Tuesday, October 20

MANA KOMPAS?

"Teacher, penatlah...."
"Aikk, penat? Kamu mengandung juga kah?"
Mereka tersengih.
"Teacher mengandung pun masih nampak lebih kuat daripada kamu. Masih boleh berdiri dan mengajar kamu. Ini anak dara sudah seperti hendak tidur."
Saya sengaja mengusik mereka. Jam 1.50 pm, dan mereka sudah tidak berminat untuk meneruskan pembelajaran.
Sekolah menengah satu sesi sekarang tamat pukul 2.40pm, paling awal 2 pm. Bukan sahaja pelajar letih duduk seharian di dalam bilik darjah, guru juga letih mencari idea supaya dapat meneruskan pengajaran dengan efektif.
Saya tak salahkan mereka kerana mungkin mereka lapar. Maklumlah waktu rehat tamat jam 10.40pagi. Tiada peruntukan waktu untuk makan tengah hari. Tapi terasa rugi jikalau mereka membiarkan diri mereka kalah kepada nafsu fizikal, sedangkan masa yang berlalu tidak akan kembali lagi. Sebulan lagi akan periksa SPM.

"Bila tamat SPM apa kamu nak buat?"
Ramai yang menggeleng kepala. Belum difikirkan lagi. Ada yang menyatakan hasrat untuk menyambung pelajaran di kolej, tetapi tidak pasti kursus yang bakal diambil. Pening mahu memberi kaunseling bagi mereka yang tidak tahu arah tujuan hidup mereka sendiri.
Hairan. Kecewa pun ada. Itu anak-anak Melayu yang menjadi harapan ibu bapa yang bertungkus-lumus bekerja untuk menyara keluarga. Mereka yang beragama Islam, lahir dan dibesarkan dalam keluarga Islam. Mereka jarang bercakap bohong. Kompas akhirat sudah dibekalkan semenjak lahir tetapi tidak digunakan dengan sebaiknya. Malah ada kompas yang entah ke mana hilangnya. Malang sekali, sudah akil baligh tetapi liat hendak menunaikan rukun Islam ke2. Tersengih-sengih malu ketika mengaku. Aduh, kasihan ibu bapa mereka. Nak dirotan.. dah besar gajah. Hanya doa sahajalah agar mereka diberi hidayah untuk kembali ke pangkal jalan sebelum terlewat.

Sedangkan rakan-rakan Hindu dan Cina mereka walaupun prestasi akademik lebih kurang sama, mereka telah tahu arah tujuan mereka selepas tamat pengajian sekolah menengah. Mereka sudah ada perancangan. Nak belajar di mana dan dalam bidang apa. Nak kerja di mana sebagai apa. Kompas dunia sudah ada, walaupun kompas akhirat belum pasti. Sudah tahu arah tujuan hidup.

Seringkali kita dipaparkan berita anak-anak muda yang cemerlang dalam peperiksaan SPM, tetapi bagaimana pula dengan mereka anak-anak Melayu yang hanya lulus subjek BM dan Pendidikan Seni Visual? Masa depan mereka di tangan mereka yang bakal mengambil peperiksaan, namun masih ramai yang menganggap segulung sijil itu tidak penting.
Kalau dia anak jutawan pun, tanpa ilmu dunia dan akhirat, kekayaan itu tidak akan berkekalan. Tambahan pula, anak orang biasa yang tidak mempunyai kemahiran tertentu yang dapat menjamin masa depannya. Nak harapkan rezeki Allah tanpa usaha?
Saya kasihan ibu bapa mereka yang bakal diberitahu akan keputusan peperiksaan SPM yang tidak seperti yang diharapkan.

No comments:

Post a Comment