Thursday, October 22

CUKUPKAH PENDIDIKAN MEREKA?

Kasihan bayi-bayi yang baru lahir, dibuang merata-rata. Kesejukan sekadar dibalut kain batik atau tudung. Digigit serangga. Ada yang mati kebuluran. Ada yang meninggal kerana kecederaan semasa dilahirkan.

Takut diketahui orang lain mengatasi perasaan sakit semasa bersalin. Sanggup menghadapinya seorang diri di dalam bilik atau di dalam tandas. Ketika itu, tak takut memotong tali pusat bayi tanpa bantuan orang lain. Hanya apabila mendapati diri sendiri kesakitan yang amat sangat dan berdarah tanpa henti, barulah sanggup ke hospital untuk meminta bantuan. Itupun tanpa membawa bayi yang baru dilahirkan bersama. Kelam kabutlah doktor dan polis bergegas mencari bayi yang ditinggalkan.

Kasihan. Bayi yang masih merah itu dibuang kerana si ibu takut perbuatannya diketahui ibu bapa dan masyarakat. Bakal memalukan keluarga. Rosak nama baik keluarga. Oleh itu, apa cara sekalipun, lebih baik bayi yang tidak berdosa itu diletakkan di tempat lain sahaja tanpa diketahui orang lain.

Kenapalah mereka sanggup berbuat begitu?
Mengapa ketika melakukan perbuatan terkutuk itu, mereka tidak memikirkan risikonya? Anak-anak gadis terutamanya Melayu beragama Islam ditipu dengan kata-kata manis buaya darat bertopengkan manusia. Begitu mudah terpedaya. Dakwa dirogol tetapi mengapakah mereka sendiri mendekati lelaki bukan mahram?
Nak dikatakan tak berpelajaran, kebanyakan mereka memang mendapat pendidikan sekolah menengah. Sudah dididik di sekolah dengan subjek Pendidikan Islam dan Sains. Tahu bagaimana anak itu terbentuk dalam badan si ibu mulai Tingkatan 1.

Malangnya, ilmu yang diberikan itu tidak memadai. Mereka tahu tetapi tidak amalkan. Kalau soal betul-betul, ramai yang akan mengaku solat tak cukup 5 waktu sehari. Keinginan untuk dibelai, dilayan dengan kata-kata cinta sayang, dan mendapat perhatian melebihi ketakutan pada kemurkaaan Allah swt. Hawa nafsu orang muda.

Mereka tahu secara teori bagaimana bayi terbentuk daripada hubungan lelaki dan wanita. Tetapi pelajaran itu berhenti setakat itu saja. Mereka tidak dikejutkan dengan statistik anak luar nikah dan gambar-gambar bayi-bayi yang dibuang merata-rata. Mereka kurang tahu risiko kesihatan yang mereka hadapi apabila melakukan seks di luar nikah dan bertukar-tukar pasangan. Kurang berkesan untuk mengharamkan penjualan kondom sebab kebanyakan mereka tidak pernah menggunakan kondom pun; perempuan malu nak beli, lelaki jenis tak kisah dan tidak suka disaluti. Mereka tidak mengamalkan kaedah yang benar-benar selamat.

Semasa di sekolah, mereka tidak pernah menonton video bagaimana susahnya seorang ibu mengandung dan melahirkan bayi. Rasa loya, muntah-muntah dan perubahan fizikal badan si ibu boleh menakutkan remaja perempuan yang amat mementingkan kecantikan tubuh badan. Mereka terutama yang perempuan tidak pernah diberi latihan stimulasi membawa karung pasir seberat 3 kilogram pada perut iaitu seberat seorang bayi dalam kandungan si ibu dan berjalan turun naik tangga. Mereka tidak sedar akan bahaya pada wanita yang cuba menggugurkan bayi dalam kandungan.
Mereka yang lelaki pula jarang disedarkan akan dosa yang bakal ditanggung sepanjang hayat serta seksa kubur dan seksa neraka kerana menyebabkan seorang wanita yang tidak dinikahinya mengandungkan anak luar nikah.
Yang mereka tahu, seronok bercinta. Seronok berjumpa di tempat tersembunyi.
Tak kiralah berapa umur mereka.
Jangan terkejut jikalau ada yang bertudung litup. Mereka masih manusia yang lemah. Ibu-ibu, sekali sekala tengoklah badan anak gadis anda. Entah-entah ada bekas lovebite yang tidak sepatutnya ada di situ. Entah-entah perut anak anda semakin membuncit. Entah-entah anak gadis itu sudah beberapa bulan tidak didatangi haid.
Anak-anak muda kita juga tidak diberitahu langkah yang patut diambil sekiranya mendapati diri mereka hamil tanpa nikah, dan rumah perlindungan yang boleh dituju.
Tanyalah pada mereka.
Memang mereka tidak tahu. Dan tidak ambil tahu.

