Friday, March 20

SERAMBI MEKAH

Alhamdulillah saya baru balik dari Kota Bahru. Pelbagai peristiwa menarik berlaku dan menguji kesabaran serta kekuatan diri ini. Terus terang saya bukanlah seorang yang perfect mahupun seorang yang dikatakan alim. Syukur dengan segala rezeki yang diberikanNya. Terhibur dengan telatah orang ramai di sekeliling. Bersabar dengan gelagat manusia yang kadang-kadang menguji tahap kesabaran.

Perjalanan dengan suami ke negeri Serambi Mekah itu mengambil masa hampir 8 jam. Keadaan cuaca yang baik memberi peluang menikmati keindahan kejadian Allah di tempat rehat Titi Wangsa. Sejuk dan nyamannya angin bukit itu walaupun matahari jatuh di atas kepala pada waktu tengah hari. Malangnya, keadaan di tempat rehat itu kurang menyenangkan mata memandang. Sampah sarap dan beg plastik bertaburan di kawasan tempat letak kereta sedangkan tong sampah yang berdekatan hanya separuh berisi. Lalat yang berkerumun menyebabkan saya dan suami mengambil keputusan untuk tidak makan tengah hari di situ. Kasihan saya melihat mereka yang kelaparan makan di meja-meja dan tepi longkang yang kurang bersih dan penuh dengan sampah sarap. Walaupun kemudahan di persinggahan itu lengkap, kebersihan kawasan itu masih boleh ditingkatkan. Terdapat beberapa orang pelancong Eropah yang turut menjamu selera di situ. Entah apa yang bermain di kepala mereka apabila melihat tahap kebersihan yang kurang memuaskan di situ?

Kota Bharu yang menyambut kedatangan kami, seperti biasa, sesak dengan kenderaan. Kesesakan lalu lintas berlaku hampir setiap masa. Pembangunan atau pembinaan semula berlaku di sana sini. Siapa kata bahawa negeri pantai timur tidak membangun?

Melawat negeri orang dalam keadaan bercuti memang istimewa. Diri tidak terikat dengan rutin. Hanya perlu memastikan bayaran meletak kenderaan tetap berbayar (akhirnya menderma ihsan juga kepada MPKB kerana terlewat, huhuhu). Melawat ke pusat-pusat bersejarah tertentu (saya suka melawat tempat bersejarah sesuatu kawasan) memberi peluang kami menjalin hubungan ukhwah dengan rakyat Kelantan. Alhamdulillah begitu mudah mendapat bantuan dan petunjuk arah daripada mereka yang kami temui. Walaupun terpaksa membatalkan hasrat melawat ke Masjid Cina di Rantau Panjang kerana kesuntukan masa, kami gembira menikmati makanan tradisi yang susah didapati di sebelah utara seperti akok, ladu, nasi kerabu, laksam, keropok lekor dan nasi dagang.

Diri juga bersyukur kerana dalam kesibukan orang ramai, masih ada yang sudi membantu kami. Pekerja di Muzium Kelantan berbesar hati menerangkan kepada kami (siap menunjukkan peta jalan) jalan yang perlu diikuti untuk menuju ke destinasi seterusnya, manakala orang lain yang kami temui sepanjang perjalanan memberi bantuan dengan senyuman manis. Tidak susah untuk mendapatkan bantuan walaupun baru kali pertama bertemu.

Saya berpeluang berjumpa seorang rakan blogger walaupun dalam keadaan tergesa-gesa. Syukur dengan izinNya dapatlah bertemu dengan kakchik yang sering mengunjungi blog ini, hehehe. Umpama mencari jarum emas di sebalik jerami (kena tegur dengan suami kerana tiada nombor telefonnya) saya mencuba nasib mencarinya di tengah-tengah kesibukan negeri Kelantan hanya berbekalkan alamatnya. Hujan lebat yang turun semasa kami dalam perjalanan menemuinya memberi rahmat. Terima kasih kakchik, insyaAllah lain kali bertemu lagi.

Niat di hati, biarlah selamat tiba semula di rumah menjelang senja. Walaupun suami seorang pemandu yang cekap dan berpengalaman, saya tidak mahu mengambil risiko. Namun kita merancang, Allah yang menentukan. Kami perlu berhenti di beberapa lokasi untuk pelbagai keperluan. Telefon pula tidak berhenti-henti berbunyi dengan sms dan panggilan penting. Saya hanya berserah kepadaNya, dalam suasana malam gelap menuruni curam banjaran Titiwangsa di sepanjang lebuhraya Timur-Barat.

Melancong ke negeri orang banyak menginsafkan diri. Bermusafir memberi peluang untuk menikmati keindahan dan kebesaran kuasa Allah swt. Berada dalam keadaan yang kurang pasti semasa bermusafir banyak memberi peluang kita untuk berdoa, bertawakkal dan bersyukur dengan segala nikmat yang diberikanNya kepada kita. Kita hanyalah hambaNya yang kerdil lagi lemah, dan walaupun dengan wang beribu-ribu ringgit di dalam tangan, masih tidak menjamin keselamatan dan kebahagiaan kita jikalau Dia menentukan sebaliknya. Sebagai orang asing di sesuatu tempat, kita akan dapati bahawa manusia di mana-mana pun masih mempunyai persamaan - layani mereka dengan baik dan mesra, dengan niat yang betul, dan insyaAllah segala kebaikan yang ada padanya dapat kita rasai bersama.

Syukur alhamdulillah kerana Dia mengizinkan kami bercuti di negeri orang. InsyaAllah kalau ada rezeki akan melawat tempat lain pula, bertemu dengan rakan blogger lain pula :)

(maaf, internet merangkak hari ini. InsyaAllah nanti saya letakkan gambar)

5 comments:

  1. Insya-Allah no tel dah ada kan. bila nak dtg lagi ke Kelantan ni, hantarkan pesan ya. Boleh lah kakchik bersiap apa yang patut. Malu sungguh tetamu datang, tak jamu makan pun.

    ReplyDelete
  2. wah...bercuti sakan ye? hahaha..me myself fly to Sabah last week. seronok tengok tempat orang ek?

    ReplyDelete
  3. Saya pun baru pulang setelah bercuti selama seminggu di Kelantan. Asal ada saja cuti, saya akan pulang ke sana.

    Perhatikan, langit dan awan di sana sangat hampir dengan tanah (berbanding di KL/Selangor. Di utara saya kurang pasti.)

    Sangat gembira bila pulang ke sana. Nak balik semula ke Johor je, rasa sedih.. Tiba-tiba rasa serabut dan rindu. Hehe.

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam Kakchik, Faizal, & Humyrah,
    InsyaAllah, lain kali akan lebih bersedia, hehehe. 2 hari di KB tak cukup!Ahh, nanti akak hantar list panjang nak makan apa nak jumpa siapa (wink2)dan nak pergi mana :P
    Wa-lao, Faizal, to Sabah? Apa hal, makan angin gak? Bila balik kpg, contact saya, k. Tn.Haji kirim salam :)
    Ah, humyrah, lama tak dengar berita. Best tak jadi pensyarah?

    ReplyDelete
  5. Aliya,

    Ke Sabah sebagai bacpackers...hajat nak water rafting tapi tak kesampaian sebab bahaya (kes hujan lebat). Sempat snorkeling je...Waalaikumsalam...Gambar ke KB tak ada ke? Hehehehe....

    ReplyDelete