Tuesday, October 13

JAMMED

Ketika ini saya hanya mampu melihat kotak-kotak buku yang masih tersusun di bilik bacaan. Hanya mampu melihat pakaian dan bahan-bahan lain seperti yang saya letakkan di dalam laci, belum sempat hendak dikemaskan semula. Belajar menutup sebelah mata dan mengatakan tidak pada kerja rumah ketika ini.
Saya disuruh berehat. Rehat. Rehat. Rehat.
Keadaan kandungan saya belum stabil akibat sedikit masalah pada pagi ini. Syukur alhamdulillah ia tidaklah terlalu serius tetapi untuk mengelakkan risiko keguguran, saya terpaksa mengambil cuti rehat secara mengejut pada hari ini. Syukurlah boss seorang yang memahami.
Mungkin kerana sudah matang dan lebih berpengalaman daripada mereka yang lebih muda, saya masih mampu bertenang. Saya membuat keputusan untuk singgah di klinik swasta dan melakukan ultrasound. Alhamdulillah si kecil masih ada. Saya mengambil suntikan untuk menguatkan rahim dan terus pulang ke rumah.
Siapa yang tak risau bila dalam keadaan yang kurang stabil begini? Sehingga keadaan menjadi lebih stabil pada bulan ke 3, saya perlu berhati-hati. Tambahan pula saya bersendirian di rumah pada waktu petang.
Hanya doa pada Allah yang Maha Berkuasa yang mampu dilakukan.
Perancangan kerja untuk minggu ini terpaksa ditangguhkan dahulu. Saya perlu berehat di rumah.
Internet pula kurang stabil. Tidak dapat membalas emel yang semakin bertimbun. Ada banyak yang penting. Maaf ya kawan!
Risau juga dengan keadaan para pelajar saya yang bakal menghadapi SPM pada bulan hadapan dan masih memerlukan bimbingan guru. Saya perlu juga menjaga kesihatan supaya dapat meneruskan kerja mengajar mereka. Jikalau saya sakit tenat atau terpaksa dirawat di hospital, mereka juga akan kehilangan guru.
Semua urusan tergendala pada hari ini.
Saya belajar mengenali erti sabar yang baru dan bagaimana untuk menghadapi sebarang kemungkinan seorang diri. Alhamdulillah setakat ini semua masih ok.
Berdoa, berharap dan bertawakkal padaNya.
Itulah yang dapat dilakukan.

5 comments:

  1. Assalamu'alaikum..

    Kakcik doakan cikgu dan kandungan berada dalam keadaan sihat sejahtera.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum kak Aliya...semoga akak n kandungan sentiasa dalam perlindungan Allah...amin...

    ReplyDelete
  3. assalamu`alaikum
    mudah-mudahan kak aliya & kandungan sentiasa dalam keadaan sihat. insya Allah, banyakkan berdoa

    ReplyDelete
  4. Semoga kandungan saudari tiada lagi apa-apa gangguan selepas ini. Bersabarlah dan ambil waktu ini untuk berbual dengan si kecil di dalam rahim. Beritahu dia betapa saudari ingin berjumpa dia dalam keaadaan yang sempurna dan sihat, dan betapa dia dikasihi dan akan disambut dengan penuh gembira.

    InsyaAllah, semuanya akan selamat.

    ReplyDelete
  5. Waalaikumussalam kakcikseroja, neesa_jun,Ummu Auni & Snuze,
    Ameen.. terima kasih atas doa kalian.
    Saya baru pulang dari 1st formal checkup di klinik kerajaan. Alhamdulillah semua dikatakan ok, tetapi disuruh kembali untuk checkup seterusnya minggu depan.

    ReplyDelete