Thursday, September 30

SURAT LAYANG


"Saya jadi mangsa surat layang, Aliya. Saya dituduh berkomplot mahu menjatuhkan bos saya sedangkan saya tak tau apa-apa pun. Pada hari yang saya dituduh berada di luar pejabat untuk bermesyuarat berkomplot dengan kononnya konco-konco saya tu, terang-terang saya sedang melayan tetamu bos di ofis. Bos panggil saya masuk mengadap tapi syukurlah dia masih percayakan saya.. kalau tidak entah apa pula yang akan jadi.. saya kerja macam nak gila, rupa-rupanya ada orang lain yang dengki tengok saya rapat dengan bos," wanita yang rajin bekerja, tak kenal erti penat itu mengadu kepada saya.

Kali pertama mendengar istilah 'surat layang' saya ternganga. Tak faham.
Saya membayangkan sepucuk surat yang melayang-layang ditiup angin kencang. Hahahaa... alangkah jahilnya saya ketika itu, yang baru memasuki alam pekerjaaan.
Maklumlah saya tak pernah melakukan kerja-kerja seperti itu - menulis surat layang atau menyebarkannya.

Lama-kelamaan barulah saya faham. Rupa-rupanya surat layang adalah surat berbentuk tuduhan pada orang lain dalam sesuatu organisasi, surat yang tiada nama dan alamat penulis. Biasanya surat yang menuduh si dia dan si dia itu sama ada gila kuasa, mencuri tulang, pecah amanah, tidak membuat tugas yang diberikannya, ataupun apa-apa sahaja perkara yang dirasakan patut diketahui oleh pihak yang menerima. Si penulis seronok melihat mangsanya sedih atau marah.

Ia ditulis oleh mereka yang berjiwa pengecut, kerana identiti penulis surat itu tersembunyi. Hanya mereka yang berpenyakit hati yang akan menyebarkan surat layang, sembunyi tangan. Mereka sengaja menembak orang lain dalam organisasi, sengaja mencari-cari kesalahan dan kelemahan orang lain untuk diketengahkan, dan senyum sendirian apabila tembakan mereka menepati sasaran dan mencapai objektifnya. Dia dengki melihat orang lain senang, dan tak senang duduk melihat organisasi dalam keadaan tenang. Sebaliknya dia gembira melihat orang lain susah, dan organisasi dalam keadaan huru-hara. Itulah sakit orang yang menyebarkan surat layang.

Penulis surat layang boleh memberikan pelbagai alasan untuk menjustifikasikan penulisan dan penyebaran surat layang itu. Namun demikian, oleh sebab identiti penulis tetap dirahsiakan, isi kandungan surat layang tidak akan dapat dipastikan kesahihannya. Malangnya sebab surat layang diberikan kepada pihak di luar organisasi, maka sukar untuk pihak pembaca untuk memastikan kebenarannya. Lebih menyedihkan lagi, pihak yang tertuduh tidak tahu akan kewujudan surat layang tersebut lalu tidak dapat mempertahankan diri masing-masing, sehinggalah ia ditunjukkan kepada mereka. Tapi berapa ramaikah mangsa yang sedar dirinya menjadi target dalam surat layang yang sampai ke tangan ketuanya?

Bagi saya, surat layang tetap haram dan penulisnya tetap berdosa, biarpun apa sahaja niatnya menulis. Sepucuk surat layang yang sampai kepada penerima akan mendedahkan sesebuah organisasi kepada pelbagai tuduhan dan sangkaan buruk. Ada saja pihak yang menjadi mangsa surat layang yang tidak dapat ditentukan kebenaran dan ketepatan tuduhannya. Ia mendedahkan yang tertuduh kepada pelbagai dakwaan yang berbentuk syak wasangka dan boleh juga merupakan fitnah semata-mata.

Jahatnya penulis dan penyebar surat layang. Penyakit hatinya menular dan menyebabkannya tidak senang duduk. Dengki, iri hati, cemburu, sakit hati, hasad dengki, dan membalas dendam. Selagi niatnya untuk melihat organisasi huru-hara dan mangsanya susah, dia akan terus berusaha meneropong untuk mencari salah orang lain. Kesalahan kecil diperbesar-besarkan. Kelalaian sedikit akan terus diketengahkan di hadapan pihak berkepentingan. Lebih teruk lagi, sekiranya tiada kesalahan yang dapat dikesan, dia akan cuba menabur fitnah pula dengan membuat tuduhan palsu. Itulah sifat pengecut yang menyebarkan surat layang.

