Tuesday, February 10

ANAK KECIL ANAK BESAR

Sehari di dalam Kelas 1 Hijau tahun 2005
"Teacher! Farid berak dalam seluar!!"
Sarah segera berlari ke meja saya dengan senyuman lebar.
"Eeee.. busuk!" pelajar-pelajar di sekeliling Faid menutup hidung masing-masing.
Saya mengeluh. Latihan baru sahaja diberi dan saya amat berharap agar berpeluang berehat seketika setelah 20 minit mengajar. Nampaknya saya tidak berpeluang begitu.
Saya memandang ke arah Farid. Dia duduk seperti sebuah boneka di atas kerusinya. Mukanya merah berkerut menahan malu.Kelihatan air mata sudah berlinangan membasahi pipinya.
"Farid sakit perut?"
Dia mengangguk.
"Pergi tandas, basuh.. nanti Teacher jumpa kamu di dalam tandas, ok?"
"Teacher, saya temankan dia," Kamal yang tidak boleh duduk diam segera menawarkan diri.
"Ok, pergi cepat."
Mereka segera beredar.
Mujurlah buang air besar, bukannya muntah. Minggu lepas Danial yang demam telah muntah di dalam kelas. Habis baju kemeja, seluar dan mejanya dikotori bekas muntah. Saya yang kebetulan mengajarnya terpaksa membawanya ke tandas untuk dicuci. Bau busuk muntah menyelubungi kelas itu sehingga akhir waktu pembelajaran.
Bulan lalu, Syawani pelajar Tahun 6 mengunci diri di dalam tandas kerana malu baju kurung putihnya dikotori darah haidyang banyak. Puas dipujuk, akhirnya dia bersetuju keluar setelah dihulurkan sehelai baju-T berwarna hitam.

"Saya dah bosan mengajar mereka, sudah penat nak mengejar pelajar-pelajar Tahun 1 dan 2 yang nakal dari satu blok ke blok lain. Saya nak cabaran baru pula mengajar mereka di sekolah menengah," pernah saya memberitahu Mak ketika mengisi borang memohon melanjutkan pelajaran di IPTA.

Sebentar tadi:

Mimpi ngeri setiap guru

"Hafzan, are you gay? Kenapa peluk Naim begitu? " saya menegur pelajar lelaki yang sedang mengganggu kawannya yang cuba menepis.
Terus dilepaskannya si Naim.
"Saya tanya, bukan saya tuduh, kalau bukan, berhenti daripada mengganggu Naim dengan kelakuan yang tidak manis dipandang."
Waktu akhir persekolahan pelajar-pelajar sudah tidak selesa duduk, tambahan cuaca amat panas pada petang ini.Kerja bertulis yang diberikan disambut dengan rungutan tetapi berjaya mereka siapkan. Sudahlah suara saya pun serak-serak basah setelah semalaman batuk tanpa henti. Suara soprano sudah berubah menjadi alah-alah rocker sekarang.

Saya dikelilingi para pelajar lelaki di belakang kelas. Semua hero-hero yang saya sayangi. Ada-ada sahaja yang mereka lakukan supaya saya menghalau mereka keluar daripada kelas; itu akan menjadi alasan untuk mereka balik awal. Saya juga tidak mahu mengadakan pengajaran di bilik lain kerana bimbang mereka akan menggunakan alasan berpindah bilik untuk ponteng kelas. Sebaliknya saya berkeras untuk menahan mereka di dalam kelas kerana bimbang perkara buruk berlaku kepada mereka. Pernah pelajar dari sebuah sekolah berhampiran hampir maut dilanggar lori ketika ponteng kelas waktu akhir. Bukan mudah hendak membangunkan modal insan, tambahan buluh yang sudah keras.

Mulalah adegan tawar-menawar.
"Cikgu, nak keluar, dah tak tahan."
"Sabar dulu, saya tahu awak boleh tahan. Tunggu lagi 10 minit."
"Tak sabar la.."
"Sabar.. sabar tu separuh daripada iman. Mengucap banyak-banyak."
"Cikgu, kenapa tak marah dia?"
"Saya tengah isytifar."
Saya sambut setiap permintaan dan rayuan mereka dengan senyuman. Mungkin kerana sudah penat dan sakit tekak, saya memilih untuk tidak memarahi sesiapapun. Saya berlagak cool. Dalam hati berdoa, janganlah mereka menimbulkan masalah lain pula pada minit-minit akhir pembelajaran. Alhamdulillah mereka berjaya dikawal dan berada di dalam kelas sehingga loceng berbunyi. Sekurang-kurangnya mereka belajar sesuatu pada waktu saya sebelum mengucapkan selamat tinggal. Kemudian keluarlah mereka seperti anak ayam dari reban. Semuanya tersenyum riang.

