Wednesday, January 28

TANPA KITA SEDARI


"Isteri saya fobia dengan NGO Islam itu," komennya dalam emel kepada saya.
Saya ketawa, kerana memahami maksudnya. Bukan tujuan kami berdua untuk mengutuk sesebuah NGO tambahan yang berkonsepkan Islam tetapi itulah hakikat yang terpaksa diterima. Falsafah dan perjuangan sesebuah NGO Islam diterima pakai oleh kesemua ahli,tetapi bukan semua ahli mampu menghayati sepenuhnya perjuangan dan panduan hidup Muslimin dan Muslimat sebagaimana yang diingini. Akibatnya, ada kecacatan di sana sini. Mereka yang terkena tempias adalah yang baru dalam pertubuhan itu atau berurusan secara langsung dengan ahlinya.

Begitu juga, ada pihak yang mendukung nama Islam melalui jawatannya (ustaz dan ustazah) atau keanggotaannya dalam sesuatu pertubuhan. Tidak mengapa jikalau orang lain tidak tahu. Namun jikalau orang ramai memang mengenalinya sebagai seorang yang berilmu agama, tetapi dilihat melakukan perkara yang tidak mencerminkan watak seorang yang kuat beragama, apa pula kesannya kepada orang lain?
Akan timbullah komen seperti berikut:
"Ahhh, kerja ustazah tetapi mulut laser! Asyik komen orang lain tak betul."
" Eh, eh... ustaz ker dia tu? Mengajar mengaji waktu pagi, waktu malam menjaja benda haram?"
"Buat apa setiap minggu hadiri usrah kalau hati masih tak nak berubah?"

Ketika kita menganggap diri kita sudah ok, mungkin orang lain menganggap kita masih masih banyak kekurangan. Mungkin jawatan kita sebagai ahli agama memberi impak yang kuat kepada mereka yang kurang pengetahuan agama mereka. Mungkin imej kita yang bertudung litup dan menutup aurat memberi kesan kepada mereka yang baru berjinak-jinak dengan tudung. Kita tidak tahu kesan dan impak yang kita tinggalkan kepada mereka di sekeliling kita melalui tingkah laku, percakapan, pakaian serta tindakan kita pada setiap masa.

Saya masih ingat, ketika saya mula-mula memeluk Islam dan masih menghadapi kesukaran memakai tudung dengan sempurna (tak ada orang suruh mahupun ajar, saya buat snediri, huhuhu) saya sangat suka melihat adik-adik Muslimah yang memakai tudung labuh. Sejuk hati saya apabila melihat mereka lalu di hadapan saya, walaupun kami saling tidak mengenali satu sama lain. Secara tidak langsung, saya mula menutup aurat dengan betul kerana imej positif yang diperlihatkan kepada saya.

Saya juga masih ingat, sebelum saya memeluk Islam saya agak gerun melihat mereka yang berserban dan berjubah. Saya fikir mereka hanya mahu berbincang tentang Islam dan tidak mahu berkawan dengan yang bukan Islam. Alhamdulillah sekarang saya tidak lagi fobia dengan mereka kerana pendedahan yang positif. Namun saya tahu ramai bukan Islam yang risau didekati golongan ini.

Pepatah Inggeris "Don't judge a book by its cover" atau jangan menilai buku melalui kulit. Namun begitu, hakikatnya kita manusia biasa sering menilai kualiti buku melalui kulitnya terutama semasa mahu membeli di kedai. Begitu juga, kita sering menilai seseorang melalui tindakan dan penampilannya. Oleh itu kita perlu mempamerkan sikap yang baik, integriti dan etika semasa berurusan dengan orang lain, serta menjaga imej kita sebagai orang Islam.

Hal ini kerana secara tidak langsung dan tanpa kita sedari tindak tanduk kita, perbuatan, percakapan dan penampilan kita sering diperhatikan orang lain. Oleh yang demikian, kita perlu berhati-hati supaya imej sebagai orang Islam dan jawatan yang kita pegang itu tidak terjejas hasil tindakan kita. Mungkin kita sendiri tidak sedar bahawa tindakan kita yang kecil itu membuahkan hasil yang positif/ negatif pada orang lain. Misalnya, tindakan ustazah membuang kertas tisu di atas lantai bilik darjah pun akan ditafsirkan secara negatif oleh pelajarnya.

Oleh itu, janganlah kita menanggung dosa secara tidak langsung apabila kita menjadi bahan kutukan orang lain dan lebih buruk lagi,mengakibatkan orang lain membenci agama, pertubuhan atau jawatan khas kita semata-mata kerana kesilapan satu tindakan, satu percakapan atau satu ayat dalam penulisan:
"Saya tak jadi memeluk Islam kerana kecewa dengan layanan buruk orang Islam terhadap saya. Apa gunanya saya menjadi Muslim jika orang Islam sendiri berperangai buruk?"
" Kerana cikgu itulah, saya benci subjek Sejarah sehingga hari ini."
" Ustaz kata merokok itu haram tetapi ustaz pun merokok."
" Saya tak mahu pergi ke kelas mengaji lagi. Tadi saya pergi, saya dimarahi ustazah semata-mata kerana saya terlupa untuk bertudung."
Berhati-hatilah..
Kita menilai orang lain tetapi kita juga sering dinilai olehNya, dan dinilai orang di sekeliling kita..

4 comments:

  1. salam..
    saya bersetuju dengan apa yang kak alia warkahkan. Namun, akhlak yang baik sahaja tidak mencukupi untuk menjalankan tugas kita sebagai pendakwah.
    cuba kita bersama renungkan. di zaman rasulullah s.a.w. akhlak nabi sememangnya adalah yang terbaik dan sempurna. sehinggakan ada diriwayatkan oleh Aisyah r.a bahawa akhlak nabi adalah al-quran. tapi di zaman nabi ketika di mekah, hanya segelintir sahaja orang yang memeluk Islam. Dianggarkan penduduk mekah ketika itu adalah lebih kurang 10000 orang. tetapi yang memeluk islam ketika itu hanyalah lebih kurang 300 orang. Jadi, di manakah salahnya?... Mengapakah islam tidak dapat disebarkan dengan meluas di mekah ketika itu?...
    Jadi, marilah kita bersama fikir-fikirkan apakah puncanya. Bukan kemenangan yang di cari, tetapi kebenaran.
    Wallahu'alam...

    ReplyDelete
  2. Salam Kak Aliya,

    I totally agree with you. Yesterday I had a long interfaith discussion with a devout Christian friend and he said the reason he likes to talk about religion (Islam, specifically) is because I don't judge people. Other Muslims he knows, he said, are very harsh when it comes to discussing about the nonbelievers (such as himself).

    Hazwani.

    P.S. I will email you, need advice on something.

    ReplyDelete
  3. We are the ambassadors of Islam. People tend to judge a religion based on its followers. But it's sad that most Muslims nowadays don't lead Islam as their way of life.

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam
    Ahmad, Haz & Adawiyah,
    Benar, akhlak yang baik sahaja tidak mencukupi untuk menjalankan tugas kita sebagai pendakwah tetapi akhlak baik itulah yang menjadi ukuran masyarakat terhadap tahap agama seseorang. Sejarah menunjukkan bahwa walaupun orang Quraisy menentang Nabi Muhammad saw, mereka masih mempercayai baginda sehingga tetap menyerahkan harta benda kepada Muhammmad untuk disimpan.
    Hazwani, what you did is THE way. Sometimes a soft approach works better.
    Adawiyah, You're right. What a waste for them.

    ReplyDelete