Two roads diverged at thirty-five, and I - I took the one less travelled by, and that has made all the difference.
Thursday, September 30
SURAT LAYANG
"Saya jadi mangsa surat layang, Aliya. Saya dituduh berkomplot mahu menjatuhkan bos saya sedangkan saya tak tau apa-apa pun. Pada hari yang saya dituduh berada di luar pejabat untuk bermesyuarat berkomplot dengan kononnya konco-konco saya tu, terang-terang saya sedang melayan tetamu bos di ofis. Bos panggil saya masuk mengadap tapi syukurlah dia masih percayakan saya.. kalau tidak entah apa pula yang akan jadi.. saya kerja macam nak gila, rupa-rupanya ada orang lain yang dengki tengok saya rapat dengan bos," wanita yang rajin bekerja, tak kenal erti penat itu mengadu kepada saya.
Kali pertama mendengar istilah 'surat layang' saya ternganga. Tak faham.
Saya membayangkan sepucuk surat yang melayang-layang ditiup angin kencang. Hahahaa... alangkah jahilnya saya ketika itu, yang baru memasuki alam pekerjaaan.
Maklumlah saya tak pernah melakukan kerja-kerja seperti itu - menulis surat layang atau menyebarkannya.
Lama-kelamaan barulah saya faham. Rupa-rupanya surat layang adalah surat berbentuk tuduhan pada orang lain dalam sesuatu organisasi, surat yang tiada nama dan alamat penulis. Biasanya surat yang menuduh si dia dan si dia itu sama ada gila kuasa, mencuri tulang, pecah amanah, tidak membuat tugas yang diberikannya, ataupun apa-apa sahaja perkara yang dirasakan patut diketahui oleh pihak yang menerima. Si penulis seronok melihat mangsanya sedih atau marah.
Ia ditulis oleh mereka yang berjiwa pengecut, kerana identiti penulis surat itu tersembunyi. Hanya mereka yang berpenyakit hati yang akan menyebarkan surat layang, sembunyi tangan. Mereka sengaja menembak orang lain dalam organisasi, sengaja mencari-cari kesalahan dan kelemahan orang lain untuk diketengahkan, dan senyum sendirian apabila tembakan mereka menepati sasaran dan mencapai objektifnya. Dia dengki melihat orang lain senang, dan tak senang duduk melihat organisasi dalam keadaan tenang. Sebaliknya dia gembira melihat orang lain susah, dan organisasi dalam keadaan huru-hara. Itulah sakit orang yang menyebarkan surat layang.
Penulis surat layang boleh memberikan pelbagai alasan untuk menjustifikasikan penulisan dan penyebaran surat layang itu. Namun demikian, oleh sebab identiti penulis tetap dirahsiakan, isi kandungan surat layang tidak akan dapat dipastikan kesahihannya. Malangnya sebab surat layang diberikan kepada pihak di luar organisasi, maka sukar untuk pihak pembaca untuk memastikan kebenarannya. Lebih menyedihkan lagi, pihak yang tertuduh tidak tahu akan kewujudan surat layang tersebut lalu tidak dapat mempertahankan diri masing-masing, sehinggalah ia ditunjukkan kepada mereka. Tapi berapa ramaikah mangsa yang sedar dirinya menjadi target dalam surat layang yang sampai ke tangan ketuanya?
Bagi saya, surat layang tetap haram dan penulisnya tetap berdosa, biarpun apa sahaja niatnya menulis. Sepucuk surat layang yang sampai kepada penerima akan mendedahkan sesebuah organisasi kepada pelbagai tuduhan dan sangkaan buruk. Ada saja pihak yang menjadi mangsa surat layang yang tidak dapat ditentukan kebenaran dan ketepatan tuduhannya. Ia mendedahkan yang tertuduh kepada pelbagai dakwaan yang berbentuk syak wasangka dan boleh juga merupakan fitnah semata-mata.
Jahatnya penulis dan penyebar surat layang. Penyakit hatinya menular dan menyebabkannya tidak senang duduk. Dengki, iri hati, cemburu, sakit hati, hasad dengki, dan membalas dendam. Selagi niatnya untuk melihat organisasi huru-hara dan mangsanya susah, dia akan terus berusaha meneropong untuk mencari salah orang lain. Kesalahan kecil diperbesar-besarkan. Kelalaian sedikit akan terus diketengahkan di hadapan pihak berkepentingan. Lebih teruk lagi, sekiranya tiada kesalahan yang dapat dikesan, dia akan cuba menabur fitnah pula dengan membuat tuduhan palsu. Itulah sifat pengecut yang menyebarkan surat layang.
Sebenarnya, kita tak perlukan surat layang kalau memang benar kita mahu tegakkan kebenaran dan membawa perubahan positif kepada organisasi. Berterus terang sahaja secara muka ke muka tentang ketidakpuasan terhadap sesuatu hal/isu supaya semua pihak yang terlibat dapat mengambil langkah konstruktif untuk memperelokkan keadaan. Berani kerana benar. Letakkan sahaja nama sendiri pada surat yang diedarkan supaya orang tahu siapa yang menulisnya.
