Wednesday, July 21

SELAMAT TINGGAL, SMKPS

Allah SWT telah memutuskannya. Masa saya di SMKPS sudah sampai penghujung. Akhirnya saya meninggalkannya, sekolah kedua saya bertugas sebagai guru setelah memeluk Islam.
Saya sendiri yang memohon pertukaran, setelah lama menimbangkan pro dan kontra bertukar pada pertengahan tahun. Keadaan kesihatan yang masih memerlukan pemerhatian perubatan [fibroid masih ada dalam rahim dan tekanan darah masih perlu dipantau] serta menghantar anak ke nurseri pada awal pagi perlu lebih diutamakan.

Semalam saya ke sana semula untuk menyerahkan tugas secara rasmi dan mengemas barang-barang. Ya, masih dalam tempoh cuti bersalin lagi kerana saya dijadualkan kembali bertugas pada hari Jumaat ini.
Baju kurung yang sudah 9 bulan tidak disarungkan masih terasa agak sendat. Saya masih dalam proses mendapat semula figure sebelum mengandung, haha... Perjalanan ke sekolah yang mengambil masa 30 minit [tanpa kesesakan lalulintas] terasa seolah-olah terlalu lama.
Penyerahan tugas sekejap sahaja tetapi saya duduk berbual agak lama dengan Tuan Pengetua di pejabatnya. Beliau seorang pengetua yang baik dan berdedikasi. Nasihatnya kepada saya akan tetap saya pegang, bantuan dan sokongannya kepada saya semasa saya bermasalah ketika mengandung tetap saya hargai dan kenang seumur hidup. Susah hendak dapat seorang ketua yang berempati sepertinya.
"Aliya, sebenarnya apa yang berlaku pada kamu juga merupakan ujian kepada saya," ujarnya semalam. Ya, ujian Allah kepadanya selaku seorang pemimpin.
Terima kasih, cikgu kerana memahami dan mohon maaf kerana telah menyusahkanmu.

Di bilik guru, saya kemaskan barang-barang. Bersalaman dengan guru-guru dan staf sokongan. Menunjukkan gambar Ikram yang disimpan dalam handfon.
Di bilik darjah, saya berjumpa dengan para pelajar. Mengucapkan selamat tinggal dan memberi nasihat terakhir. Bersalaman dengan pelajar perempuan. Menenangkan mereka yang membandingkan pengajaran saya dengan guru baru yang kurang berpengalaman.

Jam hampir 1 tgh hari, saya memandu keluar perkarangan sekolah yang menjadi tempat kerja saya selama 2 tahun. Sekolah yang tidak pernah saya jangka akan menjadi tempat saya bertugas selepas tamat pengajian universiti sebab jauh dari rumah. Alhamdulillah, banyak juga pengalaman yang saya kumpulkan di situ.
Saya akan rindu pada para pelajar saya yang rajin, yang nakal, dan yang manja.
Saya akan rindu pada guru-guru yang telah menjadi sahabat baik saya di sana.
Saya akan rindu pada meja khas saya yang besar, luas dan serba canggih itu [bukan semua sekolah ada meja guru seperti itu]
Saya akan rindu pada makanan kantin yang boleh 'dibanggakan' dan perlu dicedok sebelum habis dibungkus balik oleh guru lain untuk anak-anak mereka.
Saya akan rindu pada milo ais kaw-kaw yang hanya boleh didapati di kantin itu. [hahaha, itulah saja yang diminum sepanjang 9 bulan mengandungkan Ikram]
Saya akan rindu dipanggil 'teacher' oleh para pelajar yang pelbagai ragam tetapi masih tetap menghormati guru.

Saya keluar meninjau sekolah baru pada pagi ini, dengan mengadakan trial run.
Memang bersyukur, perjalanan dari rumah ke sekolah baru hanya mengambil masa 15 minit, termasuk menghantar Ikram ke nurserinya.
Saya juga tidak menyangka akan dihantar ke sekolah baru ini [tidak ditempatkan ke sekolah yang dipohon] tetapi Allah Maha Mengetahui kehendak dan keperluan hamba-hambaNya.
Teruja bercampur risau. Maklumlah setelah 2 bulan saya bercuti bersalin, akan terus memulakan semula tugas dalam suasana dan persekitaran baru. Entah bagaimana saya akan menyesuaikan diri, bagaimana pula sambutan para guru dan pelajar nanti.
Namun begitu, saya percaya tentu ada sebabnya Allah memilih SMKSJ untuk saya kali ini.
InsyaAllah, akan berikan yang terbaik yang saya mampu, seperti selalu :)

4 comments:

  1. assalamualaikum kak aliya.

    kakchik ucapkan selamat menempuh pengalaman baru kak. semoga tempoh cuti bersalin yang masih berbaki tu dapat mempersiapkan diri akak untuk menghadapi suasana baru bila mula mengajar kembali tak lama lagi. kakchik yakin akan mampu menyesuaikan diri dan mencipta banyak lagi kenangan menarik di situ. kenangan di sek lama telah sedikit sebanyak menjadikan akak seorang kak aliya seperti hari ini.

    salam peluk cium untuk ikram.

    ReplyDelete
  2. Susah nak cari cikgu elit(ajar bi, math n science) kat ceruk dala cam Pmtg Saga(SMPS). Selamat maju jaya. Moga hidup bahagia dunia akhirat. amin

    ReplyDelete
  3. Waalaikumussalam kakchik,
    Terima kasih atas ucap selamat, insyaAllah akan berikan yang terbaik yang saya mampu, di sekolah baru dan di mana-mana saja saya ditempatkan.
    Dengan adanya kemudahan internet seperti FB, saya masih boleh berhubung dengan bekas pelajar saya dan mengikuti perkembangan mereka :)
    Ikram dah semakin tembam dan kuat

    ReplyDelete
  4. joe penang,
    Terima kasih, ameen...

    ReplyDelete