Thursday, March 31

PATUTKAH DIA MINTA BEGITU?

Meja saya di tepi pintu di bilik guru kanan. Saya sedang sibuk menyemak buku latihan pelajar.
Tiba-tiba pintu dibuka.Dia masuk.Sekali pandang, dia lelaki Cina.Berbaju-T berkolar dan berseluar panjang.
Saya tidak hiraukannya. Mungkin dia bapa salah seorang pelajar sekolah yang sedang mencari guru kelas anaknya.
Tiba-tiba dia menghulurkan sebuah fail klip kepada saya. Di atas fail itu, terdapat dua keping kertas bercetak. Saya terpaksa membacanya.

Hmmm... Mohamad Ridzuan Lim bin Abdullah... saudara baru.. 
Ahhhh... rupa-rupanya dia masuk ke bilik guru untuk meminta sedekah!
Ya, itulah sebenarnya tujuan dia ke situ.
Kertas sehelai bersaiz A4 putih itu bercetak komputer mengandungi beberapa baris ayat yang menyatakan bahawa si dia itu adalah seorang saudara baru dan ingin meminta bantuan wang. Tidak pula dinyatakan untuk tujuan apa wang itu. Saya belek kertas kedua. Lebih kurang sama saja kandungannya. Tiada nama mana-mana NGO Islam. Tiada cop tauliah mana-mana jabatan agama Islam. Oleh yang demikian, saya berani menganggarkan bahawa dia sendiri yang menulis surat tersebut. Mungkin juga kutipan sedekah itu untuk kegunaan dirinya sendiri.

Dia masih berdiri di tepi meja sambil menunggu tindakan saya.
"Awak dah pernah pergi ke PERKIM?" saya tanya dia dalam bahasa Cina Hokkien.
Dia kelihatan terkejut, gelabah seketika. Serangan daripada Cikgu Aliya!
Saya ulangi,"Awak pernah pergi ke PERKIM?" masih dalam bahasa Cina Hokkien.
Kalau benar dia orang tempatan, sudah tentu dia boleh memahami ayat saya dan mampu menjawab dengan baik!
Saya masih memandang ke wajahnya. Daripada raut wajahnya, saya agak dia berumur 40-an. Rambut masih hitam, badan masih tegap. Orangnya kelihatan sihat.
"Err, saya biasa pergi ke PERKIM di Alor Setar," dia jawab dalam Hokkien yang lancar.
"Jauhnya di Alor Setar! Tak biasa pergi ke PERKIM di Butterworth kah?" saya tegur lagi.
"Butterworth pun ada pergi," dia jawab.
"Awak tinggal di mana?" saya seperti detektif pula. Ahh, biarkan. Lagipun bilik guru itu hanya ada kami berdua.
"Di Bukit Mertajam," jawabnya lalu menghulurkan saya sekeping kad. Kad Masuk Islam. Saya jenguk seketika.. ya, alamatnya di Bukit Mertajam.
"Awak orang Cinakah?" dia tanya saya pula.
"Ya, saya orang Cina," saya jawab ringkas.
"Mana bilik guru? Saya diminta oleh guru besar untuk ke bilik guru," katanya pula. Mungkin mahu mengelak.
"Di bilik sebelah lagi," saya memberitahunya dan dia pun keluar.

Saya menyambung kerja menyemak latihan yang bertimbun. Beberapa minit kemudian, Encik Ridzuan Lim masuk semula ke dalam bilik saya.
Dia menghulurkan kertas dan fail tadi kepada guru wanita Melayu yang duduk di sebelah saya.Cikgu itu terkejut bercampur hairan. Namun, dia mengeluarkan beg tangannya. Saya tak mahu masuk campur.
Bijak, Ridzuan tidak meminta daripada saya.


"Siapa dia tu?" tanya Cikgu Wani (bukan nama sebenar) pada saya setelah Rizduan keluar dari bilik kami.
"Baca tak kertas dia tu?" saya tanya kembali.
"Baca tapi tak fahamlah."
"Dia tu saudara baru (Islam) yang datang ke sini meminta derma. Tak bagitau pula untuk tujuan apa tapi nampak dari segi zahir, dia sihat dan kuat kan? Tu yang saya tak layan dia, sebab dia ambil jalan mudah. Buat malu nama saudara baru, datang sekolah minta derma. Patutnya dia minta zakat atau bantuan dari NGO Islam kalau benar dia orang susah atau nak tolong orang lain yang susah. Ni tidak, mudah saja masuk keluar sekolah dengan sekeping kertas itu untuk meminta belas kasihan orang Islam. Entah-entah semua duit itu nanti masuk poket dia sendiri," kata saya.
"Patutnya pihak pentadbir tak bagi la dia masuk bilik guru," komen Cikgu Wani.
"Nak buat macam mana? Orang seperti tu datang sekolah minta derma, nak tahan? Nanti bos kita pula rasa tak sedap hati, rasa berdosa kalau tak tolong saudara baru. Dia ambil kesempatan atas status saudara baru!"


Kelihatan Ridzuan turut menghulurkan fail dengan kertas meminta sedekah itu kepada seorang lagi guru wanita yang lalu di hadapan bilik kami. Guru tersebut juga berhenti dan mengeluarkan dompetnya.
Saya ingat lagi, kertas minta derma itu sudah mengandungi cop dan tandatangan beberapa pengetua sekolah di kawasan Seberang Perai Tengah. Bayangkanlah jika dia sudah ke 5 buah sekolah dan setiap sekolah dia berjaya mendapat derma daripada 40 guru Islam. Berapakah yang berjaya dikutipnya sekarang?
Untuk tujuan apa kesemua wang itu bakal digunakan?

