Monday, May 23

PERIKSA

"Mengapa tulis sebuah esei sahaja? Bukankah kamu diminta tulis sebanyak 2 esei?"
"Tak cukup masa," dia memberikan alasan.
"Itu bukan alasan yang baik. Sebelum periksa, saya dah ingatkan kamu semua bahawa kamu perlu peruntukkan masa 1 jam 45 minit untuk menulis 2 esei. Sekarang sebab kamu hanya tulis satu, kamu kehilangan 50 markah kerana gagal menulis esei yang kedua. Mungkin kamu akan gagal kertas BI kerana tidak menulis esei kedua ini."
Wajahnya muram. Agaknya dia baru sedar akan kesilapannya.
Peperiksaan Pertengahan Tahun sedang berlangsung di kebanyakan sekolah.
Berbuih mulut cikgu-cikgu mengingatkan para pelajar terutama mereka di Tingkatan 1 dan 4, tentang bentuk soalan peperiksaan yang bakal dihadapi, dan perkara-perkara yang perlu dilakukan sewaktu peperiksaan. Maklumlah inilah kali pertama mereka akan menjawab soalan peperiksaan berformatkan bentuk PMR dan SPM.

"Macam tak pernah belajar!" sungut Cikgu Razi semasa dia memeriksa kertas jawapan Matematik."Penat mengajar tapi ini yang mereka jawab! Merapu!"
"Biasalah... tak tengok lagi jawapan untuk kertas Sains," komen Cikgu Nora.
"BI lagi seronok, ada yang jawab soalan objektif sahaja. Untuk soalan esei, hantar kertas kosong!"
"Tu la, bila banyak gagal, kita cikgu juga yang dipersalahkan oleh pihak pentadbiran. Kita juga yang dituduh tak mengajar padahal pelajar sendiri tak bersungguh nak jawab."
"Budak sekarang dah lain. Masa kita sekolah dulu, tak tahu pun cuba jawab juga, pantang tengok kertas kosong, takut kena marah dengan cikgu. Sekarang kita marah, mereka tak kisah, malah boleh gelak."
"Tak tau la apa nak jadi dengan pelajar-pelajar Galus tu. Mereka sendiri tak tahu hari ini periksa subjek apa sedangkan jadual periksa kita sudahpun lekatkan di papan kenyataan kelas mulai minggu lalu."
"Betul tu. Kita yang susah hati bila mereka tengah periksa. Risau prestasi jatuh."


