Friday, March 6

MALAM JUMAAT DI MASJID SJ

"Siapa pernah baca buku Travelog Haji? InsyaAllah malam ini penulis itu, Prof Muhd Kamil akan memberi ceramah di Masjid Seberang Jaya, lepas solat maghrib."
Saya terpanggil untuk memberitahu staf di bilik guru.
Alhamdulillah rupa-rupanya ramai juga peminat Prof. Terus mereka bertanya, meminta saya membantu membelikan buku-bukunya (susah nak dapat di sini - stok habis!). Ada juga yang hadir di ceramah malam tadi.
Alhamdulillah dengan izinNya, saya audien pertama masuk ke dalam dewan.(sudah buat survey lebih awal) Dapatlah saya bersalaman dan berkenalan dengan pihak urus setia yang menganjurkan ceramah. Mesranya mereka.
Penampilan Prof Kamil sederhana tetapi bertenaga. Ceramah yang disampaikan selama hampir 3 jam itu (berhenti sejenak untuk solat isyak) sungguh menyentuh hati para pendengar. Saya memandang sekeliling. Semua asyik mendengar.
Di sebelah saya duduk seorang wanita tua yang begitu asyik mendengar ceramah. Tangannya memegang sebuah buku nota dan sebatang pen.Saya menjeling melihat notanya. Oh, menarik sekali catatan yang dibuatnya daripada ceramah itu.

Di belakang saya duduk seorang wanita. Dia berkata bahawa dia datang dari Taiping, semata-mata untuk mendengar ceramah Prof.
"Jauhnya, sejam perjalanan ya.. Kak datang seorang dirikah?" saya menegurnya.
"Kak ikut kawan. Dia dapat berita ada ceramah ini daripada internet," jelasnya.
Dia meminta melihat buku Travelog Dakwah yang saya bawa bersama. Kelihatan dia khusyuk membaca ketika waktu rehat.
"Bagaimana kak? Menarik?" saya bertanya.
"Tengoklah mata saya ni (sudah merah). Inipun baru baca beberapa bab yang saya pilih," katanya sambil menyerahkan kembali buku kepada saya.
Ah! Lembutnya hati wanita.

Ceramah Prof Kamil panjang tetapi saya tidak penat mendengar. Banyak mesej yang disampaikannya tetapi saya tahu, mungkin pengisian bagi diri saya berbeza dengan mesej yang diterima oleh orang lain di dalam dewan. Alhamdulillah, doa saya untuk bertemu Prof Kamil lebih awal sebelum bulan Jun dimakbulkanNya. Syukur juga, kerana saya diberi peluang mendengar ceramah ini tatkala saya memerlukan sesuatu bentuk pengisian baru.

Benar, semua yang berlaku bukan secara kebetulan. Allah swt yang telah merancang segalanya dan Dialah sebaik-baik perancang. Hidup di dunia ini hanya satu persinggahan sementara. Segala usaha kita, tujuan hidup kita dan fokus aktiviti kita tidak lain dan tidak bukan, adalah untuk mendapat rahmat dan keredhaanNya. Jangan tunggu untuk pergi menunaikan haji sebelum mahu menjadi Muslim yang terbaik, dan jangan anggap diri sudah menjadi "baik" setelah kembali daripada menunaikan ibadah haji. Hanya apabila hati menjadi lembut, diri ikhlas mahu menjadi hamba Allah swt yang taat, yang menyerah segalanya kepada Dia yang Maha Berkuasa, maka barulah dapat diubah sempadan iman pada diri sendiri, serta merasai kemanisan iman dan kasih sayang Allah sepenuhNya.

Semoga Allah berkati Prof Muhd Kamil, melindunginya dengan kesihatan yang baik, dan mempermudahkan segala urusannya di dunia dan akhirat. Semoga juga akan wujudnya lebih ramai hamba Allah sepertinya dalam masyarakat kita, supaya kita sentiasa diingatkan akan kebesaran Allah swt dan kekuasaanNya.

3 comments:

  1. kak aliya, salam. terima kasih banyak2 kak. nani dah baca dan simpan nasihat kak aliya tentang terlewat masuk kerja hari tu. masa baca tu mmg nani menangis lagi..tapi dah lega sikit lepas fikir balik apa kak aliya tulis. thank you, kak aliya. kamu buat nani lebih tabah, in a way. =)

    erm. prof kamil ni nani macam pernah dengar. tapi belum pernah tgk/dgr ceramah dia. cuma pernah dgr org sebut nama dia lah. tp kak aliya bercerita buat nani terminat lah. kejap lagi nani google. hehe.

    kak, nk minta komen kak aliya tentang sebuah novel remaja yg ditulis oleh seorg journalist dr sebuah akhbar inggeris. i quoted two excerpts from it up my blog, dan sgtlah tak islamic-nya excerpts itu. from your point of view as a person yg dah lama mengajar dan deal dengan remaja as well as various reading materials, i'd like to hear what you think. sebab as i usual, i am childish in my way of looking at and responding to things.

    come by when you're free, ya?

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam Nani,
    Alhamdulillah it's good to know that you're coping well? You're welcome, that's what sisters are for, right? :)
    Betul, buku Prof Kamil memang menarik. Nak dengar pula apa komen Nani selepas membaca Travelog Haji, hahaha..
    Dah baca pos terbaru Nani, insyaAllah nanti saya beri pandangan.Sabar yer

    ReplyDelete
  3. 1st time baca buku Travelog haji selepas saya attend ESQ165 Leadership Training.

    lepas ESQ hati saya membuak2 nak menunaikan haji/umrah.


    Ya ALLAH
    menitis air mata dibilik hotel di Kota Bharu baca buku Travelog haji tu.

    Moga2 tahun ni berjaya buat umrah/haji

    ReplyDelete