"Mona, mari duduk di atas kerusi," saya memanggilnya.
"Tak Mau!" dia menolak ajakan saya dengan nada marah.
Saya melihat Mona yang berbadan besar itu berbaring di atas meja murid. Meja kecil itu dijadikan seperti katil. Nak ketawa ada, nak menangis pun ada apabila melihatnya begitu. Mona pelajar istimewa saya pada lewat 90an. Walaupun umurnya sudah 10 tahun, dia masih berkelakuan seperti kanak-kanak 6 tahun. Berbadan besar, tinggi, sihat dan kemas tetapi tidak mahu mendengar kata-kata guru kecuali guru yang disukainya. Moodnya berubah-ubah dan susah dikawal.
Syukur juga rakan-rakan sekelas Mona memahami dan menerimanya dengan baik. Tulisannya kemas tetapi dia jarang sekali mahu membuat latihan bertulis.
"Mona, mari sini sayang. Teacher nak tengok baju Mona yang putih bersih tu. Mona nampak cantik pakai baju hari ini." saya memujuknya.
Dia tersenyum gembira. Perlahan-lahan dia bangun dari meja kecil itu. Dia tidak berjalan ke arah saya. Sebaliknya dia bersembunyi di belakang pintu kelas, bermain sembunyi-sembunyi pula dengan saya. Saya di antara guru yang disukainya, maka dia biasanya memberi kerjasama yang baik. Kalau dengan guru lain, dia langsung tidak mahu menurut arahan. Ikut suka Mona di mana dia mahu duduk dan apa yang dia mahu buat. Sekiranya guru lain menjatuhkan hukuman, meraunglah Mona sepanjang hari. Pening kami dibuatnya.
Itu Mona.
Tamat sekolah rendah, Mona tidak menyambung pelajaran ke sekolah menengah. Selamat guru sekolah menengah.
"Teacher, Naim duduk di dalam almari!"
Ketua darjah memberitahu saya ketika saya berjalan masuk ke dalam kelas Tahun 2.
"Dia masih di dalam almari?"
"Betul, teacher."
Saya membuka pintu almari besi di belakang bilik darjah. Sah, Naim masih bersembunyi di situ. Dia tersengih melihat saya membuka pintu almari.
"Naim, keluar sekarang."
Dia ketawa lalu menutup pintu almari. Saya memujuk tetapi dia seolah-olah bermain-main dengan saya.
Bum! Bum! Bum! Berkali-kali saya mengetuk pintu almari besi yang ditutup Naim itu dengan pembaris panjang untuk memaksanya keluar. Saya risau bahawa dia akan lemas di dalam almari besi itu. Waktu berjalan tetapi saya terpaksa menumpukan perhatian pada Naim seorang. Marah dan geram juga dengan telatahnya yang tidak mahu mengikut arahan. Akhirnya mungki kerana sakit telinga dengan hentaman saya, Naim keluar daripada almari besi itu dengan muka masam.
Naim pelajar yang bijak, boleh membaca dengan baik tetapi mentalnya seperti kanak-kanak berumur 4 tahun. Dia lebih gemar bermain di dalam kelas, mengganggu pelajar lain daripada membuat kerja yang diberi oleh guru. Setiap hari saya terpaksa memastikan Naim duduk di hadapan kelas semasa saya mengajar supaya dia tidak menimbulkan masalah disiplin. Ada kalanya hanya Naim yang boleh menjawab soalan saya dalam Bahasa Inggeris. Dia gembira apabila saya memujinya pandai.
Itu Naim.
5 bulan selepas itu, ibu Naim terpaksa mengambil keputusan menukarkannya ke sekolah lain kerana Naim sering didenda guru kelasnya yang kurang memahami keadaannya yang hyperaktif.
"Anak saya bukan bodoh, cikgu. Saya tahu dia nakal dan suka bermain, tetapi dia bukan bodoh. Saya sedih, cikgu apabila dia menuduh anak saya bodoh dan tidak boleh diajar," teresak-esak ibu Naim menangis sambil mengadu kepada saya.
Kelas terasa sunyi tanpa kehadiran Naim. Saya tidak perlu mengetuk almari besi lagi.
Pelajar istimewa seperti Naim dan Mona masih wujud di sekolah rendah. Ada yang kes tenat, dan ada juga yang kes ringan. Mereka yang istimewa seperti itu tidak dihantar ke sekolah pendidikan khas kerana ibu bapa mengadu sekolah itu terlalu jauh dari rumah mereka. Maklumlah hanya terdapat sebuah sekolah berkenaan di setiap bandar. Hanya ibu bapa yang sanggup berkorban yang akan mendaftarkan anak mereka di sekolah pendidikan khas. Anak-anak lain dibiarkan bersekolah di sekolah biasa atau ditinggalkan di rumah.
Hasilnya pelajar tersebut menimbulkan pelbagai masalah kepada pihak sekolah dan dirinya sendiri. Dia tidak mendapat bimbingan yang sepatutnya di sekolah biasa kerana guru terpaksa mengajar serta menguruskan pelajar yang ramai. Kekangan masa dan keadaan stres di dalam bilik darjah yang penuh dengan pelajar boleh menyebabkan guru kurang bersabar dengan telatah pelajar istimewa. Dia juga sering dipulaukan pelajar lain kerana mengganggu pembelajaran di dalam kelas. Kasihan mereka itu. Apakah yang bakal berlaku kepada mereka apabila meningkat dewasa? Bagaimanakah masa depan mereka?
Saya teringatkan Mona dan Naim apabila melihat seorang pelajar OKU Tingkatan 1 yang berkerusi roda di sekolah saya pagi tadi.
Sekolah saya yang mempunyai bangunan-bangunan bertingkat 4 kurang sesuai untuknya. Siapakah akan bertanggungjawab jikalau pelajar OKU itu terjatuh semasa diangkat oleh rakan-rakannya dari Tingkat 1 ke Tingkat 4 untuk mengikuti ICTL di dalam makmal komputer, atau untuk ke Pusat Sumber?
Kami tiada hak menghalangnya belajar di sekolah biasa tetapi sempurnakah pembelajarannya kelak sedangkan dia tidak mungkin tidak dapat ke bilik-bilik tertentu yang terletak di tingkat atas bangunan sekolah.
Assalamualaikum Aliya.
ReplyDeletePengorbananguru guru istimewa seperti Aliya didalam membentuk murid murid seperti ini menjadi anggota masyarakat yang berguna tidak terbalas dengan sekalung pingat atau sijil penghargaan pada ulangtahun Hari Guru.
Airmata yang Aliya titiskan kerana sayang dan prihatin pada anak anak istimewa ini tidak terbalas oleh ungkapan terimakasih para ibubapa murid murid terbabit.
Hanya Allah Maha Berkuasa sahaja yang akan membalas jasa jasa mu wahai Aliya!
Daku sentiasa mendoakan kesejahteraan mu!
Insya Allah!
@};-
Waalaikumussalam sifu,
ReplyDeleteTerima kasih. Just doing my best, supaya puas hati apabila melihat pelajar mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran & ada peningkatan dalam sahsiah masing-masing, insyaAllah.