Thursday, December 30

JALAN-JALAN

Assalamualaikum,
Semoga semua pembaca blog ini dalam keadaan sihat walafiat dan sentiasa diberkatiNya.
Alhamdulillah kami sekeluarga baru pulang dari bercuti di Cameron Highlands. Pada mulanya, memang kami bercadang ke negara jiran tetapi memandangkan Ikram belum pernah dibawa makan angin selama beberapa hari lamanya, kami akhirnya membuat keputusan bercuti dalam negara sahaja. Kebetulan pula Abah Ikram dipanggil bermesyuarat di kawasan peranginan tersebut, dan saya pula sudah mula mengalami alahan mengandung.

Membawa anak kecil sekecil 7 bulan makan angin memberi satu pengalaman baru kepada saya dan suami. Perjalanan ke CH memakan masa hampir 4 jam kerana kesesakan lalu lintas. Syukur Ikram tidak meragam di dalam kereta. Kami tiba di hotel selepas waktu maghrib. Cuaca sejuk, kira-kira 18'C menyebabkan Ikram tidur nyenyak sehingga subuh.

Kami melawat ke Taman Agro Tourrism [juga dikenali sebagai The Big Red Strawberry Farm] di Brinchang. Masuk adalah percuma. Ia satu kawasan ecotourism yang agak menarik dengan tanaman sayur, strawberri serta tomato secara hydroponic. Kawasan meletak kereta pula luas dan berdekatan dengan ladang; oleh itu kami tidak perlu memanjat terlalu jauh. Seluruh kawasan ditutupi dengan bumbung maka tak perlu risau walaupun hujan.

Saya tertarik dengan sistem tanamannya yang tersusun dengan kemas dan teratur. Sayur salad kelihatan subur dan segar. Keseluruhan kawasan termasuk tandasnya pula bersih. Ramai juga pelawat yang memetik buah strawberri di situ [1 kg RM40] tetapi kerana kesuntukan masa, kami tidak berbuat demikian.

Sebaliknya kami menjamu selera di gerai makanan dan minuman yang dibuka untuk orang ramai. Buah strawberri menjadi bahan utama dalam hidangan seperti sundae, muffin, scone dan sebagainya. Sedap, segar dan harganya pula berpatutan. Ramai pengunjung yang berada di situ tetapi meja kerusi masih mencukupi kerana kawasan tempat duduk amat luas. Pandai sungguh pengusaha tersebut membuat bisnes. Ketika mengandung begini, saya memang kuat makan strawberri, hehehee... 2 paket macam tak cukup.
Perjalanan pulang dari Taman Agro itu mengerunkan kerana jalan yang sangat curam menuruni bukit. Kalau tak ada kereta, memang tidak boleh ke taman itu kerana bas tidak boleh berhenti di sana.

Kami bersyukur kerana menikmati hidangan dalam hotel. Makanan di CH pada musim cuti sekolah agak mahal. Harga sepinggan nasi lemak dengan ayam seketul RM6. Walaupun terdapat ramai pengunjung beragama Islam di CH, masih kurang kedai makanan Muslim yang dapat menarik minat kami. Mungkin kurang promosi dan keaslian masakan menyebabkan pelancong tidak tahu kewujudannya. Kedai yang menghidangkan steamboat masih kurang - saya diberitahu hanya 2 gerai Muslim yang menawarkannya. Pasar malam pula dimonopoli oleh usahawan Cina dan Indonesia.

Alhamdulillah Ikram semakin pandai makan makanan pejal. Hidangan hotel yang sesuai seperti tauhu dan ayam menjadi makanannya yang dilenyekkan dengan nasi dan sup. Dia mula meragam pada hari kedua kerana sudah bosan, tidak dapat bergerak aktif dan merangkak seperti hari biasa. Syukurlah percutian pendek ini hanya melibatkan Abah dan Umminya; bersabarlah melayan karenahnya.

Perjalanan pulang memakan masa 6 jam kerana berhenti rehat, makan dan solat. Lagipun berita tentang kemalangan bas ekspres menuruni CH-Simpang Pulai masih dalam ingatan [jalan dah dibersihkan, tak nampak apa-apa kesan dah].

Kami terlepas daripada mengalami keadaan paip kering di negeri Pulau Pinang pada 28 Disember kerana tiba di rumah selepas waktu isyak. Ketika itu, kami yang dewasa sudahpun layu, sebaliknya baby Ikram yang segar semula kerana telah tidur sepanjang perjalanan :P

Nota:
1.Tak dapat bayangkan bila bercuti bawa Ikram dan adiknya [insyaAllah] pada tahun hadapan, huhuhuuu
2. Saya mengalami sedikti perdarahan pada keesokan hari selepas pulang dari CH. Alhamdulillah, buat scan dan doktor kata kandungan sihat dan selamat.. fuhhhh, syukur.
3. Foto kami belum dimuatkan, masih dalam kamera suami.

No comments:

Post a Comment