Sebabnya, dalam masyarakat kita, pendidikan seks masih dilihat sebagai sesuatu yang menjijikkan. Masyarakat masih menganggap tanggungjawab ibu bapa mendidik anak-anak tentang hubungan kelamin. Tetapi berapakah yang benar-benar melaksanakan tanggungjawab itu dengan sebaiknya.
Bagi ibu bapa, cukuplah anak-anak remaja mereka diberi pendidikan agama di sekolah. Tugas diserahkan kepada guru sekolah. Malangnya ketika guru menerangkan, mereka yang bermasalah itulah yang ponteng sekolah.
Bagi ibu bapa, cukuplah anak perempuan mereka bertudung apabila keluar rumah.
Jangan tertipu wahai ibu bapa! Anak gadis yang kelihatan baik, pijak semut pun tak mati, jangan disangka tiada pakwe, tidak pernah berdating. Jangan sangka tak akan ponteng sekolah untuk berjumpa pakwe. Awas!

Ada yang hairan, mengapa remaja Melayu saja yang sering terlibat dalam gejala ini. Sebenarnya semua bangsa ada masalah ini tetapi kerana remaja Melayu yang kebanyakannya terdiri daripada mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah, mereka terpaksa meneruskan kehamilan. Takut. Malu. Yang berpendapatan lebih tinggi dan yang memberitahu ibu bapa, kebanyakannya akan mencari pihak lain untuk menamatkan riwayat janin pada bulan-bulan yang awal.

Hanya langkah pencegahan yang boleh mengatasi gejala membuang bayi luar nikah. Hanya impak secara mengejut dan mengerikan yang dapat menakutkan anak-anak remaja daripada keinginan mencuba sesuatu yang diharamkan oleh Allah iaitu zina. Sekadar menyuruh anak-anak muda membaca dan menjawab soalan peperiksaan tentang hukum zina dalam Pendidikan Islam belum cukup untuk mengatasi masalah sosial yang semakin meruncing ini. Dan kita pun tahu keadaan remaja kita yang semakin susah dikawal.

Kasihan bayi-bayi yang digelar anak haram. Stigma yang bakal dibawa sepanjang hayat walaupun berjaya dipelihara oleh keluarga angkat. Mahukah kita yang lahir melalui hubungan yang sah di sisi agama menambah umat manusia yang berstatus haram kelak?

Dan jangan pula kita sombong dan bongkak dengan begitu mudah mengutuk mereka yang membuang bayi. Entah-entah Allah akan balas dengan sesuatu yang kita tidak ingini dalam keluarga kita sendiri. Beringat-ingatlah dan awasi anak-anak kita sebelum terlewat.

9 comments:

  1. salam pagi cikgu,
    panggil cikgu ek..hehehe
    betul betul..
    pangajaran dalam buku, teori semata,pemikiran masih belum nak berubah..saya sokong sangat ni...sibuk mengejar A secara teori..pangamalan belum pasti..mengadap kertas bertimbun..huhu..

    ReplyDelete
  2. Malang sekali setiap kali pendidikan seks diujarkan, ada golongan yang bermati-matian menolak cadangan itu. Katanya pendidikan agama sudah memadai. Tapi telinga dan mata mereka tertutup kepada realiti yang menakutkan dengan api neraka masih tidak dapat menghapuskan api asmara.

    Dan generasi seterusnya menjadi mangsa.

    ReplyDelete
  3. Salam wahai Cikgu Aliyah.

    Masalahnya operasi proaktif mencegah perbuatan yang akan menghasilkan bayi untuk dibuang di kalangan umat Islam sendiri akan dikecam habis-habisan oleh orang bukan Islam dan sebilangan umat Islam yang bersekutu dengan mereka. Malah disuruhnya umat Islam di negara ini migrate ke Afghanistan, Pakistan dan Arab Saudi.

