Friday, September 5

BERNIAGA DI BAZAAR

"Aliya, berbuka puasalah di gerai Mak. Boleh bantu-bantu di gerai."
"Baik, Mak."
Saya mengangguk. Berbuka puasa di gerai Mak bermaksud membantunya berniaga di Bazaar Ramadhan.

Mak mertua saya wanita bekerjaya; dia membuka gerai makanan termasuk pada hujung minggu. Dia masih mahu berniaga walaupun sebenarnya pada usianya emasnya dan dengan pendapatan tetap daripada sewa rumah-rumahnya, dia boleh bersenang-lenang di rumah.
"Mak dah biasa berniaga, dah biasa pegang duit. Lagipun Mak nak buat apa di rumah? Dengan gerai ni, senang. Bila depa balik sini, semua boleh datang makan di gerai."
Saya diam. Bukan kali pertama anak-anak dan menantu-menantu Mak memujuk Mak untuk berhenti berniaga tetapi Mak masih memberi alasan yang sama. Sebenarnya Mak seronok mengira untung hasil perniagaannya, hehehee.

"Mak, berapa harga ikan seekor?" Saya cuba melayan pelanggan, kerana adik-adik ipar dan Mak semuanya sibuk berniaga di gerai. Ramai juga orang yang singgah membeli lauk di gerai Mak. Maklumlah terdapat kira-kira 25 hingga 30 jenis lauk yang berbeza pada setiap hari. Semuanya dimasak oleh Mak dan kakak ipar saya. Kalau tahun lalu saya sibuk membeli lauk berbuka puasa dekat universiti, nampaknya tahun ini saya berpeluang menjadi pembantu gerai pula. Teruja juga bila melihat wang kertas merah makin bertimbun di dalam bekas wang dan makanan semakin berkurangan di dalam dulang.

Adat berniaga ada pasang surut. Kalau rezeki amat murah pada hari itu, Mak tersenyum puas walaupun kami sekeluarga terpaksa berbuka puasa hanya dengan satu atau dua lauk yang tinggal. Kalau hari hujan atau banyak lauk yang tidak berjaya dijual selepas waktu berbuka puasa, muka Mak akan berkerut. Bukannya mudah hendak memasak dengan banyak untuk dijual ketika kita sendiri sedang berpuasa. Memenatkan. Bahan mentah perlu dibeli, ikan perlu disiang, ayam dibasuh, sayur dipotong dan sebagainya sebelum mula memasak. Ketika orang ramai bersantai di rumah masing-masing, periuk belanga orang yang berniaga perlu dicuci sehingga bersih supaya lauk baru boleh dimasak pada keesokan hari. Kita menjadi mengantuk dan letih kerana kurang berehat.

Kalau dahulu saya tidak kisah hujan atau tidak pada bulan Ramadhan, kini persepsi saya sudah berubah. Hujan mungkin melegakan kita yang kehausan kerana berpuasa tetapi itu alamat buruk kepada mereka yang berniaga di Bazaar Ramadhan. Hujan akan mengurangkan bilangan orang yang keluar membeli makanan untuk berbuka puasa. Kasihan mereka yang penat memasak pelbagai makanan untuk dijual, demi mendapatkan rezeki yang lebih tetapi jualan tidak laku.

Saya sebenarnya sudah biasa membantu di gerai Mak mertua.
Bekas Mak mertua saya (ibu bekas suami) pernah berniaga mee wantan setiap hari termasuk pada Tahun Baru Cina. Tugas utama saya ketika itu adalah mencuci pinggan mangkuk yang bertimbun kerana pinggan tidak mencukupi untuk pelanggan yang ramai.
Mak mertua sekarang pula berniaga nasi dengan lauk. Saya yang masih baru di gerai itu sekadar membantu menghidang dan membungkus makanan pelanggan.
Alangkah beruntungnya saya kerana menjadi menantu kepada wanita yang tabah, bijak dan mampu berdikari dari segi kewangan.

gambar hiasan: www.flickr.com
(tak sempat nak ambil gambar di gerai Mak, sibuk niaga!!! Lain kali jer :P)

No comments:

Post a Comment