya intelek saya jenis visual. Bagi orang yang mempunyai daya intelek muzikal, spatial dan lain-lain lagi, mungkin perlukan kaedah yang sesuai untuknya. Saya takkan bersekang mata malam menjelang peperiksaan, tidak seperti sesetengah rakan saya. Itulah cara saya. Cara orang lain mungkin lain pula.
Jaga solat, makan dan emosi pada hari peperiksaan. Sediakan semua yang perlu awal-awal lagi. Sampai di dewan peperiksaan awal. Carilah ruang yang sesuai untuk membuat ulangkaji terakhir. Kalau sudah letih, bolehlah berzikir. Di dalam dewan peperiksaan, mulakan dengan doa sebelum membuka kertas peperiksaan. Doalah supaya diterangkan hati, supaya dapat memahami kehendak soalan, mengingati semula segala yang dibaca, mententeramkan hati yang resah, dan supaya dapat menjawab soalan dengan sebaik mungkin. Demi Allah SWT, demi ibu bapa yang bersusah payah di kampung dan mengharapkan kejayaan anaknya, demi adik-adik yang menjadikan kejayaan abang/akak kelak sebagai contoh terbaik kepada mereka, dan demi masa depan sendiri supaya dapat berbakti kepada agama, keluarga dan negara.
Kepada semua yang bakal menghadapi peperiksaan, saya doakan kejayaan anda...
No comments:
Post a Comment