Malang sekali kerana amalan menulis dan menghantar surat layang seperti satu budaya di Malaysia. Yang lebih menyedihkan lagi, ada pula pihak yang mengambil serius tuduhan dalam surat layang, sehingga laporan polis boleh dibuat hanya berdasarkan sekeping surat layang yang tidak diketahui siapa penulisnya.
Dalam bahasa Inggeris, surat layang dinamakan sebagai 'poison-pen letter' kerana ia diibaratkan sebagai racun. Kalau racun itu tidak dibenarkan menyakiti kita, ia tidak akan dapat berfungsi seperti yang dikehendaki. Oleh itu, reaksi terbaik kepada sepucuk surat layang adalah dengan tidak menunjukkan sebarang reaksi negatif seperti marah, sedih dan kecewa, ataupun dengan ketawa terbahak-bahak ketika membacanya.
Jikalau saya seorang ketua, saya tidak akan melayan apa-apa surat layang. Tempat untuk surat layang adalah di dalam tong sampah kerana mempercayai kandungan surat layang yang tidak dapat dipastikan kebenarannya sama seperti mempercayai berita palsu. Tak boleh percayakan berita yang bukan 100% benar, bukan?
Sebenarnya, mempercayai tuduhan yang dilemparkan pada orang yang dinamakan dalam surat layang sama seperti menikam seseorang dari belakang, kerana mangsa tidak diberi peluang untuk membela diri. Nama baik dan kredibiti tertuduh akan sentiasa dipersoalkan sehinggalah tertuduh dapat membersihkan segala tuduhan yang dilemparkan. Berdosa kita jikalau mempercayai tuduhan dalam surat layang, berganda-gandalah dosa lagi jikalau kita sendiri yang menulis dan menyebarkannya.
Islam juga telah memberi amaran kepada umatNya untuk sentiasa menyiasat kesahihan sesuatu berita, supaya kita tidak berdosa menuduh orang yang tidak bersalah.
Hai orang-orang yang beriman! Jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka ber-tabayyun-lah (konfirmasikanlah), agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan itu,'' (QS Al Hujurat: 6)
“Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi berjihad di jalan Allah, maka selidiki sebaik-baiknya dan janganlah kamu mengatakan kepada orang yang memberi salam kepadamu “Engkau bukan mukmin”, Kamu hendak mencari harta kehidupan di dunia, padahal di sisi Allah banyak kekayaan”. (4:94)
Semoga kita dijauhkanNya daripada amalan ini, dan sentiasa dilindungiNya daripada menjadi mangsa surat layang, ameen.
Wednesday, September 29
MATA
Saya terpaksa bercuti sakit selama 3 hari gara-gara sakit mata. Sudah berpuluh-puluh tahun tak sakit mata atau conjunctivitis, tiba-tiba ia melanda pula. Aduh, satu cabaran baru pula tambahan dengan kehadiran bayi kecil di rumah.
Alhamdulillah setakat ini keadaan saya masih ok. Ubat doktor untuk mengawal rasa gatal mata menyebabkan saya mengantuk. Oleh sebab itulah, saya tak dapat nak post apa-apa artikel dalam beberapa hari kebelakangan ini. Asyik taip silap ejaan sahaja kerana sebelah mata yang sakit itu ditutup dengan gauze sebagai langkah mengelakkan daripada berjangkit kepada baby Ikram. Akhirnya saya mengalah kerana pening. Nak tau bagaimana keadaannya melakukan aktiviti harian dengan sebelah mata tertutup, cubalah, hehehee...
Ikram yang dah berumur 4 bulan asyik memandang umminya yang sudah kelihatan seperti lanun bermata satu. Mungkin hairan. Dia dah makin lincah dan bijak, serta suka meniarap. Alhamdulillah, dia sangat 'people-friendly' menyebabkannya sering dikerumuni peminat wanita.
Pada pagi ini, kami [saya bercermin mata gelap untuk kurangkan risiko menjangkitkan kepada orang lain] ke hospital untuk temujanji dengan doktor pediatrik. Kata doktor, walaupun keadaannya masih terkawal, pernafasannya masih agak cepat, batuknya masih belum sembuh sepenuhnya, tetapi mereka masih mahu memantaunya, takut jadi asma atau sesak nafas. Seriau saya dengar gambaran 'the worst senario', tambahan pula timbulnya banyak kes bayi mati tercekik susu.
Sudah 2 minggu saya cuba merancang bagaimanakah cara terbaik untuk membawa Ikram ke hospital [pada hari ini] untuk appointmentnya. Agak rumit prosedur untuk keluar semula apabila sudah masuk pejabat/sekolah. Cuti rehat sudah dihabiskan menjaga Ikram yang sakit di hospital tempoh hari.