Ahhh... rupa-rupanya tidak banyak beza mengajar pelajar sekolah rendah dengan pelajar sekolah menengah.
Cuma saya tidak perlu menghadapi pelajar yang terbuang air besar/kecil dan muntah di dalam kelas lagi, hahahaa..

4 comments:

  1. salam ukhwah dari saya... saya pernah 5 tahun mengajar tahun 1, tahun prtama bagai nak menangis coz byk arahan yang diberikan ttp x da respon, mereka x faham jika arahan tidak jelas bkn seperti murid tahap 2 yg sekali ckp dah faham tp buat2 x faham. Tp aliya, saya lebih puas mengajar drjah satu kerna waktu tu kita yang byk mmbentuk mereka.Dan sekrg ini kaki saya akan melangkah ke sekolah menengah dgn bidang yg berbeza, ttp sy masih brharap kepuasaan mnjalankan amanah mndidik anak bangsa akan ada disana.

    ReplyDelete
  2. salam!! memang mencabar mengajar anak-anak remaja dizaman sekarang ni. bukan seperti dizaman saya dulu. sebagai seorang ibu saya sangat2 terhutang budi pada guru-guru yang pernah mengajar dengan ikhlas anak-anak saya .. alhamdulillah hasil didikan dan tunjuk ajar guru-guru yang berjiwa seperti Aliya, alhamdulillah .. anak-anak saya sekarang berjaya dipandangan mata saya .. insyaALlah .. yg sulung bakal jadi doktor akan grad bulan June nanti. yang ke2 masih ditahun 3 dlm bidang kejuruteraan, yang ke3 akan meneruskan pelajaran dlm bidang kedoktoran juga bulan August ni. Masih ada lagi sorang hero di Darjah 2.

    terima kasih Aliya atas segala kesabaran, susah payah mengajar dan mendidik anak-anak tu supaya mereka menjadi orang yg berguna di dunia dan akhirat. InsyaALlah akan dinilaiNya segala usaha dan titik peluh diakhirat nanti.

    ReplyDelete
  3. Waalaikumusslam Ejazara, Nak 'tackle' pelajar Tahun 1 bukan senang, tetapi ada tekniknya. Perlu mencangkung bila bercakap dengan mereka supaya mereka lebih selesa, dekatkan telinga ke mulut mereka, sentiasa belai dan usap tangan mereka sebagai tanda kita sayang.Mesej yang hendak disampaikan perlu pendek dan ringkas serta diulang berkali-kali,siap suruh mereka ulang semula kalau boleh, hehehe..cikgu pula mesti pakai baju cantik dan berwarna terang sebab mereka suka.
    Nampakanya Ejazara akan mengikut jejak saya. InsyaAllah sekiranya kita ikhlas mengajar,pelajar akan lebih bersungguh. Kepuasan bagi saya adalah memberikan yang terbaik untuk pelajar dan melihat mereka berjaya.Yang penting jangan putus asa terhadap anak murid kita.

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam mem-Besar,
    Alhamdulillah seronok mendengar cerita anak yang berjaya. Tahnah sya ucapkan kerana ibu bapa yang merupakan guru pertama anak-anak.Saya amat bersyukur kerana berpeluang berkonvokesyen bersama-sama bekas pelajar saya (dia saya ajar semasa dia di Tahun 4) di universiti. Sehingga hari ni kalau berjumpa akan disalamnya tangan saya dengan gembira. Walaupun tidak lama dan terasa tidak banyak yang saya sumbangkan kepada pendidikannya, mengetahui bahawa dia sudah berjaya memegang sekeping ijazah amat memuaskan hati seorang guru. Doa saya hanya janganlah saya jumpa belas pelajar yang menjadi sampah masyarakat.

    ReplyDelete