Friday, January 9

INI UJIAN UNTUK SIAPA?

"Kalau tuhan mereka kuat, mengapa orang-orang itu masih diserang dan dibunuh? Mengapa tuhan mereka tidak membantu mereka?"
Saya sering mendengar komen sebegitu. Ketika itu, saya mendiamkan diri kerana saya belum lagi Islam. Tidak mengiakan, juga tidak menjawab. Kini saya masih mendengarnya lebih-lebih lagi dengan krisis yang sedang melanda orang Palestin di Semenanjung Gaza.

Ya, sekiranya seorang yang bukan Islam bertanya kepada anda mengapa Allah swt membiarkan orang Islam Palestin hidup merana, apakah yang sepatutnya anda jawab?
Itu semua di bawah ketentuan Allah swt?
Itu semua satu bentuk ujianNya kepada mereka?
Bahawa Allah swt akan membalas tindakan kejam rejim Zionis dalam bentuk lain? pada waktu lain? di akhirat nanti?
Mungkin... wallahu'alam.

Namun..
Apakah pula tindakan orang Islam seperti anda yang mengaku bahawa semua orang Islam itu bersaudara? Marah? Geram? Mengecam?
Itu saja?
Atau sudah tidak endah.. itu berita lapuk?

Sudahkah memboikot barangan keluaran USA dan syarikat-syarikat yang menyokong rejim Zionis? Pulaukan KFC, MacDonald, Starbucks, Coca-cola, Pepsi, dan sebagainya? Tidak lagi membeli makanan jenama Nestle, alat solek jenama Loreal, Revlon, Clinique, dan Maybelline, Perfume jenama Estee Lauder, armani, Boss; jenama Johnson&Johnson, KitKat, Kleenex dan sebagainya yang dipercayai menyumbang kepada rejim Zionis?

Sudahkan berdoa untuk kesejahteraan rakyat Palestin dan semua umat Islam yang ditindas tentera Israel dan sekutunya? Sudahkah berdoa agar Allah swt segera menjatuhkan bala kepada puak-puak yang bermaharajalela itu?

Rakyat Palestin sudah lama hidup merana menjadi mangsa rejim Zionis. Berjuang membebaskan tanahair dan keinginan untuk mati syahid sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka. Mereka sudah biasa dengan ujianNya yang menguji keimanan, ketabahan dan kesabaran mereka.
Tetapi apakah pengajarannya kepada kita?
Apakah ikhtibar yang kita dapat daripada peristiwa demi peristiwa sedih yang melanda umat Islam dewasa ini?
Sudah tentu segala yang berlaku ini bukan satu kebetulan tetapi sesuatu yang ada hikmah di sebaliknya.
Ini satu "wake-up call" kepada umat Islam. Semakin bersatu umat Islam seluruh dunia, semakin kuatlah kita. Berpecah belah seperti yang sedang berlaku sekarang, maka semakin rapuhlah persaudaraan Islam kita dan semakin mudah kita menjadi mangsa musuh-musuh yang sudahpun dinyatakan dengan jelas di dalam kitab al-Quran.
Mahukah kita membiarkan mereka yang bukan Islam mendahului kita orang Islam dalam memberi bantuan kepada orang Palestin yang seagama dengan kita?

Hairan... setiap tahun berjuta-juta umat Islam berkumpul di Mekkah untuk mengerjakan ibadat haji. Sekiranya setiap yang pernah menjadi tetamu Allah di Mekkah itu kini memegang sepucuk senapang, sudah berapa ramaikah jumlah tentera Islam menentang Israel di Semenanjung Gaza? Hairan, ke manakah perginya mereka selepas musim haji?

Hairan.. senyap suara kerajaan-kerajaan yang mengaku negara Islam. Negara-negara seperti Brunei dan Saudi Arabia antara negara terkaya di dunia tetapi kelihatan lemah sekali. Mungkinkah kekuatan kerajaan Islam sekarang hanya terletak di meja bulat OIC? Sampai bilakah perundingan demi perundingan harus diteruskan sedangkan setiap saat ada manusia yang mati atau cedera akibat kekejaman puak Zionis? Lemah sangatkah kerajaan Islam yang mengeluarkan sejuta-juta tong minyak mentah dunia? Benarlah PBB dan OIC sudah menjadi seperti patung tidak bernyawa, hidup segan mati tak mahu.