    Sila baca artikel ini:
    http://mt.m2day.org/2008/content/view/28035/84/

    Yang makruf menjadi mungkar, yang mungkar menjadi makruf. Lebih malang bila orang bukan Islam terang-terang menentang operasi nahi mungkar walaupun di kalangan umat Islam. Bila buang anak, maka bukan Islam ni akan cakap pada mereka yang dah terbuka untuk hidayah "You want to be like them?" macam dalam posting Cikgu sebelum ni : http://pukullima.blogspot.com/2009/08/disloyal.html

    ReplyDelete
  4. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  5. salam kak aliya (hari tu tak dapat komen jadi orang pertama, hari ni jadi orang fourth sajalah).

    nani nak kongsi sikitlah, pada nani, apa yang kita belajar di sekolah itu cuma pengetahuan agama. nama subjek saja pendidikan islam, tapi yang pelajar dapat cuma pengetahuan. didikan ni lain, kak aliya. orang putih kata 'nurture'. dan nurturing ni memang tak akan pernah sempat dibuat di sekolah sbb jumlah jam belajar yang tak banyak mana, kita tak boleh fokus pada satu perkara itu saja walaupun kita tau betapa sakitnya sosial anak-anak kita sekarang.

    bagi nani, didikan apa pun, mesti bermula di rumah. orang yang paling dekat dengan kitalah yang terbaik nak asuh segala jenis kebaikan dalam diri kita ini. mak bapak kita.

    nani sedih apa tau, kak aliya? ada mak bapak yang terus lepas tangan kepada guru-guru agama di sekolah dengan alasan mereka sendiri tak pandai sangat. biar cikgu saja yang ajar. jadi bila di sekolah guru-guru jenuh mengajar, mendidik jika sempat, mengasuh budi jika sempat, balik ke rumah tiada yang sudi menyambung didikan, jadi pembelajaran tu kan asyik terputus-putus di sana-sini?

    memang selayaknya jadi mcm sekarang, dengan didikan agama yang berlubang di sana-sini, ada bahagian yang sempurna, ada bahagian yang langsung jahil, maka jadilah situasi yang macam sekarang, yang macam kak aliya gambarkan tu.

    nani selalu percaya yang didikan islam ni tak sepatutnya ada putus-putus. it's a lifelong learning and nurturing. bila ada yang sangkut-sangkut itulah yang jadinya tak kukuh. basis tak kuat, binaan atas pun senang roboh.

    panjangnya. *malu pulak* tapi itulah yang nani rasa. thanks for sharing this, kak. =)

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum Ibu. ( Tengah Mengandung tu :)

    Bagi mereka yang belum sedar akan dahsyatnya natijah seks diluar nikah itu, silalah baca : http://mahaguru58.blogspot.com/2008/04/when-sex-is-no-longer-sacred-innocent.html

    Kekadang tu realiti harus menampar dahi pihak pihak yang selamba je melakukan maksiat secara bebas dan lihat apa kemungkinan perbuatan mereka?

    ReplyDelete
  7. Waalaikumussalam fahana_ann, Snuze,Reza,
    Masalah zina di kalangan remaja dan anak muda akan berterusan selagi mereka tak takutkan Allah dan hukum Allah.Kita jarang mengajak mereka berbincang dan melihat masa depan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini seperti mengandung luar nikah dan sebagainya.
    Sekarang ada pihak NGO yang cuba membantu membanteras gejala ini dengan mengadakan ceramah dll tetapi berapa sekolah/remajakah yang mampu dijumpai? Program sehari tidak cukup berkesan kecuali ada kesinambungan di epringkat sekolah dan pengawasan ibu bapa sendiri.

    ReplyDelete
  8. Waalaikumussalam Nani,
    Ya agreed, didikan Islam is a lifelong learning. Kak aliya tidak pernah belajar Pend.Islam semasa di sekolah, yang diketahui hanyalah dengan menyelak buku-buku Pend.Islam para pelajar sekarang.
    Kita jarang berdialog dengan remaja. Guru dan ibu bapa asyik suruh itu dan ini; banyak komunikasi satu hala. Kita jarang luangkan masa mendengar masalah mereka, keraguan dan persoalan yang bermain-main dalam minda mereka.
    Dan sering menjadi mangsa adalah remaja perempuan yang 'naive', mudah percaya pada orang, lurus bendul.. mereka itulah yang berkemungkinan menambah statistik di hospital dan pusat perlindungan wanita.

    ReplyDelete
  9. Waalaikumussalam sifu,
    Ini ibu mengandung yang tengah "mabuk' :P

    Ya, kita perlu kejutkan mereka kepada realiti ngeri dunia ini kerana ancaman api neraka & kemurkaan Allah jauh daripada fahaman mereka.
    Mungkin ini lebih berkesan daripada memaksa mereka mendengar ceramah agama berjam-jam:
    1. dokumentari & foto ngeri bahagian yang rosak akibat AIDS, syphillis, dll penyakit kelamin akibat seks bebas
    2. pengakuan dan realiti kehidupan bagi mereka di sebalik pintu besi rumah perlindungan wanita & pusat pemulihan akhlak
    3. foto bayi yang mati dan janin yang dibuang oleh mereka yang tidak bertanggungjawab

    ReplyDelete