Hari Guru Tahun 1979
"Cepatlah, mari!" kakak senior memanggil. Saya yang berbaju-T dan berseluar pendek aras lutut tergesa-gesa berlari ke arahnya, takut dimarahi. Dia segera mencapai skirt yang dibuat daripada tali rafia dan daun kelapa, lalu diikatkan pada pinggang saya.
Kami dikerah menari ala 'Hawaiian dance' sempena Hari Guru. Alahai, bila diingati semula memang memalukan tetapi pada ketika itu, saya dan kawan-kawan lain yang berumur 8 tahun memang lurus bendul. Kami hanya mahu menghiburkan para guru dan rakan-rakan lain. Persembahan demi persembahan pula dilakukan di padang sekolah pada waktu pagi.
Kata kakak senior, itulah hadiah kami kepada cikgu-cikgu.
Itulah ingatan pertama saya menyambut Hari Guru peringkat sekolah :P
Hari Guru Tahun 1988
"Ah, kalau cucuk badan saya, kena kahwin dengan saya," Cikgu Bakar mengusik.
Saya bertambah malu. Tangan menggeletar ketika menyematkan corsage bunga orkid pada kocek bajunya. Guru disiplin itu memang digeruni oleh ramai pelajar sekolah convent itu tetapi dia agak baik dengan saya. Mungkin atas sebab itu jugalah,saya dipilih di antara perpuluh-puluh pengawas sekolah untuk menyematkan bunga orkid pada bajunya. Setiap pengawas diberi tugas menyematkan corsage bunga pada baju seorang guru.
Syukur, tak tercucuk badan Cikgu Bakar - tak payahlah kahwin dengannya :P
Itulah sambutan Hari Guru terakhir saya sebagai pelajar sekolah menengah.
Hari Guru Tahun 1994
Tahun kedua saya mengajar dan saya telah ditukarkan ke sebuah sekolah luar bandar. Murid-murid memberikan persembahan di atas pentas. Guru-guru pula seperti biasa menyanyikan lagu 'Kami Guru Malaysia' dan membaca ikrar hari guru. Rutin biasa pada hari guru.
Saya kembali ke meja. Terkejut. Hampir penuh meja saya dengan bungkusan hadiah. Ada besar, ada kecil. Banyak pula yang tidak ditulis nama murid yang memberi.
Saya angkut semuanya balik ke rumah. Bila buka hadiah-hadiah itu, saya ketawa besar. Hmmm, ada beberapa kotak tisu yang belum digunakan, hampir setengah dozen buku sabun wangi, 2-3 set brooch baju [belikah atau kebas dari koleksi ibu?], hampir sedozen pen merah, beberapa bekas bunga telur, dan sedozen bunga ros plastik pelbagai warna.
Semenjak itu, saya jarang membeli sabun mandi kerana stok dari hadiah hari guru bertahan beberapa bulan lamanya :)
Hari Guru Tahun 2009
Saya mula bertugas di sekolah menengah kawasan luar bandar. Suasana lain, pelajar pun lain. Guru-guru tidak perlu lagi bertungkuas-lumus menyediakan pelajar untuk persembahan hari guru sepertimana di sekolah rendah. Itu tugas badan pengawas sekolah menengah.
Saya duduk bersama-sama guru-guru lain di dewan sekolah. Kami menerima hadiah daripada badan pengawas. Kemudian pelajar-pelajar lain pula memberikan hadiah mereka. Saya tidak bersedia untuk sesi itu. Penuh tangan saya dengan pelbagai hadiah dan bungkusan daripada pelajar yang menyerbu. Patutlah ada cikgu yang menyimpan beg plastik besar di dalam beg tangan mereka; rupa-rupanya untuk menyimpan hadiah daripada para pelajar.
Koleksi pula berbeza di sekolah menengah. Lebih canggih kerana kebiasaannya pelajar berkongsi membelikan satu hadiah kepada setiap guru. Ada yang membuat kad sendiri. Saya tak kisah. Terima kasih kepada yang memberi, yang tak memberi pun tak mengapa.
Hari Guru bukan disambut kerana cikgu-cikgu menagih hadiah daripada pelajar. Malah kadang-kala lebih seronok apabila hanya satu kad diberikan mewakili satu kelas. Bukan hadiah berbentuk material yang dipinta tetapi kesungguhan para pelajar semasa membuat kerja sekolah dan kesantunan mereka ketika berbicara dengan guru itulah yang setiap guru inginkan pada setiap hari.
Apa gunanya berderet-deret A yang diperolehi pelajar tetapi mempunyai sikap buruk dan kurang ajar terhadap orang dewasa yang lain. Apa gunanya cuba membodek guru dengan hadiah mahal pada hari guru padahal pada hari lain berperangai seperti 'hantu' di dalam kelas.
Guru tidak mengharapkan balasan materialistik daripada para pelajar kerana mengajar itu memang tugas dan tanggungjawab setiap warga bergelar 'cikgu'
Yang kami harapkan adalah kesungguhan para pelajar semasa belajar, seriusnya mereka menyiapkan kerja sekolah, sopannya mereka ketika berbicara dengan guru dan orang lain, dan keinginan mereka untuk memperlengkapkan diri dengan pelbagai ilmu semasa menuntut di sekolah supaya mereka dapat menjadi warganegara yang cemerlang.
Bukan seperti mereka yang tamat sekolah/dibuang sekolah dan menjadi sampah masyarakat.
Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik... baik mereka yang mengasuh anak kecil, yang mendidik anak di taska dan tadika, yang bergelar cikgu/teacher/laoshi/ ustaz/ustazah.. yang bergelar pensyarah dan professor... yang mengajar walaupun hanya sepatah ayat..
Semoga jasa dan pengorbanan anda dibalas di dunia dan akhirat, ameen.
Terima kasih kepada semua guru-guru kelas saya [sekolah]:
1978 - Mrs. Goh, ; 1979- Pn. Hasnah ; 1980 - Mrs. Wee ; 1981 - Mrs.Ooi ;1982 - Pn. Khadijah, ;1983 - Pn. Abdillah, 1984 - Mrs. Tan; 1985 - Pn. Asma, 1986 - Mrs. Joseph, 1987 - Mr. Soo Ah Ba, Mr. Ooi ; 1988 - En.Mokhtar; Mrs. Verghese; 1989 - Mr.Lim Ah Ba, Mr.Lee ; 1990 - En. Mohd Danial.
selamat hari guru juga untuk puan...
ReplyDeletebagusnya puan masih mengingati setiap nama guru kelas :)
saya walaupun baru berumur 25 thn, tp tak dapat nak recall nama guru2 kelas saya dari sekolah rendah:(
cuma ingat muka je...nama banyak yg dah lupa...teruk nya saya :(
happy teacher's day. =)
ReplyDeleteselamat hari guru, cikgu !
ReplyDelete