Friday, November 27

KORBAN

"Mak Anjang, bila kita boleh balik?" anak saudara saya berusia 8 tahun bertanya. Khutbah hari raya masih berlangsung di masjid di kampung suami.
"Sabar, bila habis khutbah, kita balik ya," saya menasihatinya.
Alhamdulillah, saya dan suami sempat tiba di masjid sebelum bermulanya solat hari raya Eidil Adha. Kerana agak lewat, saya terpaksa mendirikan solat di beranda masjid, dipancari cahaya matahari. Keadaan agak panas. Anak saudara saya itu tiba sejurus selepas itu.

Semalam berita kematian jemaah haji di Jeddah amat mengejutkan. Siapa sangka, boleh banjir di kawasan tersebut. Itulah ujian Allah swt terhadap tetamu-tetamuNya.
Kita yang selamat dan dapat mendirikan solat raya berjemaah di sini pula, bagaimana pula?
Adakah kita bersyukur kerana masih diberi peluang menyambut hari raya haji bersama-sama ahli keluarga yang tercinta?
Adakah kita bersyukur kepadaNya kerana masih dapat menjamah makanan yang sedap-sedap, duduk di rumah yang selesa dalam suasana meriah hari raya tatkala ada saudara seagama kita yang masih hidup susah tanpa makanan yang berkhasiat setiap hari, atau mereka yang terpaksa menumpang di bangunan-bangunan kerana rumah sendiri tenggelam atau rosak dilanda banjir?
Atau adakah kita sekadar membaca suratkhabar, menonton televisyen lalu berasa kasihan dalam hati, kemudian meneruskan kehidupan harian kita tanpa berusaha menghulurkan bantuan atau mendoakan mereka yang ditimpa musibah itu?

Hari ini kita menyambut Hari Raya Korban!
Tetapi pernahkah kita merenung sejenak, sebenarnya apakah yang kita sambut pada 10 Zulhijah setiap tahun?
Menyembelih lembu kerana ibadat korban?
Kemudian bergotong-royong memasak dan berkenduri-kendara?
Bercuti kerana ia hari raya?
Atau kita merenung kembali kisah Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar?
Kisah Nabi Ibrahim yang begitu taat pada perintah Allah swt sehingga bersedia menyembelih anak tunggalnya sendiri iaitu Nabi Ismail? Kisah Nabi Ismail yang begitu taat pada ayahandanya dan bertaqwa pada Allah swt walaupun dia tahu dia bakal disembelih oleh ayahandanya? Kisah Siti Hajar yang begitu taat dan yakin dengan suaminya sehingga beliau redha dengan tindakan Nabi Ibrahim untuk menyembelih anak tunggal mereka?
Setiap tahun kita dengar kisah mereka.
Tetapi apakah yang kita belajar daripada tindakan-tindakan mereka itu?
Untuk mengorbankan lembu?
Oh, bukan itu sahaja!

Menyembelih lembu adalah perkara sunat pada Hari Raya Eidil Adha. Mengerjakan haji pula sesuatu yang wajib bagi yang mampu mengerjakannya.
Namun, pernahkah kita fikirkan apakah sebenarnya yang perlu dipelajari daripada kesemua itu?
Mendapat keredhaan Allah swt dengan ikhlas melakukan korban.
Bersabar menghadapi segala ujian dan dugaan Allah swt ketika menjadi tetamunya di Tanah Suci.
Namun... sekiranya kita mengerjakan korban seekor lembu setiap tahun dan kembali dengan gelaran 'Tuan Haji" atau "Puan Hajjah' tetapi hati kita pula masih sama, tetap tidak berubah, adakah berkesan ibadah haji yang dilakukan? Wallahu'alam.
Kalau kita masih seperti dahulu- masih panas baran, mudah cemburu, berhasad dengki dengan orang lain, dan mempunyai pelbagai penyakit hati yang masih belum sembuh - bilakah kita mahu mengorbankan kesemua sifat mazmumah itu?
Mengerjakan ibadah korban bukan setakat menyembelih lembu.
Mengerjakan ibadah haji bukan setakat melakukan segala ibadah selama 45 hari di Mekkah dan Madinah.
Ia sepatutnya lebih daripada itu!

