Saya tengah menjaga disiplin pelajar Tingkatan 1 Arif yang sedang mengambil peperiksaan.
Tiba-tiba kedengaran azan dari masjid berdekatan, menandakan masuk waktu zohor.
Hmmm... suara muazin pada hari itu lain, tidak seindah seperti hari-hari sebelumnya.
"Mungkin muazin yang biasa melaungkan azan itu tidak dapat melakukannya pada hari ni" bisik hati kecil saya.
"Hahahaaaa..." kedengaran gelak ketawa seorang pelajar lelaki yang duduk berdekatan saya.
Pandang kanan, pandang kiri... tiada apa-apa pun yang pelik berlaku yang boleh mengundang gelak ketawanya.
Saya bersedia untuk menegurnya kerana mengganggu kawan-kawannya yang sedang khusyuk menjawab soalan peperiksaan.
"Heheheeee..." semakin ramai pelajar Islam dan bukan Islam yang cuba menahan diri daripada ketawa dengan kuat.
Ahhh... baru saya faham. Rupa-rupanya azan yang dilaungkan oleh muazin baru itu agak berlainan. Suaranya agak sumbang, dan secara tidak langsung azan yang dilaungkannya melalui pembesar suara itu kedengaran agak pelik bagi mereka yang sudah biasa mendengar seruan azan yang sedap-sedap.
Saya menarik nafas panjang. Bukan apa, sebab nak kawal diri daripada dipengaruhi pelajar untuk sama-sama bergelak ketawa. Isytifar banyak-banyak.
Saya bukanlah seorang ustazah yang cekap menilai kefasihan pembacaan seseorang, maka saya tak bolehlah pastikan sama ada tajwid dan maghraj azannya betul. Yang geram, makin ramai pelajar beragama Islam yang tersengih-sengih dan gelak mendengar seruan azan itu. Pelajar bukan Islam apatah lagi.
"If you are a Muslim, you will not be laughing," saya tegur mereka secara umum.
"Kalau kamu beragama Islam, kamu takkan ketawa mendengar seruan azan." saya ulang dalam Bahasa Melayu pula.
Syukur, nampaknya teguran saya berhasil. Mereka berjaya mengawal diri.
Keadaan kembali terkawal, dan tenang apabila azan itu selesai dilaungkan.
Dalam hati, saya berdoa agar muazin yang asal itu kembali menjalankan tugasnya supaya keadaan seperti tadi tidak berulang.
Bukan mudah nak menjadi muazin di masjid dan surau, bukan?
Perlu memenuhi syarat-syarat tertentu dan di antaranya adalah muazin yang cekap harus fasih supaya suara azan yang dikumandangkannya kedengaran sedap dan syahdu.
{Pos ini bukan nak tunjuk alim atau pandai (nauzubillah) tetapi sebagai peringatan kepada kita, betapa pentingnya tugas seorang muazin dan betapa banyak kesan daripada bacaan azannya. Keadaan pelajar ketawa seolah-olah mengejek memerlukan kita orang dewasa untuk menegur dan mendidik mereka yang masih muda dan kurang ilmu. Bayangkanlah kalau seorang guru itu terus senyap dan tidak menegur, banyaknya dosa percuma para pelajar itu terima semata-mata kerana laungan azan itu!]
image dari aishasoleha.blogspot.com
No comments:
Post a Comment