Tuesday, September 16

JIM ALIF WAU YA

"Huruf 'jim' seperti perut buncit" kata Cikgu Kamariah (bukan nama sebenar) kepada pelajar Darjah 2.
" Ada titik di tengah-tengah".

Kami ketawa. Darjah 2 tahun 1979 merupakan tahun peralihan di antara sukatan dalam Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu di sekolah saya. Salah satu daripada mata pelajaran yang baru adalah Jawi yang diajar kepada semua pelajar tahun 2, tidak kira bangsa dan agama mereka.



Saya bertuah. Saya antara pelajar bukan Melayu yang berjaya mengikuti mata pelajaran itu dengan baik dalam kelas.
Buku teks disediakan dan lengkap, malah bagi saya lebih lengkap daripada buku Pendidikan Islam sekarang yang diselit topik tentang huruf Jawi. Berpandukan buku teks dari Darjah 2 sehingga Darjah 6 itulah saya dapat menguasai Jawi walaupun bukan warisan bangsa saya malah lebih baik daripada bahasa Cina Asas yang saya pelajari dalam kelas POL.

"Eh, ni perkataan apa? Cepatlah.. dah nak sampai giliran saya!" kami saling berbisik.
Cikgu akan menyuruh kami membaca satu perenggan dalam Jawi setiap seorang. Bagi kami yang masih merangkak dalam pembacaan, setiap perkataan akan mempunyai perkataan rumi di atas perkataan jawi supaya pembacaan tidak tersekat-sekat. Tak perlulah dimarahi Cikgu bila tiba giliran kami untuk membaca. Terdapat rakan sekelas bukan Melayu tidak berbuat demikian, maka mereka akan dimarahi Cikgu yang menjatuhkan hukuman cubit perut. Aduhhh.. sakitnya. Nak mengelak daripada dicubit, pandai-pandailah kami. Lagipun Cikgu tidak pernah meneliti buku teks kami yang penuh tulisan rumi di atas setiap ayat dalam Jawi.

Bukan mudah nak menduduki peperiksan mata pelajaran Jawi ketika itu, tidak seperti yang dihadapi pelajar Melayu di sekolah sekarang.
Saya ingat lagi, kami disuruh menterjemah ayat kepada tulisan Jawi, menjawab soalan kefahaman teks dalam Jawi, dan membina ayat dengan perkataan Jawi. Peliknya, tiada satu ayat pun tentang agama Islam. Sebaliknya kami hanya membaca teks cerita yang ditulis dalam tulisan Jawi. Oleh kerana semua teks itu memerlukan pembacaan teliti (setiap tahun panjang teks semkain bertambah), tidak hairanlah ramai kawan-kawan bukan Melayu yang benci akan mata pelajaran ini, kerana menganggapnya susah untuk dikuasai. Saya terkecuali, kerana alhamdulillah, Allah swt permudahkan untuk saya.

Rakan sekelas saya, Mimi yang sering menangis dalam kelas Jawi. Dia langsung tidak berminat. Cikgu pula tidak mengendah sama ada pelajari itu Melayu atau bukan Melayu; siapa-siapa yang tidak boleh baca akan dikenakan hukuman. Akibatnya suatu hari bapa Mimi ke sekolah dan berjumpa Guru Besar. Selepas itu, Mimi tetap berada dalam kelas Jawi tetapi Cikgu tidak mengajarnya lagi. Kami yang lain tidak berani mengadu kepada ibu bapa kerana takut akan dimarahi pula di rumah, huhuhuu.

"Amoi, boleh baca ker?" usik guru pelatih Melayu yang melihat saya membaca surat khabar Utusan yang diterbitkan dalam Jawi semasa mengikuti kursus latihan di maktab.
"Boleh.. nak saya bacakan?"
Dia ternganga mendengar saya membaca berita itu dengan kuat.

Alhamdulillah, berkat usaha Cikgu yang mengajar di sekolah rendah (kursus Jawi tamat di sekolah rendah), saya masih boleh membaca dan menulis dalam Jawi, walaupun sekarang agak lambat.. kurang latihan, hahahaa.
Tulisan Jawi warisan Melayu. Namun demikian tidak salah kalau bukan Melayu boleh membaca dan menulisnya, bukan?

3 comments:

  1. Alhamdulillah, alhamdulillah, hebat, hebat...

    Lihatlah, Allah dah aturkan segalanya untuk akak sejak awal lagi.

    ReplyDelete
  2. Oh ya kak.. Sila baca http://harraz-humyrah.blogspot.com/2008/09/redha-humyrah.html kerana ada trophy Ramadhan untuk kak. In a nutshell, you've been tagged!

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum, was bloghopping and landed here. Interesting piece as I'm able to view different perspective. keep up. salam ramadan.

    ReplyDelete