Sepandai-pandai kita merancang, Allah yang Maha Berkuasa. Tanpa diduga, saya diberikan cuti sakit 3 hari oleh doktor yang merawat mata saya ini. Syukur, kerana saya tak perlu memikirkan lagi masalah itu kerana penyelesaiannya telah diberikanNya. Biarpun tidak selesa dengan keadaan mata yang merah dan gatal, saya masih dalam cuti sakit ketika membawa Ikram ke hospital pagi ini. Lega juga tidak perlu kembali ke tempat kerja kerana kami tunggu dari jam 10pagi sehingga 12.30 tengah hari. Kami tinggalkan perkarangan hospital hanya pada pukul 2 petang.
BANGUNAN DAKWAH KEPADA NON-MUSLIM
Assalamu Alaikum Warrahmatullah
Saudara dan saudari Muslimin dan Muslimat sekalian,
1) Isu akidah yang melibatkan murtad dan kewujudan ajaran-ajaran sesat yang semakin menular di dalam masyarakat,
2) Isu akhlak seperti zina yang berleluasa, kes membuang bayi, rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang semakin menjadi-jadi,
3) Isu antarabangsa yang mencabar maruah umat Islam seperti Islamofobia, pengharaman pemakaian purdah oleh wanita Islam dan seumpamanya.
Antara NGO Islam yang telah mengambil inisiatif dan langkah proaktif untuk menyahut cabaran ini ialah pertubuhan Islamic Propagation Society International (IPSI) atau Pusat Penyebaran Islam Antarabangsa.
Ditubuhkan sejak 18 tahun yang lepas, IPSI kini diterajui oleh pengasas dan Presiden Tuan Haji Kamarudin Abdullah PKT, PJK yang dulunya beragama Kristian Katolik dan kini telah menjadi pendakwah Islam sepenuh masa.
Misi suci IPSI dalam membentuk peribadi manusia yang cintakan Allah dan Rasul-Nya telah mendapat sambutan yang mengalakkan dari mereka yang beragama Islam dan juga yang belum Islam. Segala pujian kepada Allah, Tuhan Alam Semesta yang memberikan petunjuk kepada hamba-hamba yang dikasihi-Nya.
Menerusi pelbagai program umum seperti ceramah, seminar, forum, simposium, pameran, kuliah ilmu, bantuan orang miskin dan saudara baru, wajah Islam yang sebenar telah berjaya ditonjolkan sebagai sebuah agama yang selari dengan fitrah manusia dan dapat membawa mereka mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
Dalam usaha untuk mengembangkan lagi misi dakwah sejagat, IPSI sedang berusaha untuk memiliki sebuah bangunan 4 tingkat di pusat bandar Georgetown. Bangunan tersebut yang berharga RM1.7 juta akan menampung segala program dan aktiviti dakwah IPSI dimasa hadapan, insha’allah.
Maklumat lanjut tentang projek ini boleh diperolehi dari laman web rasmi IPSI – www.ipsi.com.my dan dalam Facebook – sila taip Islamic Propagation Society International.
Dengan itu saya ingin meminta jasa baik saudar dan saudari untuk memberikan sumbangan derma demi menjayakan hasrat murni dalam memiliki bangunan ini. Insha’allah, segala amal jariah yang dilakukan dengan penuh keikhlasan demi mencari keredhaan dan pengampunan dari Allah Yang Maha Pengasih tidak akan sia-sia.
Sumbangan anda juga boleh dalam bentuk wakaf sebanyak RM300.00 untuk setiap kaki persegi. Salurkan sumbangan anda ke dalam akaun bank IPSI seperti berikut:
Bank Islam Nombor Akaun 07025010021464
Maybank Nombor Akaun 557380300023
Sekian, terima kasih.
Hanya Allah s.w.t. yang dapat membalas jasa baik saudara dan saudari untuk melihat syiar agama tersebar luas dibumi ini. Bantulah kami demi kegemilangan dakwah Islam.
Rayuan ikhlas dari,
Mohamed Sirajudin PJM
Naib Presiden
IPSIFriday, September 24
40 HADITH [ANIMATED]
I came across this lovely video in Facebook/Youtube and would like to share with you.
May Allah SWT bless those who created this video, ameen.
p/s: This is also good as a form of gentle dakwah to nonMuslims, explaining the teachings of Islam and Prophet Muhammad [pbuh].
Wednesday, September 22
KARAOKE DAN HAK JIRAN
Dah pukul 11 malam tetapi jiran terdekat sebelah rumah masih memasang karaoke. [yang baru siap renovation rumahnya selepas lebih 4 bulan tu la].
Malam ini diadakannya Jamuan Hari Raya. Jemputan adalah kawan-kawan dan turut dijemput jiran-jiran tetangga [surat jemputan dimasukkan ke dalam posbox rumah, oklah].
Kanopi dipasang pada malam semalam. Kerusi dan meja disusun di separuh jalan selepas maghrib.
Pada mulanya saya bercadang untuk menerima jemputan kenduri dan bawa Ikram sekali tetapi apabila bunyi lagu karaoke mula kedengaran sejurus selepas isyak, saya dah mula kurang senang hati.
Karaoke dipasang secara terbuka di luar rumahnya. Open air. Full volume. Malam selepas isyak pula tu.