Saya sibuk, oleh itu saya tidak sempat berbual panjang dengannya.
Kira rezekinya berjaya mendapat bantuan wang dengan cara mudah di sekolah saya. Saya tak pasti berapa orang guru yang menderma padanya.
Tapi jikalau saya jumpa lagi dia di sekolah saya pada tahun hadapan, memang dia akan 'kena' dengan saya!

10 comments:

  1. Salam Cik Gu. Saya rasa Kadang-kadang Allah nak uji uji kita, bagaimana kita nak bertindak. Kalau nampak semacam tak berapa kena, berilah sedikit, mungkin boleh juga bantu dia.

    ReplyDelete
  2. sebenarnya byk kali dah kena mcm ni kak aliya, slalunya sy akn jadi mcm kak aliya, sy akan tnya, asal mana, x dpt bantuan lain ke..
    kesian mmg kesian, tpi.. xkn lah klu mampu lgi bekerja, masih nk meminta2....
    still confuse pasal ni

    ReplyDelete
  3. my dad always said, "bkn cacat pun, pemalas ni org, x mahu kerja. Kita penat2 cari duit, dia senang2 ja mintak, mcm lah dia x boleh nak cari kerja apa2. Jangan bg duit kt dia, girl."

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum Sis,

    Pada pendapat saya, kalau nak bagi derma haruslah bagi kat mereka yang berhak kepadanya.
    Bagi saya jika kita bagi kat mereka yang tidak berhak maka mungkin kita dah berlaku kejam kepada mereka yang lebih berhak.

    Bayangkan bagi duit kat orang kaya dan tak bagi kat orang miskin.

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum wbt,

    Kalau kita lihat senario di Malaysia, Melayu adalah Islam & Islam adalah Melayu. Dan kita selalu memandang negatif kpd sikap2 org melayu yg terkenal dgn malas, suka subsidi dan macam2. Dan orang Cina pula terkenal dgn rajin bekerja.
    Namun bila diperhatikan bila orang Cina memeluk Islam BANYAK (bukan semua) kes seperti ini terjadi. Kemana hilangnya sikap Cina yg selama ini rajin berusaha setelah mereka memeluk Islam?

    Jadi di mana silapnya di sini? Adakah Melayu? Adakah Cina? Atau adakah Islam? Sedangkan Islam mengajar penganutnya menjadi insan cemerlang.

    Apa yg boleh saya katakan adalah, ini semua adalah ujian bg orang yg mengaku Islam. Semakin Allah sayang maka semakin banyak ujian yg akan dia tempuhi. Sekuat manakah kita menempuh ujian tersebut?

    ReplyDelete
  6. Waalaikumussalam semua,
    Md Radzi, benar itu ujian Allah jua. Dengan alasan itu jugalah, saya biarkan dia 'mencari rezeki', sebab sedekah daripada mereka yang memberi tetap dikiraNya.

    atie, saya memang tak suka apabila ada saudara baru Islam yang cuba mengambil kesempatan dengan status baru mereka. Memang berlaku kes mereka yang berjumpa ustaz, siap bertanya sama ada akan dapat zakat atau tidak sebelum mengucap syahadah.Hanya Allah yang Maha Mengetahui keikhlasan mereka memeluk Islam.

    Shaza & ahong, setuju. Saya selalu cuba mengelak dengan mengambil jalan lain apabila nampak ada individu seperti itu di depan kedai,dll. Rasa seolah-olah dipaksa pula bersedekah apabila didatangi individu yang tidak dikenali. Saya lebih suka menderma kepada pihak kebajikan yang bertauliah, sekurang-kurangnya tahu ke mana wang yang kita dermakan itu.

    1000lan, bukan salah Melayu dan bukan salah Islam. Salah mereka yang menyalahgunakan nama saudara baru Islam. Saya sendiri hairan, di manakah letaknya harga diri sehingga sanggup turun nak tangga bangunan meminta derma untuk tujuan entah apa. Biasanya orang Cina cukup menjaga air muka, tapi saya lihat si Ridzuan itu selamba saja. Pada pendapat saya, bila dah Islam, berusahalah menjaga nama baik agama Islam. Saya tak berani nak fikir apa pendapat guru-guru bukan Islam jikalau mereka tahu tujuan kedatangannya di situ... tentu sekali negatif.

    Kembara.. ya, senario biasa tetapi bagi saya,ini kali pertama ia berlaku di sekolah.

    ReplyDelete
  7. Saya setuju agar sdr kita ini mendalami lagi ttg apa yg dituntut oleh Islam, sebenarnya!

    Apapun, biarlah kita berbaik sangka dahulu...
    berilah sedikit semampunya...sambil2 memberi nasihat/tarbiah secara halus, jika berpeluang..!

    Semoga kita dekatkan sdr kita ini dgn kita sdri....jgn pencilkan & jauhkan dia...

    tunjukkan jalan kpd.nya , semoga lebih mudah "perjalannya"...InsyaAllah

    (p/s saya juga kurang senang dgn org yg berupaya cuma tau meminta2!)

    ReplyDelete
  8. nas,
    Saya pun setuju gak.. tapi sekolah bukan tempat yang sesuai untuk memberi tazkirah kepada pelawat.. tambah saya seorang perempuan, dia lelaki.. moga-moga ada ustaz lain di sekolah yang telah memberi nasihat padanya :)

    ReplyDelete
  9. Aliya Saya setuju....cuma kita buatlah sebyk & sekadar yg termampu...
    tetapi yg pasti....
    istiqamahlah dgn pendekatan positif & bersabar!

    ReplyDelete