Friday, January 2

TIDAK AKAN BERGANJAK

"Maaf, siapa ni?"
Saya sibuk tetapi masih melayan panggilan telefon.
Panggilan yang tidak diduga itu agak memanaskan hati. Nak kata saya tak marah adalah bohong; saya memang marah ketika itu. Dan marah saya memang berasas. Sekarang sudah padam, alhamdulillah.
"Tapi saya sudah berjanji dengannya."
"Itu tak ada kaitan dengan saya. Saya lihat ada kekosongan, saya ambillah. Lagipun masa saya ambil, ia memang tidak bertuan."
"Tapi Aliya, tempat itu sudah saya "book".Dia minta tolong saya dapatkan untuknya."
"Maaf, saya tidak akan berganjak. Itu satu-satunya tempat kosong yang ada. Lagipun saya lebih lama di sini sedangkan kawan anda belum pun tiba. Tempat saya yang lama itu hanya sementara dan tidak sesuai untuk kerja saya yang bertimbun-timbun pada tahun 2009 ini."
Lama dia berbicara. Saya terus berhujah. Kedengaran suaranya yang hampa dengan keputusan saya.

Mungkin 10 tahun yang lalu, jikalau perkara yang serupa berlaku, saya mungkin akan mengalah dan menyerahkan tempat itu kepadanya. Oh, sekarang tidak. Saya tidak akan membiarkan diri saya dibuli. Baik hak saya sebagai seorang warga negara, warga pendidik, isteri dan Muslimah, akan saya pertahankan sebaik mungkin.

Hairan bagaimana seorang wanita yang berpelajaran tinggi, dan berilmu dalam bidang agama Islam sanggup mengambil tindakan sebegitu. Saya cukup terkilan. Bukan kali pertama saya menghadapi masalah yang serupa dengan wanita Islam. Mungkin berhadapan dengan mereka yang "kurang arif dalam bab agama dari segi pemakaian dan cara hidup", boleh saya maafkan dan bersabar tetapi bagaimana harus saya hadapi mereka yang sudah berapa kali katam al-Quran dan dengan pengetahuan agama di dada, sepatutnya bersikap lebih baik daripada empunya diri ini? Apabila saya menegur dan menyatakan pendapat saya, saya pula dituduh "cuba tunjuk pandai" dan "berkasar". Ya lah, saya inikan tidak pandai berbahasa indah-indah seperti wanita Melayu jati, sudah tentu bahasa ala Cina terus-terang saya ini dianggap "kasar"?

Saya kecewa. Kecewa dengan sikap yang ditunjukkan oleh wanita-wanita Islam yang sudah boleh digelar 'ustazah';mereka yang sepatutnya menjadi contoh kepada Muslimin dan Muslimat lain namun masih ada kekurangan yang ditampilkan secara langsung kepada orang-orang yang "lebih lemah", sama disedari atau tidak disedari. Sikap agak mementingkan diri dan sahabat lain daripada mengambil kira hak dan perasaan kita, terserlah melalui tindakan-tindakan yang kurang mencerminkan sikap Muslimah yang sepatutnya. Apabila hak orang lain diketepikan demi kepentingan sendiri atau untuk menjaga hati sahabat baik, keluarga dan sanak saudara, bukankah itu satu pilihan yang tidak mengikut ajaran Islam? Setahu saya, Islam mementingkan keadilan untuk semua. Apabila keadilan diketepikan atau sengaja dilupakan demi keluarga atau sahabat sendiri, sikap apakah itu? Sudah lupakah segala ajaran dalam al-Quran tentang kepentingan bersikap adil dalam semua perkara?

'Janganlah kamu tertarik kerana kebencianmu terhadap satu kaum sehingga kamu tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana keadilan itu lebih dekat dengan taqwa dan takutlah kepada Allah'. (surah Al Maidah: 8)

Benarlah kata seorang kawan, "Setiap orang suka kalau orang lain berlaku adil kerana ia menguntungkan diri, walaupun dia sendiri tidak boleh berlaku adil pada orang lain".

Apabila saya diminta mengundur diri atau menyerahkan sebahagian daripada hak saya semata-mata kerana mahu menjaga hati pihak lain, perlukah saya berbuat demikian? Bagaimana pula dengan hak saya? Bukan mudah untuk menerima tindakan orang lain yang "berat sebelah" apabila diri sudah cuba bertindak adil dalam hubungan sesama manusia. Hanya Allah swt yang menjadi saksi.

Ahhh.. saya tidak akan berganjak dari kedudukan saya.
Saya tidak akan menyerah tanpa berjuang.
Jikalau mereka sudah berada di zon selesa, sudah masanya mereka disedarkan supaya tidak terus menjadi fossil.
Saya sudah lama bersabar.
Mungkin ini masanya saya berdegil.

2 comments:

  1. KakChik setuju dengan tindakan Kak Aliya tu. Kalau di Zahra' ni KakChik memang pantang kalau ada pengguna yang suka 'booking' untuk teman-teman yang entah bila akan tiba sedangkan ramai lagi pengguna lain yang nak duduk belajar atau membaca. Memang tak patut la sikap suka 'booking' tempat ni. Kalau KakChik siapa cepat, dia dapat, siapa rajin dia yang untung. Kalau lambat mungkin melepas la.

    ReplyDelete
  2. Kakchik, sama la kita. Aliya dah lama tak hirau siapa yang buat 'booking'dulu, selagi sudah tak ada tempat kosong yang lain, tempat yang di-booking itulah yang akan saya ambil, hahaha.Ramai yang tidak berani memperjuangkan hak masing-masing; akhirnya oihak lain yang semakin berani menafikan hak orang lain.

    ReplyDelete