Rumah saya pula terletak bersebelahan dengan rumahnya. Mahu tak mahu terpaksa bersabar sahaja mendengar suara penyanyi tak profesional orang kebanyakan dengan kadang-kadang 'out-of-tune' melolong.
1 jam bolehlah bersabar. 2 jam masih boleh bertahan.
Ni dah 11 malam, tetapi tak dapat berehat lagi kerana gangguan bunyi dari luar [walaupun di tingkat atas, bilik tidur berhawa dingin].
Issshhhh geram.
Ni satu kezaliman dah.
Tak menghormati hak jiran.
Apasal la nak memasang karaoke dengan mike dan speaker besar di luar rumah.
Sambut Hari Raya Aidilfitri dengan cara berhibur beginikah?
Mesti menyanyi/mendengar karaoke semasa makan? Dengan lagu raya dan lagu jiwang-jiwang entah apa-apa?
Mengapa tak boleh pasang muzik atau nasyid dengan bunyi sederhana saja? Jatuh standardkah?
Nak tegur, saya malas sungguh, tambahan pula suami outstation malam ini.
Jiran itu pula, si suami yang dah berusia baru balik dari belajar mengaji di benua Arab. Patutnya ilmu agama Islamnya lebih tinggi daripada saya, bukan? Entahlah...
Alahai, ketika saya menulis pun [11.10pm], masih kedengaran dengan kuat suara 'teruk' mereka menyanyi di luar sana.
Pintu pagar rumah saya sudah 'ditutupi' mereka yang meletakkan meja kerusi di luar rumah saya tanpa kebenaran saya.
Ya, meja kerusi menjalar sehingga ke depan pagar rumah saya. Aduh, aduh. Tak tanya langsung tuan rumah ini samada boleh letak atau tidak.
Saya tak mahu keluar tegur kerana tak mahu bergaduh dengan jiran, dan memalukannya di hadapan para tetamunya.
Lebih baik duduk diam di dalam rumah dan melepas geram dalam blog saja, huhuhu.
Ikram dah merengek beberapa kali kerana terkejut tetapi syukur, dapat ditidurkan semula.
Alhamdulillah berkat latihan dari bayi lagi, dia sudah lali pada bunyi sekeliling dan mudah lelap.
Kalau tidak, memang ummi ini akan mengamuk sakan, jamuan pun lantaklah :P
Entah bagaimana keadaan anak jiran sebelah rumah yang satu lagi yang sedang membuat ulangkaji terakhir malam ini untuk UPSR keesokan hari?
Agaknya inilah sikap orang kaya, sehingga lupa akan hak jiran tetangganya?
Atau adakah dia fikir hanya kerana dia dah jemput kami ke jamuannya, maka semua pun boleh dia lakukan pada malam ini?
Hmmm... susah bila dapat jiran begini. Syukur jiran di sebelah lagi sangat baik.
[Saya tak hadiri jamuan jiran malam ini kerana 1) Pening dengan bunyi karaoke itu 2) Mahu latih Ikram supaya tidak sambut Aidilfitri dengan hiburan begitu. Dengan tidak hadir, secara tidak langsung dapat hindarkannya daripada terpengaruh dengan hiburan karaoke begitu, insyaAllah]
SOLAT ATAU BELAJAR
"Kami dari surau, cikgu,"jawab salah seorang daripada mereka dengan selamba.
"Buat apa di surau?"
"Solat zohor, cikgu... kalau cikgu tak percaya, boleh tanya ustaz Zamri (bukan nama sebenar)."
Saya memandang wajah mereka satu persatu.
"Cikgu percaya kata-kata kamu, sebab kalau kamu tipu bahawa kamu mengerjakan solat sedangkan kamu belum, Allah Maha Melihat. Tapi kamu sudah lewat 15 minit ke kelas. Sekarang masih waktu belajar. Tugas kamu sekarang adalah belajar ikut jadual waktu, selepas tamat waktu persekolahan, bolehlah kamu solat. Lagipun waktu zohor panjang lagi," saya menegur mereka.
"Tapi kami pergi solat zohor, cikgu.. bukan buat salah," salah seorang kurang puas hati.
"Persoalan di sini, kamu sepatutnya berada di dalam kelas sekarang, bukannya pergi ke surau untuk solat tanpa kebenaran guru yang sedang mengajar di kelas kamu ni. Tak masuk kelas tanpa kebenaran guru dianggap ponteng dan boleh dihukum. Kamu faham maksud cikgu?"
Mereka diam, mengangguk tanda faham.
Saya menasihati mereka supaya bertanya kepada kawan-kawan yang lain kerana telah ketinggalan pelajaran akibat lewat masuk ke kelas.
Sekolah menengah satu sesi tamat waktu persekolahan di antara jam 2.00 hingga 3.15 petang.
Oleh itu, para pelajar dan guru-guru beragama Islam yang berada di dalam kelas hanya boleh mengerjakan solat zohor selepas waktu persekolahan.
Namun begitu, ada juga pelajar Islam yang masuk lewat ke kelas pada waktu zohor dengan alasan mereka pergi ke surau sekolah untuk sembahyang.
