"Cikgu, apa maksud darurat?" dia berbisik kepada saya yang duduk di sebelah mejanya.
Pucat lesi wajahnya. Serius. Sepanjang tahun, tak pernah saya melihatnya duduk begitu lama di atas kerusi kelas.
Saya senyum,"Tak tahu, saya guru BI, bukan guru Pendidikan Islam. Jawab sendiri."
Soalannya tak susah pun, lebih kurang begini: 'Nyatakan 2 syarat orang Islam dibenarkan makan makanan haram ketika darurat'.
Hah, padan muka. Ketika ustazah mengajar, dia dan kawan-kawannya menjadi kutu rayau; memberi alasan ke tandas tetapi 'mengeram' berjam-jam di tempat lain. Akibatnya banyak perkara yang sepatutnya dia belajar dan tahu, dia masih tidak tahu.
Sekarang musim peperiksaan akhir tahun di sekolah dan institusi pengajian lain. Ketika inilah kutu-kutu rayau dan mat ponteng menggaru kepala yang tidak gatal.
Saya tahu masalah yang dihadapi oleh pelajar berkenaan.
Gagal dalam subjek Pendidikan Islam? Aduh, malu! Takut nanti bapa mengamuk di rumah apabila keputusan peperiksaan dikirim melalui pos ke rumah. Kalau subjek lain boleh katakan susah atau tak faham apa yang diajar oleh guru tetapi gagal dalam Pendidikan Islam? Bererti tak pandai dalam bab-bab agama. Belum cukup ilmu sebagai pelajar Islam Tingkatan tersebut, sedangkan diri sudah tahu membaca dan menulis. Walhal semua maklumat ada di dalam buku teks yang hanya menjadi perhiasan di dalam beg sekolah sepanjang tahun.
Bukankah cikgu dah beri amaran?
Mengapa tak baca buku?
"Siapa kamu untuk masuk ke sini!?! Kamu tak beradab dengan cikgu, kamu akan menyesal nanti! Tunggu la, Allah akan memberi pengajaran yang takkan kamu lupa! Saya doakan agar pengajaran itu segera ke atas kamu!"
Saya memarahi mereka dari dalam bilik darjah. Geram. Menahan sabar. Kutu-kutu rayau yang biadap dan bersikap kurang ajar Tingkatan 2 itu (keluar kelas sendiri tanpa kebenaran guru) telah menceroboh masuk ke dalam kelas Tingkatan 1 saya mengajar sambil mengugut pelajar kelas tersebut. Bila saya menjerit kuat, mereka melarikan diri ke tangga tetapi masih membuat bising seolah-olah mencabar guru. Ketawa. Mengajuk. Mengintai dari tangga. Saya tak hiraukan mereka. Kalau marah lagi, mereka akan berasa lebih seronok.
Kalau 5 tahun lalu, sudah tentu saya telah cuba mengejar mereka, tangkap dan heret mereka ke dalam pejabat. Tapi saya sudah letih, tambahan dalam keadaan mengandung. Bukan kali pertama mereka mengganggu kelas lain dan membuat bising. Bila guru cuba menangkap mereka, mereka lari dengan laju untuk melepaskan diri. Bila pihak sekolah mengadu kepada ibu bapa, pelajar tersebut tidak mengaku kesalahan mereka dan ibu bapa pula menyokong anak dan menyalahkan guru. Akibatnya anak-anak yang dimanjakan itu rosak sahsiah. Dan lebih menyedihkan, rata-ratanya anak Melayu. Anak orang kampung. Pelajar yang lemah dalam akademik.
Sepatutnya mereka rajin belajar untuk mengubah nasib keluarga. Malangnya mereka terlalu dimanjakan sehingga bersikap tidak kisah dalam pelajaran lagi. Buku teks dapat percuma, baju sekolah boleh dapat percuma, yuran sekolah kalau mengaku keluarga miskin PIBG boleh tolong bayar. Tak lulus peperiksaan pun tak mengapa, masih boleh naik tingkatan. Semua tak perlu usaha yang banyak. Puas dinasihati tetapi pengaruh rakan sebaya yang negatif lebih kuat.
Bila nak menyesal kerana membuang masa dan tak belajar bersungguh-sungguh? Agaknya bila terima slip keputusan SPM yang tertulis GAGAL ketiga-tiga subjek Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa Inggeris..
Menjadi guru bukan mudah; perlukan keperibadian yang tinggi dan kesabaran tahap infiniti.
ReplyDelete:p
Aduhai apa nak jadi dengan mereka ni. Kalaulah mereka tahu masa depan mereka sendiri..
ReplyDeleteAssalamualaikum Snuze & Humyrah,
ReplyDeleteKeperibadian tinggi dan kesabaran hanya boleh diperolehi melalui pengalaman.
Ah, mereka memang tak sedar segala yang dilakukan sekarang akan mempengaruhi masa depan.. sebab bagi mereka masa depan itu jauh lagi.
assalammualaikum aliya
ReplyDeletesenario yang hampir sama di semua sekolah harian, kan...
mati akal dibuatnya
waalaikumussalam kl citizen,
ReplyDeleteSekolah harian terutama sekolah menengah adalah tempat himpunan para pelajar sederhana dan lemah akademik, pelbagai ragam.
Kalau cikgu dah malas nak ambil kisah, dah tak larat menegur, lagi rosaklah mereka.