Friday, July 2

IMBANG

Saya sepatutnya masih dalam pantang tetapi tidak berpantang sepenuhnya.
Mana mungkin mengamalkan pantang bersalin 44 hari sepenuhnya, sedangkan saya berseorangan di rumah menjaga bayi setiap siang hari.
Nak bertungku, mengurut, bertapel dan lain-lain memerlukan orang lain menolong mengasuh anak. Oleh itu, saya memilih untuk membuat ala kadar sahaja, setakat mana yang boleh.
Biarlah apa orang kata. Mereka ada orang untuk menolong jaga dan masak ketika si ibu dalam pantang. Saya perlu berdikari. Ya, mama moden, heehehe.
Yang penting, saya dan anak sihat dan tidak menyusahkan orang lain.

Walaupun sudah bergelar ibu, tanggungjawab sebagai isteri tidak boleh diabaikan. Itu peringatan untuk saya dan mereka yang bakal dan sudah bergelar ibu. Tanggungjawab sebagai ibu kepada anak amat penting tetapi tanggungjawab sebagai isteri kepada suami juga harus dipikul pada masa yang sama. Mudah hendak berteori tetapi praktikalnya agak menyukarkan, tambahan untuk yang baru bergelar ibu. Menjaga bayi yang baru lahir, menyesuaikan diri dengan keadaan baru sebagai ibu dalam keadaan berpantang, badan yang masih lemah selepas bersalin, dan kekurangan tidur kerana menyusukan bayi pada waktu malam menyebabkan keletihan pada si ibu.

Saya sendiri tidak terkecuali. Pada masa Ikram sedang tidur, saya juga teringin hendak meletakkan kepala di atas bantal dan terus lena. Namun, tugas lain masih perlu dilaksanakan. Perlu memasak untuk makan sendiri, membasuh, menjemur kain, melipat kain, mengemas rumah dan sebagainya. Ya, tugas sebagai surin rumah masih perlu dipikul. Untuk ketika ini, saya memilih untuk tidak mendapatkan pembantu rumah sepenuh masa kerana tidak pasti bagaimana karenah mereka yang baru bekerja. Tambahan pada akhir bulan ini, saya akan kembali bekerja, Ikram akan dihantar ke taska di mana dia akan dijaga oleh pengasuh yang terlatih.

Syukurlah suami tidak meragam dan bermasam muka. Saya masih menyesuaikan diri, mengimbangi antara tanggungajawab sebagai isteri dengan tanggungjawab sebagai ibu. Ada ketikanya saya terlupa dan terpaksa memohon maaf kepada suami kerana terlewat menghidangkan makanan.
Oleh kerana saya sudah berada di rumah sendiri dalam tempoh pantang, suamilah yang terpaksa memikul tanggungjawab memastikan makanan sentiasa cukup untuk keperluan saya. Di sinilah perlunya ada komunikasi berkesan di antara suami isteri. Suami perlu faham akan keletihan isteri yang baru menyesuaikan diri dengan tugas sebagai ibu. Kesabaran suami akan memberi kekuatan kepada isteri untuk memberikan yang terbaik untuk keluarga.

Pada masa yang sama, isteri juga harus ingat akan tanggungjawabnya sebagai penghibur hati suami. Menjaga dan membesarkan anak bukan bermakna dia tidak perlu lagi melaksanakan tanggungjawabnya melayan suami dan ahli keluarga yang lain. Tak perlulah memberi alasan kerana baru melahirkan anak untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab melayan suami. Mungkin suami mendiamkan diri tetapi lama-kelamaan dia akan bosan dengan sikap dingin isteri, bukan.

Sudah banyak cerita yang kedengaran bahawa hubungan suami-isteri retak selepas kelahiran anak. Suami mengadu bahawa isteri tidak lagi melayannya seperti dahulu. Isteri tidak lagi menghiasi diri di rumah seperti mula-mula bernikah. Isteri pula memberi alasan dia kepenatan. Suami tidak memberi sokongan atau membantunya mengasuh anak.
Solusina?
Rujuklah al-Quran dan hadis.
Banyak nasihat tentang menjaga keharmonian rumah tangga boleh didapati dalam hadis.
Ingatlah, mendapat keredhaan suami bermaksud mendapat keredhaan Allah.

nota: Tak boleh hurai panjang sekarang, had masa 20 minit setiap pos :)

4 comments:

  1. thanks puan Aliya...banyak berkongsi tips rumahtangga..saya bakal menukar status 'bujang'bulan 11 ni..banyak yang perlu difahami..dan belajar menangani stress dlm rumahtangga.

    ReplyDelete
  2. Sama-sama nazim.. itupun sebagai peringatan kepada diri sendiri.Sehebat manapun seorang wanita, dia masih perlu menghormati suaminya dan patuh selagi tidak melanggar syariat Islam.
    Tahniah kerana sudah ada calon isteri. Banyaklah belajar, membaca dan bertanya kepada yang berpengalaman.

    ReplyDelete
  3. you are welcome, nazim. Itu juga satu peringatan kepada saya. Tahniah kerana bakal membina 'masjid'. Banyakkan mmebaca, dan bertanya kepada yang berpengalaman.

    ReplyDelete
  4. insha Allah..puan

    mmg sukar untuk membina keluarga bahagia...namun berkat doa dan kesabaran dua pihak mudah-mudahan berjaya...

    ReplyDelete