Allah swt mengkehendaki kita untuk kembali bertaqwa kepadaNya.
Kembali dengan mematuhi segala suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya.
Mengubati penyakit hati kita yang sentiasa ada. Kerana penyakit hatilah, kita sering melakukan dosa.
Untuk menewaskan iblis yang cuba menghasut, kita perlu perbaiki hati kita.
Korbankan perasaan EGO.... "SAYA DAHULU", "SAYA BETUL", "SAYA HEBAT"
Korbankan sifat TAMAK HALOBA... "SAYA MAHU"
Korbankan sifat MEMENTINGKAN DIRI SENDIRI.... "SAYA, SEBELUM KAMU", "SAYA PENTING", "SAYA LEBIH BERHAK"
Korbankan sifat cinta pada duniawi sebaliknya...
Menanam sifat taat dengan mengerjakan solat dan membaca al-Quran.
Menyemai sifat kasih sayang dengan bersedekah dan bertolak ansur sesama Muslim.
Menguatkan jati diri seorang Muslim dengan berusaha bersungguh-sungguh untuk berbuat baik kepada semua makhluk Allah.
Tak kiralah sama ada kita bergelar ustaz, aktif dalam NGO Islam mahupun seorang yang 'biasa-biasa aja", kita semua perlu sentiasa bermujahadah diri.
Kita rukuk dan sujud padaNya tetapi kadang-kala kita lupa bahawa kita dijadikanNya untuk bersaudara sesama mereka yang seagama dengan kita. Itulah pentingnya solat berjemaah supaya kita sentiasa beringat.

Bayangkanlah sekiranya semua jemaah haji bersikap negatif dan mementingkan diri, mampukah ibadah haji di Tanah Suci berjalan dengan sempurna?

Selamat Menyambut Hari Raya Eidil Adha.
Maaf zahir dan batin.

7 comments:

  1. salam aidiladha utk kak aliya sekeluarga.

    ReplyDelete
  2. Kakak,

    Saya syukur kepada Allah dapat membaca blog Kakak. Saya juga sangat gembira sebagai seorang Muslimah, Kakak dapat menerima dan mempertahankan poligami.

    Saya mempunyai seorang adik perempuan yang kehilangan suaminya tahun lepas. Umurnya baru 26. Manis dan penuh sopan santun. Bolehkah adik saya berkenalan dengan suami Kakak? Adik saya tidak kisah menjadi isteri kedua asalkan dapat seorang suami yang boleh membimbingnya ke pangkal sisi Allah. Dia sanggup menjaga Kakak dan anak.

    Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan taniah kepada Kakak. Harap Kakak dapat menimbang cahaya mata yang sihat sejahtera.

    Email: mahmood.din@gmail.com

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikumn Wrt. Wbt.

    Apa khabar Sis? Ibadah haji ini ialah sesuatu yang diidam-idamkan oleh setiap daripada kita. Namun kadang-kala kita menjadi leka dan lupa akannya. Walaupun yang tidak mampu untuk pergi haji tidak perlu pergi haji tetapi sekurang-kurangnya kita perlulah mempunyai niat untuk pergi haji.

    Jika dilihat daripada orang-orang yang pergi haji biasanya orang-orang yang berpendapatan sederhana dan ada juga yang miskin. Dengan mengumpul wang sedikit demi sedikit mereka mampu menjalankan rukun Islam yang penting ini.

    Zaman ini, orang yang mampu(kaya) pula tak pergi-pergi haji... hehehehe...

    Salam Said,
    Bukan mudah untuk berpoligami walaupun dibenarkan. Suami haruslah mampu untuk adil. Saya contohnya tidak mampu berbuat begitu.

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam semua,
    eL,terima kasih dan salam kembali dari kami di sini. maaf lewat balas kerana baru pulang dari KL.
    armouris, terima kasih. Info yang baik.
    siti nurbaiya, sekadar berkongsi pendapat.

    ReplyDelete
  5. Waalaikumussalam Said,
    Terima kasih atas kepercayaan yang diberi, serta doa.
    Kata senang tetapi sebenarnya bukan mudah untuk mengamalkan poligami dengan bahagia dan harmoni, hanya mereka yang melaluinya faham. Mohon maaf,setelah berbincang walaupun saya positif suami saya tidak sanggup/mampu menanggung kewajipan keluarga tambahan serta amanah yang dituntut dalam poligami.Beliau sangat sibuk dengan tugas.
    Adik saudara masih muda. Saya doakan agar dia mendapat jodoh dengan seorang Muslim yang baik, penyayang dan bertanggungjawab, insyaAllah.

    ReplyDelete
  6. Waalaikumussalam wrt wbt
    ahong,
    Niat untuk menunaikan haji perlu ada, dan perlu diutamakan sebelum kita melancong ke luar negara yang menelan belanja melebihi belanja untuk ke haji. Saya? Target untuk pergi dah ada tetapi $$$ belum mencukupi.. maklumlah baru memeluk Islam.
    Ada orang kaya yang mampu tetapi takut nak pergi haji, hehehee

    ReplyDelete