Semnjak kecil, saya sudah diperkenalkan dengan tahun-tahun binatang dalam kalendar Cina. Malah boleh dikatakan setiap orang yang saya jumpa, pasti akan bertanya saya lahir tahun apa. Tok pula mengajar saya bagaimana menjawab.
Bila sudah kenal huruf, saya sedar orang tua percaya bahawa kanak-kanak yang lahir pada tahun tertentu mempunyai watak tertentu yang dikatakan bersandar pada watak binatang ia dilahirkan.
Kalau lahir tahun rimau, dipercayai orangnya berani, aktif dan suka cabaran. Lahir tahun babi pula dikatakan akan dapat hidup senang pada usia tua.
Masuk sekolah menengah, saya didedahkan pula dengan ramalan horoskop Barat. Capricorn, Aquarius, Taurus dan sebagainya. Anehnya, juga 12 semuanya, sama seperti kalendar Cina. Cuma horoskop Cina berdasarkan tahun, horoskop Barat berdasarkan bulan.
Banyak juga buku yang saya khatam mengenai horoskop Cina dan Barat ini.
Itupun belum termasuk bahan bacaan tentang fengshui, ramalan berdasarkan tahi lalat pada badan seseorang. Oooh, saya memang berminat tentang isu-isu berkenaan. Menarik.
Apabila saya mempelajari Islam, saya belajar bahawa mempercayai ramalan-ramalan begitu adalah berdosa. Boleh jatuh syirik kerana mempercayai ada kuasa lain selain Allah yang menentukan masa depan seseorang. Setelah memeluk Islam, saya buang semua kepercayaan tahyul itu. Tahu tetapi sudah tidak mempercayainya. Faham tetapi tidak amalkannya. Kerana amaran dalam al-Quran.
Namun saya simpan semua buku-buku tersebut dalam kotak untuk dijadikan rujukan bila perlu.
Hairan. Tatkala saya yang tak lagi percayai semua tahyul itu setelah beragama Islam, kini ramai pula orang Islam sendiri di masyarakat kita yang mempopularkan ramalan horoskop. Bukan setakat dalam akhbar tetapi sudah diterbitkan buku. Kononnya personaliti dan masa depan seseorang boleh diramalkan berdasarkan tarikh lahir seseorang. Banyak juga buku yang laris.
Kini bukan setakat tarikh lahir mengikut kalendar Roman tetapi yang terbaru mengikut tarikh lahir bulan Islam yang menjadi sasaran mereka. Kononnya orang yang lahir dalam bulan Ramadhan ada ciri-ciri tertentu. Orang yang lahir pada bulan September ada sifat-sifat lain.
Aduh, siapakah orang Islam yang membuat semua gambar itu? Tak ada kerja lain yang lebih berfaedahkah?
Apakah ini semuanya?
Sudah semakin jahilkah umat Islam di Malaysia?
Apakah bezanya kepercayaan pada ramalan sifat seseorang yang lahir mengikut kalendar bulan Islam dengan kepercayaan masyarakat bukan Islam pada ramalan mengikt kalendar Cina/Roman? Bezakah dengan ramalan masyarakat Jahiliah zaman Rasulullah pada batu dan burung?
Semuanya khurafat.
Pokoknya ia adalah berdosa. Diberi amaran dalam al-Quran. Disuruh agar tidak menduakan Allah.
Bukan mereka tidak tahu. Mereka tahu tetapi mereka masih degil, bukan?
"Barangsiapa yang mendatangi seorang peramal lalu mempercayai apa yang diramalkan, maka ia telah kufur terhadap wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa sallam ." (HR. Tirmidzi No. 135, Abu Dawud No. 3904, Ibnu Majah No. 639 dan Ahmad No. 9252)
"Barangsiapa yang mendatangi seorang peramal lalu menanyakan kepada tentang satu ramalan, maka tidak akan diterima shalatnya selama empat puluh malam." (HR. Muslim 2230)
"A la, suka-suka saja. Bukan percaya pun, takkan itu pun nak marah," itulah alasan yang sering diberi.
Habis kalau bukan percaya, mengapakah disebarkan dalam Facebook dan emel ? Itu pun suka-suka?
Bukan setakat masuk dalam profil sendiri malah terus ditagkan foto 'ramalan tarikh lahir mengikut bulan' itu dengan nama-nama kawan-kawan lain agar mereka turut membaca dan mempercayainya.
Meluat saya apabila setiap kali membuka emel dan FB dan mendapati pelbagai komen yang masuk semata-mata kerana di-tag begitu tanpa izin saya. Letih pula kerana terpaksa membuang [untag] semula nama saya daripada foto tersebut. Membuang masa saya.
