Alhamdulillah hari ini hari kedua peperiksaan SPM.
Kelihatan para pelajar lebih tenang berbanding semalam. Saya pula yang tidak tenang duduk sepanjang pagi kerana subjek Bahasa Inggeris 1119 diuji pada hari ini. Hanya mampu menasihati pelajar agar memberi tumpuan kepada beberapa bahagian yang dijangka disoal tahun ini. Kepada mereka yang kritikal dan lemah dalam Bahasa Inggeris, berulangkali saya nasihati agar mereka menjawab kesemua soalan [peluang sekali saja, sayang oiiii.. buat yang terbaik..!]. Pada hari ini sahajalah, kelihatan wajah gementar mereka-mereka yang kurang bersedia. Namun saya tabik kerana mereka masih berani menduduki peperiksaan walaupun risiko gagal amat tinggi.
Syukur.. beberapa topik yang dijangka dan telah dbincangkan dalam kelas memang keluar. Hanya doa agar mereka dapat menjawab dengan baik. Walau apa pun keputusan peperiksaan kelak, saya harap mereka boleh menjawab bahawa mereka telah melakukan dengan terbaik dan tiada penyesalan.
Kasihan pelajar yang terpaksa menghadapi peperiksaan dalam keadaan banjir. Semoga Allah swt berikan kekuatan dan kesabaran kepada mereka untuk menghadapinya.Teringat saya ketika waktu saya sendiri menduduki SPM, peperiksaan terpaksa ditangguh selama 2 minggu kerana banjir teruk di Kelantan dan Terengganu. Semoga situasi tersebut tidak berulang lagi.
Pada hari ini juga, keputusan peperiksaan UPSR keluar. Tahniah kepada mereka yang lulus dengan cemerlang. Usaha lagi bagi mereka yang gagal mendapat keputusan sepertimana yang diingini. Walau apapun, semua pelajar masih dapat meneruskan pembelajaran ke sekolah menengah, tidak seperti zaman persekolahan dahulu apabila pelajar yang gagal perlu ulang di darjah yang sama tahun berikutnya. Alangkah beruntungnya pelajar sekarang!
No comments:
Post a Comment