"A la, teacher.. kami masih beraya," kata salah seorang pelajar saya apabila saya menegurnya kerana tidak menyiapkan kerja yang diberi.
Cabaran dan dugaan. Pelajar menjadi semakin malas. Pada bulan Ramadhan, mereka memberi alasan bahawa mereka berpuasa. Kini pada bulan Syawal, alasan yang baru pula diberi; mereka masih menyambut Aidilfitri. Berani pula minta duit raya, huhuhuu.
"Teacher, raya selama sebulan," apabila saya memberi alasan Aidilfitri sudah pun berlalu untuk mengelak memberi duit raya. (mana mungkin, anggaran 30 pelajar x 7 kelas x Rm2= Rm420. Huhuhu, Teacher miskin).
"Betulkah raya Aidilfitri selama sebulan?" saya menyoal mereka. " Mana hadis atau surah dalam al-Quran bahawa Raya Aidilfitri selama sebulan?"
"A la, teacher.. bulan Syawal bukankah selama sebulan?"
" Itu bulan Syawal sayang, bukannya Hari Raya Aidilfitri. Jangan gunakan alasan bahawa kamu masih beraya untuk menjadi pelajar malas."
"Bulan puasa satu bulan, Raya pun satu bulan la.." komen pelajar lagi, dengan nada tak puas hati.
Memang saya pernah diberitahu kawan-kawan Melayu ketika saya belajar di bangku sekolah, bahawa Raya adalah selama sebulan lamanya. Yang saya musykil selepas memeluk Islam dan mengenali agama ini dengan lebih mendalam, adalah bahwa saya masih belum menjumpai hadis sahih atau pun ayat al-Quran yang menyatakan Hari Raya Aidilfitri adalah selama sebulan.
Kalau saya katakan kepada pelajar bahawa di Mekkah, Aidilfitri hanya disambut selama sehari, agaknya mereka akan percaya atau tidak?
Pening saya. Kini sudah masuk hari yang ke-lapan bulan Syawal tetapi suasana meriah menyambut Aidilfitri masih berterusan. Di sana sini masih ada jamuan Aidilfitri dan rumah terbuka Aidilfitri anjuran pertubuhan itu dan ini. Rasa-rasanya jamuan Aidilfitri akan berterusan sehingga akhir bulan ini.
"Erm, Khamis ni tak boleh, kawan dah jemput ke rumah untuk lunch.. Jumaat tentu sekali tak boleh puasa sunat. Sabtu ni pun tak boleh, ada jamuan raya selepas mesyuarat perkembangan staf. Ahad tak tentu, ada jemputan rumah terbuka. Isnin ada jamuan dengan ahli kelab. Selasa ada mesyuarat, dengar kata ada jamuan lagi, bos belanja."
Ah, cabaran sungguh. Niat untuk berpuasa Enam mungkin akan tinggal niat sekiranya diri tidak kuat berdisiplin. Bukan mudah untuk berpuasa sunat sedangkan ketua jabatan atau sahabat baik menjemput kita ke jamuan rumah terbuka Aidilfitri. Kalau tak pergi nanti orang menganggap kita sombong, yang baik sangka mungkin akan datang berjumpa terus sekaligus menjemput kita ke jamuannya. Kalau pergi, kita yang tak boleh makan bakal menjadi pemerhati orang yang makan. Akibatnya ramai yang memilih untuk menangguhkan Puasa Enam sehingga ke minggu akhir Syawal.
Pada tahun lepas, saya sempat berpuasa Enam walaupun ketika dalam musim peperiksaan. Caranya, saya memilih untuk tidak ke mana-mana dengan rakan-rakan selepas Aidilfitri apabila berpuasa sunat.
"Aliya, tak nak ke kantin untuk lunch ker?"
" Saya puasa."
Itu dahulu. Sekarang dalam suasana kerja, bukan semudah itu lagi. InsyaAllah semoga dapat teruskan amalan Puasa Enam pada Syawal tahun ini.
image: flickr.com/photos/8773361@N05/1557595328/
Salam Aliya,
ReplyDeleteDi Malaysia, puasa Ramadhan dan sambutan hari raya umpama pesta makan2. Ramadhan kita di sediakan dengan bazar Ramadhan yang menjual pelbagai jenis makanan. Hari raya di rayakan sebulan dengan jamuan rumah terbuka. Semuanya amat menyimpang jauh dari apa yang Rasulullah ajarkan kita. Tepuk dada tanya iman kita, bukan tanya selera. Jika tanya selera, kita tidak akan berhenti fikir soal makan...
Semoga Aliya ceria hari ini.
ala, the name of the day should say it all. hari raya aidilfitri, bukan bulan raya aidilfitri. pergh. automatiklah sambutannye sehari aje. *^^*
ReplyDeleteWaalaikumussalam Umi Jah,
ReplyDeleteBenar tu, amalan masyarakat kita masih banyak yang perlu diperbaiki.Saya tabik makcik-makcik dan pakcik-pakcik yang terus berpuasa 6 mulai Hari kedua Syawal, walaupun masih teruskan amalan menziarah.
Nnai, U are right too. But u should have seen the glum look on the students' faces when I told them to give me the proof that Aidilfitri is to be celebrated for a month in the hadith,hahaha. Their essays about how Aidilfitri is celebrated (homework) are mostly about food, duit raya and new clothes, hehehehe.