Entah betul entah tidak.
Surau sekolah biasanya terletak jauh daripada blok bilik darjah.
Sudah banyak kali saya tegur mereka supaya pergi ke surau selepas waktu persekolahan tetapi perkara yang sama tetap berulang.
Entah apa lagi yang boleh dibuat, kerana kelewatan mereka masuk ke kelas hanya akan merugikan mereka yang ketinggalan pengajaran guru. Tindakan mereka yang masuk lewat juga mengganggu pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas itu.
Salahkah saya kalau meminta mereka menangguh solat sehingga tamat waktu persekolahan?
Pada para pelajar ini, mengerjakan solat adalah ibadah dan perlu dilakukan ikut waktu.
Mungkin mereka anggap tugas mereka belajar di dalam kelas itu bukanlah ibadah, maka boleh ditinggalkan sementara?
Sunday, September 19
USAHLAH MENDESAK
Saya berada di bilik kaunseling, berjumpa dengan kaunselor universiti untuk berbincang. Fikiran sudah buntu. Saya perlu mencari jalan untuk memberitahu keluarga saya tentang pengIslaman saya dengan cara yang terbaik dan berhemah, walaupun kemungkinan besar saya akan dimarahi dan mungkin juga akan dipukul. Mereka diharap dapat membantu.
"Kita boleh buat lakonan simulasi, bagaimana kamu akan memberitahu keluarga nanti." cadang kaunselor.
Saya diam dan mengangguk. Mereka tiada pengalaman sebagai seorang saudara baru/mualaf yang berhadapan dengan keluarga yang menentang pengIslaman si anak. Kemungkinan juga simulasi itu akan gagal mencapai matlamat. Saya diminta datang semula pada minggu yang hadapan untuk aktiviti itu.
[Temujanji itu tidak ditunaikan kerana pada minggu itu juga ibu bapa saya tahu saya sudah memeluk Islam, entah siapa yang memberitahu mereka]
Selepas saya mengisytiharkan diri sebagai Muslimah di universiti, soalan yang biasa daripada kawan-kawan yang mengetahui saya telah memeluk Islam adalah,'Bila nak bagitahu keluarga awak yang awak dah Islam?'
Jawapan saya,"Belum tahu lagi, nantilah.."
Saya sengaja mengelak kerana sememangnya saya tidak tahu bila waktu yang sesuai untuk memberitahu.
Bukan tidak mahu. Bukan kerana takut. Tapi mahu mencari cara yang paling lembut untuk memberitahu mereka, supaya tidak kecoh. Saya kenal sangat keluarga saya itu.
Syukur kerana tiada yang terlalu mendesak saya untuk berbuat demikian.
Mungkin banyak hikmahnya memeluk Islam pada usia yang matang dan menumpang di asrama univerisiti ketika itu. Saya boleh berdikari dan bebas mengamalkan cara hidup Islam.
Situasi saya itu dianggap sangat optimum kerana saya tidak perlu berhadapan dengan makanan tidak halal serta kepayahan mengerjakan solat yang dialami oleh saudara baru yang 'undercover' dan masih tinggal dengan keluarga bukan Islam.
Mereka sudah beragama Islam. Mereka terpaksa tinggal bersama keluarga bukan Islam dan terdedah kepada makanan tidak halal kerana tiada tempat lain yang sesuai. Ada juga yang memilih untuk terus tinggal di situ kerana sayang pada keluarga.
Ada pula yang terpaksa membuka tudung setiap kali balik kampung supaya keluarga tidak syak tentang pengIslamannya.
Itu masalah yang sudah tentu menjadi dilema bagi saudara baru tersebut.
Mereka tahu makanan tidak halal, dan mereka yang sudahpun menutup aurat atas kerelaan sendiri sedar bahawa mereka berdosa kerana mendedahkan semula aurat. Namun apakan daya. Itu jalan sementara yang mereka pilih.
Sementara sahaja insyaAllah sehingga masa yang sesuai untuk memaklumkan pengIslaman mereka kepada ahli keluarga.
Lagipun, Allah SWT yang menentukan masa yang keadaan yang sesuai untuk keluarga seseorang mualaf itu mengetahui pengIslamannya.
Dalam kesusahan mereka merahsiakan daripada pengetahuan keluarga dan kerumitan mereka mempelajari ilmu agama Islam, mereka turut menghadapi golongan yang berpendapat wajib mendedahkan pengIslaman mereka. Mereka didesak oleh ustaz, ustazah dan kawan-kawan beragama Islam supaya tidak merahsiakan lagi daripada keluarga.
"Bila nak bagitau keluarga? Taukah awak berdosa awak dedahkan aurat dengan tidak memakai tudung?"
"Makanan yang awak makan itu akan membentuk darah daging awak. Kalau makanan itu tak halal, awak bagaimana?"
Kasihan mualaf/saudara baru yang masih bergelut dengan rasa bersalahnya pada keluarga kerana memilih Islam dan melukakan hati ibu bapanya. Dia terpaksa pula berhadapan dengan reaksi negatif segolongan masyarakat Islam lahir yang terus mendesaknya supaya tidak lagi merahsiakan pengIslamannya, walaupun dia sendiri belum bersedia untuk berbuat begitu.