Sebenarnya, kita tak perlukan surat layang kalau memang benar kita mahu tegakkan kebenaran dan membawa perubahan positif kepada organisasi. Berterus terang sahaja secara muka ke muka tentang ketidakpuasan terhadap sesuatu hal/isu supaya semua pihak yang terlibat dapat mengambil langkah konstruktif untuk memperelokkan keadaan. Berani kerana benar. Letakkan sahaja nama sendiri pada surat yang diedarkan supaya orang tahu siapa yang menulisnya.

Malang sekali kerana amalan menulis dan menghantar surat layang seperti satu budaya di Malaysia. Yang lebih menyedihkan lagi, ada pula pihak yang mengambil serius tuduhan dalam surat layang, sehingga laporan polis boleh dibuat hanya berdasarkan sekeping surat layang yang tidak diketahui siapa penulisnya.

Dalam bahasa Inggeris, surat layang dinamakan sebagai 'poison-pen letter' kerana ia diibaratkan sebagai racun. Kalau racun itu tidak dibenarkan menyakiti kita, ia tidak akan dapat berfungsi seperti yang dikehendaki. Oleh itu, reaksi terbaik kepada sepucuk surat layang adalah dengan tidak menunjukkan sebarang reaksi negatif seperti marah, sedih dan kecewa, ataupun dengan ketawa terbahak-bahak ketika membacanya.

Jikalau saya seorang ketua, saya tidak akan melayan apa-apa surat layang. Tempat untuk surat layang adalah di dalam tong sampah kerana mempercayai kandungan surat layang yang tidak dapat dipastikan kebenarannya sama seperti mempercayai berita palsu. Tak boleh percayakan berita yang bukan 100% benar, bukan?

Sebenarnya, mempercayai tuduhan yang dilemparkan pada orang yang dinamakan dalam surat layang sama seperti menikam seseorang dari belakang, kerana mangsa tidak diberi peluang untuk membela diri. Nama baik dan kredibiti tertuduh akan sentiasa dipersoalkan sehinggalah tertuduh dapat membersihkan segala tuduhan yang dilemparkan. Berdosa kita jikalau mempercayai tuduhan dalam surat layang, berganda-gandalah dosa lagi jikalau kita sendiri yang menulis dan menyebarkannya.

Islam juga telah memberi amaran kepada umatNya untuk sentiasa menyiasat kesahihan sesuatu berita, supaya kita tidak berdosa menuduh orang yang tidak bersalah.

Hai orang-orang yang beriman! Jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka ber-tabayyun-lah (konfirmasikanlah), agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan itu,'' (QS Al Hujurat: 6)

“Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi berjihad di jalan Allah, maka selidiki sebaik-baiknya dan janganlah kamu mengatakan kepada orang yang memberi salam kepadamu “Engkau bukan mukmin”, Kamu hendak mencari harta kehidupan di dunia, padahal di sisi Allah banyak kekayaan”. (4:94)

Semoga kita dijauhkanNya daripada amalan ini, dan sentiasa dilindungiNya daripada menjadi mangsa surat layang, ameen.

4 comments:

  1. Suatu nasihat yg baik, puan...pokoknya...
    kita hendaklah selalu sabar serta berbaik sangka,
    dan berlaku adil terhadap sesama manusia...
    jauh sekali memfitnah orang lain...

    jangan pula terus termakan dgn kabar2 angin tanpa bukti yg nyata...usul periksa dulu!!!

    ReplyDelete
  2. Berani kerana benar!! Takut kerana Salah. Pegang je prinsip tu..insya'allah, selamat. Kalau orang lain dengki dengan kita, doa banyak2 pada Allah..semoga orang lain x termakan cakap orang itu. Dan teruskan berusaha ke arah yg benar.

    Kat my company, ada jugak pernah dengar kes surat layang ni, tapi x pernah experience secara peribadi. Mohon jauh la...

    ReplyDelete
  3. Salam nas,
    Benar, jangan cepat percaya tentang isi kandungan surat layang, dan yang utama, jangan fitnah orang lain. Dosa antara manusia itu lebih susah nak 'settle' daripada dosa kita dengan Allah swt.

    ReplyDelete
  4. Salam Along,
    InsyaAllah, semoga kita selamat daripada fitnah surat layang.

    ReplyDelete