"Mereka sangka di Tingkatan 4 boleh honeymoon, bila masuk Tingkatan 5 baru belajar bersungguh-sungguh untuk SPM. Nasihat kita supaya bersedia dari sekarang tak diendahkan. Jika basic pun tak boleh, macam mana nak buat soalan yang lebih susah?"
"Tak ada seorang pun pelajar yang nak gagal. Semua nak lulus, jika boleh nak dapat A, tapi masalahnya bukan semua nak berusaha untuk dapatkan A itu."
"Mungkin puncanya sebab sudah banyak yang mereka dapat percuma. Buku teks percuma, ambil peperiksaan awam percuma, beg sekolah percuma, baju sekolah percuma, malah ada yang nak yuran sekolah dan yuran PIBG percuma. Bila semua percuma tanpa perlu berusaha, tak mudah menghargai segala yang diperolehi itu sebab tak pernah rasa susah untuk mendapatkan ilmu. Datang ke sekolah untuk berseronok.Tak lulus cemerlang pun tak apa, masih boleh dapatkan pinjaman untuk sambung belajar di kolej, yang prestasi elok sikit, boleh dapat biasiswa."
"Saya setuju tu. Masa kita belajar dulu, banyak yang kita sendiri perlu adakan. Buku teks kena beli di kedai second-hand sebab tak dapat skim SPBT. Duduk pula di kerusi buruk yang menyepit punggung kita. Jangan kata nak dapatkan biasiswa, nak dapat PTPTN pun tak boleh sebab masa tu takde. Tapi kita ok juga, masih boleh belajar sampai dapat ijazah, dapat kerja, walaupun terpaksa ikat perut bertahun-tahun masa belajar dulu."
"Anak-anak zaman sekarang dah terlalu dimanjakan. Semua dia minta terpaksa diberikan. Nak kasut branded, kena belikan. Nak baju branded, nak makan sedap. Nak minta motosikal, malu nak tunggang basikal ke sekolah. Tapi suruh belajar menggeliat, suruh buat kerja rumah sikit dah banyak komplen. Tu termasuklah anak saya sendiri."
"Entahlah apa nak jadi. Risau tengok anak-anak sekarang ni, tambah bangsa kita sendiri. Tambah pelajar di kelas hujung. Mereka fikir zaman sekarang, dengan sijil SPM lulus BM saja dah boleh cari makan? Saya kata jika nak jadi askar pun, kena ada kredit dalam Matematik dan Bahasa Inggeris, mereka tak percaya!"
"Awak tak masuk Kelas 4B pagi tadi. Si Azim tu, yang dah lebih 60 hari tak datang sekolah tanpa alasan dan dah pun diberhentikan sekolah, tiba-tiba datang pagi ni! Dia masuk-masuk kelas, terus tengok jadual periksa. Kawan-kawan dia terkejut tengok dia. Saya panggil dia, tanya mengapa dia datang sebab dia dah diberhentikan sekolah, tak boleh berada di dalam kawasan sekolah lagi, surat berdaftar dah pun dipos ke rumah. Tau apa dia kata? Dia seronok sebab boleh balik rumah semula untuk sambung tidur!"
"Geram dengan budak-budak tu. Masa kita mengajar, mereka ponteng tapi bila masa periksa, terhegeh-hegeh nak datang ambil periksa pula. Kalau pandai dan boleh lulus takpa juga, ni asyik hantar kertas kosong, jatuhkan lagi prestasi yang dah memang teruk."
"Buatlah program motivasi banyak-banyak pun, tapi jika pelajar masih tak berubah sikap, macam inilah hasilnya. Periksa macam tak periksa, tak buat persediaan langsung. Kesian mak bapa yang bertungkus-lumus menyekolahkan anak tapi anak sendiri tak menghargai semua pengorbanan mereka."
"Malangnya bila mereka sedar, mungkin sudah terlambat. Masa nak dekat SPM atau PMR, baru nak rajin baca buku. Masa tu la nak cari kismis minda, nak cari air yassin, nak solat hajat. Semua nak cepat dan mudah tapi nak dapatkan ilmu bukan begitu caranya!"

2 comments:

  1. cabaran besar mengajar anak-anak zaman sekarang kan :(

    ReplyDelete
  2. Salam cikgu-cikgu,
    terima kasih kerana perihatin dgn masalah anak2 kita sekarang. semoga semua ibu bapa pun dapat tahu kesedaran permasalahan besar bawah tanggongjawab masing2 bukan hanya nak A setiap peperiksaan tapi tiada peduli apakah tertanam nilai akhlak dan sikap tanggongjawab dalam diri anak-anak (tuntutan agama).
    sebenarnya tiada beza peranan kedua-dua pihak (ibubapa dan cikgu) untuk membetulkan kepincangan ini. tidak perlu dikesal @ dibanding dengan orang2 dulu. percayalah org dulu pun pening dgn segala cobaan pada zamannya. sbb itulah tugas pendidik itu amat tinggi di sisi Allah. bentuk dan pujuklah mereka dengan sabar, dari hati dan perasaan sayang lantas mohon kepadaNya diberinya kita semua kekuatan semoga berjaya menangani ujian dunia yg sekelumit dan fana. semoga usaha (baca:ibadah) kita itu diterimaNya, Allahu a'lam

    ReplyDelete