Mereka menyatakan bahwa kalau terus tinggal dengan keluarga bukan Islam, mualaf tu akan memakan makanan tidak halal, susah mengerjakan solat dan bagi wanita, mendedahkan aurat.
Setiap kali berjumpa, mualaf itu akan didesak untuk memberitahu keluarga.
Walaupun mualaf itu sudah bercadang memberitahu apabila dia
- sudah mendapat pekerjaan tetap dan dapat tinggal berasingan
- sudah tamat pengajian dan dapat berdikari
- dalam tempoh sebulan/ setahun/2 tahun dll
Hairan saya.
Mengapakah perlu mendesak saudara baru itu untuk memberitahu keluarganya?
Baikkah kalau terus memberitahu keluarga bahawa diri sudah Islam, tanpa sebarang persediaan mental, emosi dan fizikal?
Alangkah baiknya jikalau mereka yang mendesak mualaf itu sendiri menyediakan rumah sewa percuma dan segala keperluan rumah/kos pengajian untuknya, sebab kemungkinan besar mualaf itu akan dihalau dari rumahnya sehelai sepinggang kelak.
Alangkah baiknya jikalau mereka yang mendesak mualaf itu sendiri menemani mualaf itu dan memberi sokongan moral serta perlindungan kepadanya tatkala dia menyatakan pengIslamannya kepada ahli keluarga.
Alangkah baiknya jikalau mereka yang mendesak itu menawarkan kepada mualaf itu sebuah keluarga angkat beragama Islam yang dapat menjadi tempat mualaf itu menumpang kasih tatkala dia dibuang keluarga sendiri.
Bolehkah kesemua itu dilakukan oleh mereka yang suka mendesak?
Hairan saya.
Mengapa ada pihak yang begitu keras dengan mualaf/saudara baru itu sedangkan di luar sana,
....bilangan mereka yang mengaku Islam tetapi terang-terangan menghirup air najis di kelab malam dan pub tidak dihiraukan?
... wanita lahir Islam yang berpakaian ketat dan tidak menutup aurat tidak dipedulikan?
... mereka yang tidak solat Jumaat tidak ditegur?
Kita perlu ingat, kita masyarakat Timur yang telah diasuh untuk menghormati ibu bapa dan institusi keluarga. Kita diajar untuk taat pada ibu bapa. Tidak seperti di Barat yang lebih individualistik[pada pendapat saya, salah satu faktor mengapa Islam berkembang pesat di sana berbanding sini]
Oleh itu, kita perlukan masa dan cara yang sesuai untuk memberitahu keluarga tentang pertukaran agama anutan. Kita akan dituduh tidak menghargai pengorbanan dan kasih sayang keluarga membesarkan kita kerana telah memilih agama Islam, agama yang paling banyak disalahfahami oleh masyarakat nonMuslim. Kalau tersilap langkah dan tersilap kata, mereka bukan sahaja akan membenci kita yang Islam tetapi turut membenci agama Islam.
Sukar dilakukan?
Tentu sekali.
Oleh itu tak perlulah mendesak, lebih baik doakan agar dipermudahkanNya.
Jikalau nak rasa bagaimana susahnya memberitahu, cuba bayangkan anda ingin bernikah dengan pilihan sendiri tetapi ditentang hebat oleh ahli keluarga, termasuk ugutan dibuang keluarga?
Mahukah diteruskan juga?
Friday, September 17
MENGAPA 'JEM'
Lebuhraya sesak.
Kenderaan berderetan sehingga hampir 200 meter jauhnya. Tiga lorong lebuhraya penuh dengan kereta dan bas persiaran.
Dalam keadaan kesesakan yang teruk itu, mash ada pihak yang mahu mengambil kesempatan.
Mereka menyusuri lorong kecemasan di kiri lebuhraya dan memotong kenderaan lain dari arah kiri. Kemudian apabila mereka mahu masuk ke lorong utama, mulalah mereka berebut-rebut dengan kenderaan lain yang berada mematuhi peraturan, untuk masuk ke lorong yang tengah semula.
Kenderaan yang besar membuli kenderaan yang kecil.
Keadaan bertambah teruk apabila tiada penguatkuasaan undang-undang diambil.
Semuanya berpunca daripada sifat tamak dan tergesa-gesa sesetengah pihak yang tidak memikirkan hak pengguna jalan raya yang lain.
Sedangkan jikalau semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan tiada siapa yang 'jump queue' mencelah masuk dan memotong dari kiri, insyaAllah takkan berlakunya kesesakan lalu lintas yang begitu panjang dan lama.
Itulah gelagat pemandu-pemandu yang mementingkan diri sendiri.
Mereka nak cepat sampai.
Mereka sanggup melanggar peraturan jalanraya untuk lebih awal tiba ke destinasi. Awal 5 minit pun jadilah, asalkan keretanya dapat mendahului orang lain.