"A la, bukan ramalan pun. Cuma membantu mengenal watak seseorang berdasarkan tarikh lahirnya. Membantu kita mencari pekerjaan yang sesuai," ada pula komen orang lain.
Hmmm, kalau begitu, apakah bezanya kepercayaan itu dengan pandangan horoskop penganut Hindu dan orang Cuna dahulukala apabila mereka cuba mencari jodoh untuk anak masing-masing? Bukankah berdasarkan bacaan tarikh lahir calon untuk membantu mereka mengenal watak dan masa depan bakal pasangan anak mereka?
Begitu banyak alasan yang diberi semata-mata untuk menegakkan hujah, mempertahankan satu kepercayaan yang jelas dilarang dalam agama Islam.
Benarkah kita manusia biasa mampu mengetahui watak seseorang dengan begitu mudah, yakni hanya dengan mengira tarikh lahirnya, atau sekadar bulan apa dia dilahirkan?
Jikalau dia dikatakan seorang yang mudah cemburu/ panas baran/ pendendam, adakah dia akan terus dilabel begitu? Bagaimana jikalau dia sememangnya bukan begitu, tetapi kerana sebuah hujah, dilabel begitu? Tak adil bukan?
Sedangkan kita yang bersandarkan pada ajaran Islam, wajib berusaha untuk menjadi orang yang lebih baik setiap hari, dan mengubah segala sifat mazmumah kepada sifat mahmudah.
Bolehkah kita benarkan sebuah buku atau satu hujah mengubah perspsi kita terhadap seseorang, sedangkan Islam mengajak kita untuk sentiasa berbaik sangka?
Bagi yang masih gemar berbuat begitu ~ mengedarkan foto/emel berkenaan dengan ramalan 'Rahsia Tarikh Lahir' dan mempercayai segala yang disampaikan oleh 'pakar-pakar itu', nasihat saya adalah, berhentilah.
Buang semua kepercayaan karut itu. Jangan hampiri langsung.
Bukan dapat pahala tetapi mengundang dosa dan kemurkaan Allah.
Hanya Allah swt yang berkuasa menentukan masa depan kita semua. Tarikh lahir kita dan masa lahir kita dikongsi bersama dengan berjuta-juta orang lain. Masakan akan mendapat nasib yang sama? Mempunyai watak yang sama?
Tak logik, bukan?
Kita di anjurkan menjauhkan diri dari fitnah.. ramalan2 itu satu daripada cabang Fitnah yang dianjurkan untuk di jauhi..
ReplyDeleteSemuga kita selalu dilindungi Allah dari Kurafat, syirik dan kufur dan semuga Allah memberi kita Rahmah dan Maghfirahnya.
i strongly agree with u.
ReplyDeleteada juga org suka main ramalan berdasarkan fizikal spt mata, kening, etc.
all of 'em doesn't make sense.
aturan hidup manusia ditentukan oleh usaha sndri & ketentuan Allah s.w.t. ^__^
Nampak banyak dah ruang islam dah boleh masuk. Namun bila diteliti lebih banyak ruang2 maksiat/syirik yg masuk.
ReplyDeleteSekolah tahfiz mendapat sambutan hangat ibu bapa. Namun sambutan idola kecil 3 lebih hangat. Cukupkah kita berpuas hati?
assalamualaikum,aliya..
ReplyDeletenice info,tq sudi share.ain setuju dengan pendapat aliya dan sepatutunya kita sebagai hamba Allah harus percaya kepada Al-Quran iaitu surat daripada Allah daripada mempercayai horoskop ini semua.
Waktu kecil dahulu, ain sering diingatkan ain dikategorikan binatang apa dalam kalendar cina.namun itu semua hanya kenangan...=))
assalamualaikum..
ReplyDeleteYa memang sungguh menyedihkan apabila ramalan bulan sebegini menjadi laris di facebook. Padahal Allah SWT telahpun menegahnya dan diharamkan.
Ayah saya sendiri ialah pakar dalam feng shui dan tilik nasib. Terutamanya dia boleh mengira nasib sepanjang hayat seseorang berdasarkan tarikh lahir dan masa. Saya telahpun diberitahu ialah "kaki perempuan" yang mendapat sambutan tinggi hehe..
Bagaimanapun saya tetap memikirnya atas logik minda saya sendiri dan menjauhinya walaupun belum mengenali Islam semasa masih remaja.
Hanya Allah SWT yang berhak untuk menentukan nasib dan takdir setiap hambaNya.. Bukan sekadar pengiraan bulan lahir.
Salam aliya mohon izin kongsi artikel ni di facebook saya.
ReplyDeleteOsman