Friday, September 3

KAMI HORMAT

"Ok class, listen..."
Saya cuba menarik perhatian para pelajar Tingkatan 1. Semua masih aktif dan asyik berbincang. Bising tahap sederhana.
Tinggal lagi 5 minit pengajaran dan pembelajaran. Nak masuk sesi penutup.
"Look at the board!" Saya naikkan suara sedikit.
Ramai yang memberi perhatian tetapi masih ada yang leka dengan perbincangan kumpulan masing-masing yang sepatutnya sudah tamat.
Ishhh... letih juga mengajar pada bulan Ramadhan.

Tiba-tiba seluruh kelas itu senyap. Tak ada bunyi. Pelajar-pelajar yang berdiri segera kembali ke tempat duduk masing-masing. Tak ada lagi gurau senda, gelak ketawa.
Saya kehairanan.
Eh, pengetua atau guru disiplin sedang berdiri di luar kelas kah?
Jeling-jeling ke arah pintu, jenguk-jenguk ke kaki lima.
Tiada orang.
Mengapa senyap?

Lega dengan keadaan kelas yang senyap sunyi itu, saya yang mengejar masa, teruskan pengajaran dengan memberi penerangan terakhir sebelum tamat waktu pengajaran.
"Teacher... teacher.." tiba-tiba ketua tingkatan itu berbisik kepada saya sambil memberi isyarat.
"Why?" saya bertanya.
"Azan..." dia berkata dengan nada bimbang.
"Oooohhh."
Sayup-sayup kedengaran azan berkumandang, menandakan masuknya waktu fardu zohor.

Rupa-rupanya di sekolah saya yang baru ini, semua pelajar, dari Tingkatan Satu sehingga Tingkatan 6, akan diam ketika mendengar azan. Tak kiralah pelajar beragama Islam mahupun bukan Islam. Semua akan senyap secara automatik, tanpa disuruh.
"Mengapa ketika azan, kamu diam dan duduk?" saya menyoal para pelajar nonMuslim.
"Kami diajar untuk hormat pada azan, teacher."
"Siapa ajar buat begitu?"
"Cikgu."
"Cikgu di sekolah ini? Siapa? "
"Tak, kami dah diajar buat begitu di sekolah rendah," jelasnya yang belajar di sekolah kebangsaan sehingga Tahun 6.
Alhamdulillah, amalan itu dibawa sehingga ke sekolah menengah.

Saya sebagai guru pula yang agak pening apabila mengajar kelas jam 1.10-1.50ptg, yang kebetulan masuk waktu zohor. Terpaksa berhenti mengajar seketika sehingga tamatnya azan.
Kadang-kadang kerana tempoh yang agak lama itu, terlupa apa yang hendak disampaikan.
Saya pernah cuba teruskan pengajaran semasa azan berkumandang [memberi penerangan dan arahan] kerana kesuntukan masa tetapi pelajar nampaknya kurang selesa melihat saya bercakap ketika azan, maka terpaksa pula saya hentikan amalan itu.

Kalau menurut iman Bukhari, dibolehkan bercakap ketika azan berkumandang kerana sahabat-sahabat Nabi sendiri berbuat demikian.

Adalah mereka di zaman Umar bin al-Khattab, menunaikan solat (sunat) pada hari Jumaat, sehinggalah Umar masuk ke dalam masjid, apabila Umar masuk (ke dalam masjid, dan beliau duduk di atas mimbar, lalu tukang azan melaungkan azan. Kata Thalabah : Kami pun duduk (berhenti dari menunaikan solat sunat) dan kami berbicara (bersembang). Apabila azan selesai, lalu Umar berdiri untuk menyampaikan khutbah, kami pun diam dan tidak ada seorang pun daripada kami yang berbicara. [Muwata Malik dengan Syarah al-Zarqani. Jld 1, m.s. 307]

Lagipun setahu saya, kita perlu menjawab azan, bukannya sekadar mendiamkan diri.

Apabila kamu mendengar azan, maka jawablah sebagaimana yang diperkatakan oleh muazzin [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Saya tidak pasti sama ada pelajar Muslim disuruh diam kerana percaya akan satu hadis dhaif yang berbunyi:
“Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allah akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya..”
kerana belum ada pelajar yang berkata begitu [pelajar tidak akan menegur guru yang dilihat sebagai 'membuat kesalahan' tetapi berbisik sesama sendiri]
Harap-harap, tak adalah ustaz/ustazah yang mengajar mereka mempercayai hadis itu!

Kini, kalau mahu para pelajar yang terlalu aktif dan rajin bercakap [pelik la kalau subjek bahasa, pelajar diam membisu] itu diam seketika, terpaksalah saya tunggu masuknya waktu zohor, hahaha..

nota: Kalau pelajar nonMuslim pun boleh hormat azan dengan mendiamkan diri, apalah kita Muslim yang terlalu leka dengan hiburan hedonisme dan lain-lain maksiat sehingga lupa menghormati azan, apatah lagi menjawabnya. Malunya!

No comments:

Post a Comment