Tak sedarkah bahawa tindakan mereka itu membahayakan pengguna jalan raya yang lain?
Jangan kerana pemandu sebuah kereta yang hendak lebih cepat sampai ke destinasi, ia akhirnya terlanggar kenderaan lain dan menyusahkan para pengguna jalan raya tersebut.
Monday, September 13
22 TAHUN - DULU dan KINI
Seronok bertandang ke rumah orang pada Hari Raya, walaupun saya sendiri bukan beragama Islam ketika itu. Setiap rumah ada masakan istimewanya. Sempena Hari Raya Aidilfitri, barulah saya kenal apakah itu serunding, lemang, ketupat, biskut suji, dan rendang. Layanan mesra kelas pertama. Selepas makan di sebuah rumah, saya akan disertai kawan-kawan Melayu serta India yang lain [biasanya saya seorang saja 'amoi' yang pergi] untuk menziarahi rumah kawan-kawan lain. Merekalah yang beramai-ramai berbasikal dan berganti-ganti membawa saya. Dari situlah saya belajar adat orang Melayu, bagaimana memberi ucapan hari raya dan bagaimana orang Melayu menghidangkan makanan pada hari raya, yang berlainan dari budaya orang Cina.
Selepas tamat sekolah menengah, kami berpisah. Ramai kawan Melayu yang melanjutkan pelajaran dengan mengambil matrikulasi, sementara saya ke Tingkatan 6, seterusnya baru ke Maktab Perguruan. Semua membawa haluan masing-masing. Pada zaman itu, mana lah ada internet dan handfon. Yang rajin akan berbalas surat dan menelefon ke rumah keluarga kawan untuk bertanya khabar. Yang sibuk, terus senyap sepi tanpa berita tambahan pula sudah menetap di bandar lain.
Alhamdulillah kerana dengan kemajuan internet, kami dapat berhubung semula melalui Facebook. Walaupun ramai yang jauh di luar negara, kami masih dapat mengikuti perkembangan kawan-kawan melalui internet. Kalau tidak, mungkin ada kawan lama yang berjalan di hadapan saya pun saya tak cam. Maklumlah ada yang dulunya comot, kini sudah anggun. Dulu gemuk, kini sudah kurus. Dulu tak bertudung kini sudah bertudung. Saya pula, dulu 'amoi' berambut pendek, kini dah beragama Islam dan menutup aurat.
Hari Raya Aidilfitri tahun ini mencatatkan peristiwa manis kerana saya akhirnya dapat berjumpa kembali dengan beberapa kawan evergreen ini, yang mengenali saya semenjak dari Tingkatan Satu di SMK Fr Barre's Convent [ada yang dari sekolah rendah]. Jemputan last minute oleh tuan rumah berjaya mengumpulkan 6 orang kawan pada Hari Raya ke3 di Sg Petani. Saya turut membawa Ikram bersama kerana nurseri masih ditutup.
Alhamdulillah, semua yang hadir ceria dan sihat walafiat. Oleh kerana sudah 22 tahun tak berjumpa [bagi saya], kami seronok bersembang, sambil mengingat kembali kisah-kisah lama dengan guru dan kawan-kawan lain. Sudah 22 tahun tak dengar orang panggil saya dengan gelaran lama, ternganga juga pada mulanya apabila dipanggil begitu. Para suami yang menemani diminta bersembang di sudut lain, hehehe... anak saya pula sudah bermanja dengan ahli keluarga tuan rumah dan dah lupakan Umminya.
InsyaAllah kami bercadang akan mengadakan perjumpaan yang lebih besar lagi kelak, supaya lebih ramai kawan Melayu dan bukan Melayu yang dapat hadir. Masalah utama adalah memilih tarikh yang sesuai, kerana kawan-kawan Cina akan berkumpul pada Tahun Baru Cina, sementara yang Melayu tak pulang ke Sp. Begitu juga, yang Cina tak pulang pada Hari Raya. Yang India juga perlu dijemput pada hari yang mereka tidak sibuk dengan perayaan keagamaan. Sebahagian pula sudah berhijrah ke luar negara mengikut suami masing-masing.
Walau apapun. saya bersyukur kerana diizinkanNya untuk bertemu kembali dengan beberapa kawan-kawan evergreen ini. Kawan-kawan sekolah yang paling mengenali diri kita kerana merekalah yang bersama kita bertahun-tahun lamanya. Bersembang dengan mereka, mengumpat cikgu-cikgu dengan mereka, bergaduh pun dengan mereka. Gelaran nama yang diberikan pada kita akan dibawa sehingga mati, dan gelaran itulah yang menjadi pembuka bicara serta menjadi identiti apabila mengingat kembali kisah dulu.
Sememangnya persahabatan begini tidak boleh dibandingkan dengan persahabatan dengan orang sepejabat.
Semoga persahabatan yang ada ini diberkatiNya dan berkekalan sehingga ke akhir hayat kami, ameen.
nota: Gambar lama semasa bersekolah dulu tak boleh diupload kerana hanya seorang saja yang menutup aurat ketika itu :)
Thursday, September 9
SELAMAT HARI RAYA ADIDILFITRI
Selamat Hari Raya Aildilfitri 1431 Hijrah kepada rakan-rakan blogger dan semua pembaca blog ini yang beragama Islam.
