Sunday, November 8

RESTU GURU

Seingat saya, tak pernah saya mengambil peperiksaan umum tanpa mengadap guru terlebih dahulu. Alhamdulillah, kami di bangku sekolah diasuh untuk berbuat demikian setiap kali menjelang peperiksaan oleh para guru yang mengajar kami. Berkumpullah kami di hadapan bilik guru menjelang minggu peperiksaan terutamanya SRP [kini PMR] dan SPM.
Mengadap guru. Meminta maaf. Menjernihkan segala yang keruh, meleraikan segala yang kusut. Memohon restunya. Meninggalkan guru dengan senyuman lebar. Kemudian barulah tenang menghadapi peperiksaan.

Bukannya susah pun walaupun kadang-kadang berat mulut untuk mengucapkan maaf kepada guru yang pernah merotan, mencubit dan menjatuhkan air muka kita sepanjang tahun mengajar kita. Mahu tak mahu terpaksa juga tebalkan muka, buang jauh-jauh perasaan negatif dan memohon restunya, halalkan segala ilmu yang diberikannya. Takut nanti kerana cikgu masih marah pada kita, tak dapat A dalam subjek yang diajarnya walaupun sudah puas kita belajar. Maklum sahajalah, tak dapat restu guru, bermakna tak akan dapat restu Allah. Nanti susah ketika menjawab soalan peperiksaan.

Saya tersentuh hati apabila membaca sebuah artikel tentang cara berterima kasih kepada guru. Penulis itu telah menulis surat 'thank you' kepada setiap orang guru/pensyarahnya, menyatakan bagaimana dia amat bersyukur kerana telah mendapat ilmu daripada guru berkenaan. Sepucuk surat tidak mengambil masa yang lama untuk menulisnya, hanya perlukan beberapa baris yang ditulis dengan jujur. Namun bagi penerima, surat tersebut mungkin memberi impak yang positif dalam kerjayanya sebagai seorang guru/pensyarah. Surat itu mungkin satu-satunya surat 'terima kasih' yang diterimanya sepanjang kariernya sebagai warga pendidik. Percayalah, memberikan surat 'terima kasih' kepada guru yang mengajar anda akan membuahkan hasil yang sangat baik dalam hidup anda [saya sendiri pernah menerima balasan positif daripada mereka yang menerima surat saya].

Kadang-kadang saya tidak pasti sama ada para pelajar yang datang ke bilik guru untuk bersalaman dengan guru benar-benar datang kerana ikhlas mahu meminta maaf atau kerana diajak oleh kawan-kawan mereka. Ada yang sengaja tidak mahu berbuat demikian kerana masih kecil hati dengan guru tertentu. Ada yang mengumpat tentang guru-guru mereka sehingga menjelang hari peperiksaan. Nasihat saya kepada mereka yang bersikap begitu, USAHLAH. Ingat diri anda adalah pelajar dan dia adalah guru. Walaupun dia hanya mengajar satu ayat, dia tetap guru anda. Wajib menghormatinya sebagai guru anda. Patut meminta maaf atas dosa anda terhadapnya kerana sekiranya dia kecil hati dan tidak menghalalkan ilmunya pada anda, anda juga yang akan rugi.

Ramai juga pelajar yang apabila meninggalkan bangku sekolah, tidak lagi mengamalkan tabiat mengadap guru menjelang akhir semester. Mungkin bagi mereka, pensyarah kolej dan universiti lain taraf mereka. Namun hakikatnya, mereka masih juga guru anda. Masih perlu hormat dan beradab dengan mereka walaupun mereka mungkin sebaya atau lebih muda daripada anda. Tak susah pun untuk mengucapkan terima kasih kepadanya pada kuliah terakhir atau mengirim kad ucapan/ email mengucapkan terima kasih kerana mengajar anda untuk satu semester. Ini bukan untuk membodek pensyarah untuk markah lebih tetapi sebagai tanda penghargaan. Percayalah, anda akan lebih tenang menghadapi peperiksaan kelak.

Kemudian apabila menerima keputusan peperiksaan, sekali lagi mengadaplah guru yang sama untuk mengucapkan terima kasih dan memberitahunya tentang keputusan yang diterima. Ramai yang abaikan hal ini kerana terlalu gembira dengan keputusan yang diterima dan menganggap semua A dalam keputusan slip peperiksaan adalah hasil usahanya sendiri. Ingatlah, anda tidak akan berjaya tanpa guru yang mengajar. Restu dan doa guru anda bukan terhad untuk satu semester mahupun satu tahun sahaja. Selagi dia mengingati anda secara positif dalam doanya, selagi itulah anda akan mendapat kebaikan walaupun sudah bertahun-tahun tidak bertemu.

Selamat maju jaya kepada mereka yang bakal menghadapi peperiksaan.

2 comments:

  1. assalammualaikum

    menulis surat terima kasih...ya, tak pernah dapat dari anak murid lagi surat sebegini...

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam kl citizen,
    Sebenarnya kita yang perlu latih mereka untuk membuat begitu, bermula dengan anak sendiri kepada gurunya.
    Alhamdulillah saya masih simpan kad thank you dari pelajar ketika saya praktikum 1992.. kad jemputan kahwin [raya tahun ini] dari bekas pelajar 1993 :)

    ReplyDelete