Hairan.. jumlah hadirin yang pergi ke majlis perkahwinan Mawi-Ekin tempoh hari menjangkau 20 ribu orang, dan kira-kira 90% mereka orang Melayu (orang Islam?). Pergi ke majlis perkahwinan begitu yang mungkin tidak mendapat pahala. Namun hanya 5 ribu orang yang hadir untuk menunjukkan protes mereka terhadap penganiayaan penduduk Palestin, sedangkan kehadiran yang lebih ramai bakal mencerminkan kekuatan persaudaraan umat Islam kepada semua penduduk di negara ini.
Adakah itu mencerminkan bahawa umat Islam kita kini kurang prihatin terhadap masalah yang sedang dihadapi oleh saudara Islam kita yang lain?
Atau adakah kurangnya penglibatan umat Islam dalam demonstrasi membantah keganasan Israel terhadap rakyat Palestin itu satu petanda bahawa orang kita sudah lebih gemarkan hiburan daripada melibatkan diri dalam hal-hal berkaitan agama Islam? Sudah tak kisah lagi dengan laungan dunia mengecam rejim Zionis dan Israel kerana "selagi bukan aku dan keluarga aku yang menjadi mangsa, peduli apa?"

Mungkinkah masalah yang dihadapi orang Palestin di Semenanjung Gaza sebenarnya ujian Allah swt kepada kita?
Menguji kekuatan kita sebagai umat Islam yang mengaku bersaudara?
Menguji tindakan kita sebagai hamba yang tunduk kepada segala suruhanNya?
Menguji kerelaan kita untuk menyumbang membantu saudara seagama kita yang memerlukan segala bantuan yang mampu kita hulurkan?
Menguji ketaqwaan kita padaNya dan rasa syukur kita yang dapat hidup aman di bumi Malaysia?

Saya tiada jawapannya.
Tanyalah isi hati anda sendiri.

4 comments:

  1. salam kak aliya.
    memang menyedihkan hakikat yang perlu kita telan.
    org Islam di Malaysia ternyata amat lemah sensitivitinya terhadap isu-isu agama. kalau di Malaysia pun kurang peduli apatah lagi di luar negara, Palestin pulak tu.
    majlis mawi-ekin mungkin bagi mereka sekali seumur hidup sedangkan Plestin sudah lama begitu malah saban hari keluar dalam suratkhabar, sudah tidak 'happening' lagi.
    kakchik masih bertanya pada diri sendiri, macam-macam soalan tentang ujian & iman diri ini.

    ReplyDelete
  2. Astaghfirullah. Ummah Islam semakin tidak prihatin sekarang. OIC pula macam boneka mainan sahaja. Ketua-ketua negara Arab pun lemah untuk berjuang untuk saudara Islam sendiri.

    Malaysia pula... Hmm... Kalau boleh, saya ingin sahaja mengangkat senjata pergi berperang dengan Israel laknatullah ini. Tapi apakan daya? Berdoa saja...

    Ada yang nasihatkan supaya baca Surah Al-Fil supaya insyaAllah, ababil akan lontarkan batu ke israel laknatullah sampai mereka mati.

    Kalau itu berlaku, semestinya satu dunia akan beriman kepada Allah.

    Tapi... Allah ingin menguji kita. Allah ingin melihat kesatuan dan keikhlasan kita dalam memperjuangkan Islam.

    Allahuakhbar!!!

    ReplyDelete
  3. Salam!! hati siapa tak sedih, hati siapa tak rawan, hati siapa tak marah melihat kekejaman zionis terhadap saudara-saudara kita .. tapi keupayaan terbatas .. DOA kpd ALlah swt lah senjata terbaik yg kita ada.

    ya .. inilah ujian untuk seluruh umat islam dimuka bumi ini.

    ReplyDelete
  4. Hmmm..kadang-kadang mereka bukan tak tahu..cuma tak sensitif dengan apa yang berlaku..

    Betul juga ya apa pandangan masyarakat bukan Islam terhadap reaksi umat Islam sendiri dalam isu ini..

    ReplyDelete