Thursday, February 19

MENGGATAL?

"Oh, dia tu? Memang dari dulu lagi dah teruk. Menggatal dengan lelaki."
"Depan kita nampak elok tetapi di belakang macam-macam la.."
"Padan muka dia, dok gatal dengan jantan."
Saya sakit telinga. Terkilan. Susah hati. Orang yang diumpat pula yang saya baru kenali. Terus terang saya bukanlah manusia yang sempurna, banyak lagi sifat diri yang perlu saya perbaiki. Namun apabila istilah-istilah tersebut keluar daripada mulut orang Islam yang berstatus dalam masyarakat, bagaimana harus saya menerimanya dengan tenang?
Saya memilih untuk mendiamkan diri kerana itulah yang mampu saya lakukan ketika itu. Lagipun saya tidak tahu kebenaran cerita yang dibawa oleh mereka kepada pengetahuan saya. Kalau tersilap cakap, risau ia menjadi fitnah. Sebagai seorang yang pernah menjadi mangsa fitnah masyarakat, saya lebih maklum akan kesan mulut orang.

Hairan betul. Perlabelan seperti "gatal", "kurang ajar" dan sebagainya yang tidak manis didengari masih menjadi sebutan di kalangan ahli masyarakat. Begitu mudahnya melabel seseorang itu sebagai 'gatal', 'perosak', dan sebagainya. Disebut begitu sahaja seolah-olah sudah menjadi perkara biasa. Cerita-cerita panas penuh sensasi pula segera dikhabarkan kepada orang lain, dengan alasan ia memang benar. Tak cukup dengan gosip pejabat, gosip antara jiran tetangga, lihat sahaja ruang-ruang berita sensasi dalam akhbar tabloid Melayu. Sekiranya benar pun, apakah yang mereka dapati dengan perbuatan mengaibkan seseorang dan menyebarkan cerita/gambar kurang sopan kepada orang lain?

Apakah yang seronok apabila menyebut dan mengaitkan sesuatu keburukan kepada orang tertentu?
Mungkin keseronokannya apabila orang yang diperkatakan itu bukan orang yang disukai.
Mungkin juga dengan alasan supaya orang lain sedar bahawa orang yang diperkatakan itu bukan di kalangan orang baik-baik?
Mungkin juga dengan alasan untuk memberi pengajaran kepada orang lain supaya tidak mengikut jejak langkahnya?
Namun begitu, segala alasan itu tidak pernah menghalalkan perbuatan kita yang membuka aib seseorang, sedangkan Allah telah menutupnya daripada pengetahuan umum.

Tidakkah mereka sedar bahawa mereka telah melakukan ghibah?

Dalam satu hadis Riwayat Muslim, Rasullullah saw telah bersabda,
"sekiranya apa yang engkau kata itu benar ada pada orang tersebut, maka anda telah melakukan ghibah dan sekiranya apa yang engkau katakan itu idak ada pada orang yang engkau sebut, maka engkau telah melakukan dusta ke atas dirinya."

Saya bersetuju dengan kata seorang ustazah, "Berhati-hatilah. Mungkin segala perbuatan dosa yang dilakukan orang yang kita katakan itu telah diampuni Allah saw kerana dia bertaubat. Tetapi kita yang telah melakukan ghibah dan membuka aibnya telah menambah dosa kita sendiri. Sebaik-baiknya katakan sahaja tak tahu, jangan mengiakan segala yang diperkatakan oleh orang lain.Dosa kita dengan Allah swt sudah banyak, jangan ditambah lagi dengan perbuatan ghibah."

3 comments:

  1. salam..

    mmmg tidak hairan la kalo perkataan2 yg tidak sopan itu kedengaran pd masyarakat hari ini.. terutamanye golongan muda mcm saya... panas baran.. emosional.. bila berkata2 tu tidak menggunakan akal fikiran. lagi2 bile dah darah muda ini naik, ha lagila teruk jadinye... sume sumpah seranah kluar tanpa ditapis..

    diri saya ini pon slalu mengeluarkan perkataan2 yg mengaibkan orang. masakan tidak, emosional menguasai diri ini.

    time kaseh atas post saudari ini yg mengingatkan diri yg alpa lagi hina ini. syukran!

    ReplyDelete
  2. Salam Aliya,

    Betul lah. Saya "letih" betul bila ada yg nak mulakan gossip atau menggunakan kata-kata kasar di pejabat. Yang peliknya, kadang-kadang bukan yang 'muda' dan emosional saja yang suka mengeluarkan kata-kata begitu, Yang lebih 'dewasa' dan bertudung litup pun ada kalanya mengeluarkan kata-kata yang kurang manis. Saya pernah dikatakan "Berlagak! macam bagus" apabila menggunakan Bahasa Inggeris dalam perbualan. Tension jugak dibuatnya,

    ReplyDelete
  3. Waalaikumussalam Lili & aieen,
    Lili, belajarlah mengawal sifat marah. Apabila kita cepat panas baran, bukan sahaja diri kelihatan hodoh tetapi lebih mudah syaitan menghasut kita untuk melakukan kejahatan. Oleh itu sentiasa beringat bahawa marah itu bara api yang boleh membakar diri jika tidak dikawal. Bacalah Ta'awwuz "Aku berlindung kepada Allah daripada syaian yang direjam."

    Aieen, saya cuba elakkan gosip tetapi kadang-kadang terpaksa mendengar demi untuk mengetahui berita terkini oleh pemberita tak bertauliah, hahahaa.. Kata-kata kurang manis akan menjadi boomerang,berbalik kepada tuannya nanti. Saya dulu geram kalau dituduh begitu tetapi sekarang alhamdulillah reaksi saya mudah,selain bersemuka, dalam hati berkata "Terima kasih kerana menghadiahkan saya pahala."

    ReplyDelete