Saya memohon maaf zahir dan batin. Harap maafkan sekiranya terdapat sebarang kesilapan dalam penulisan dan komen sepanjang perkenalan kita di alam siber.
Semoga bergembira di mana jua anda berada kerana telah sempurna menunaikan Rukun Islam ketiga pada tahun ini. Tahun ini kita berpuasa 30 hari, alhamdulillah. Semoga ibadah kita pada bulan Ramadhan ini diterimaNya, ameen.
Bagi yang nonMuslim, Selamat Bercuti :D
Alhamdulillah, tahun ini Aidilfitri bertambah meriah dengan adanya Ikram yang mudah senyum dan periang. Dia kini aktif dan sedang belajar meniarap. Kalau dibawa shopping, dialah yang paling seronok tetapi Ummi dan Abahnya terpaksa menggunakan stroller kalau mahu selamat. Cepat lenguh tangan kami mendukungnya lama-lama kerana berat badannya yang 3 bulan ini melebihi 6kg.
"Comelnya.. bulatnya!" begitulah komen yang biasa didengari.
Maaf, saya tidak mengadakan rumah terbuka pada tahun ini. Tahun ini akan menziarahi rumah orang pula sambil mengutip duit raya untuk Ikram, hahahaa...
Tuesday, September 7
SESI BERSALAMAN
Syukur, cuaca yang mendung membolehkan program ini berjalan dengan selesa di tapak perhimpunan.
Saya turut berdiri bersama-sama guru-guru lain untuk bersalaman dengan para pelajar. Kami tak asingkan pelajar; semua pelajar tak kira beragama Islam atau tidak, diberi peluang bersalaman dengan guru.
Bagi pelajar Islam, ia merupakan satu aktiviti yang biasa.
Namun begitu, ia sesuatu yang begitu asing untuk pelajar bukan Islam, terutama mereka yang belajar di SJKC/SJKT sebelum ini.
Pelajar Cina dan India dari sekolah aliran itu tidak tahu apa yang hendak dilakukan, juga tidak tahu apa yang perlu diucapkan kepada para guru yang akan menyambut Aidilfitri.
Segalanya begitu asing bagi mereka.
Ada pelajar Tingkatan 6 yang lalu di hadapan guru dengan senyum simpul dan perlu dipanggil semula untuk diberi latihan baru.
Ada pula pelajar Cina dan India yang mengucapkan "Happy Holidays"kepada guru beragama Islam.
"Ucap 'Selamat Hari Raya,' kepada cikgu beragama Islam, cikgu yang kata 'Happy Holidays' kepada kamu," itulah nasihat para guru kepada mereka yang kelihatan keliru.
"Selamat Hari Raya," ucap mereka yang lebih arif.
"Teacher tak salam dengan pelajar lelaki, ya. Kamu dah besar, dalam Islam tak boleh. Pelajar lelaki ucap saja, tak perlu jabat tangan," jelas saya kepada pelajar lelaki India yang sudah menghulurkan tangan untuk ucap selamat.
Mereka mengangguk tanda faham.
Hmmm.. macam-macam pula yang perlu dibimbing dalam sesi pendek itu.
Para pelajar beragama Islam pula pelbagai ragam.
Ada yang memeluk guru yang disayangi sambil memohon maaf, ada pula yang buat muka tembok saja sambil lalu di hadapan guru.
"Ucap Selamat Hari Raya sahaja? Tak minta maaf zahir dan batin?" usik si cikgu yang prihatin.
Bukan cikgu paksa mereka yang nakal memohon maaf untuk kesilapan dahulu pun tetapi bukankah ia merupakan satu latihan yang baik kepada mereka?
Belajar di sekolah sepatutnya bukan sahaja untuk lulus peperiksaan tetapi yang lebih penting, belajar untuk menjadi seorang insan yang baik.
Lagipun para remaja sekarang begitu berat mulut untuk mengucapkan maaf. Malah 'Assalamualaikum' pun sengaja dipendekkan jadi "A'kum".
Kalau bukan sesi bersalaman dan maaf bermaafan sempena Aidilfitri ini, bilakah lagi mereka yang banyak berdosa pada cikgu berpeluang memohon maaf?
Sesi bersalaman sesama warga sekolah sempena perayaan Aidilfitri merupakan satu cara mengeratkan siratulrahim. Ia juga memberi peluang kepada yang bukan Islam untuk mengenali budaya Melayu dan memahami mengapa orang Islam saling memohon maaf pada Aidilfitri.
Alhamdulillah, sekolah saya mengadakannya.
Bagaimana pula dengan sekolah lain?
Sunday, September 5
SURAU, PENGETUA & IKLAN - APA NAK JADI?
Isu surau yang dikatakan tercemar kerana masuknya seorang wanita nonMuslim yang tidak menutup kepalanya, ke ruang solat surau mencetuskan kontroversi. Ia dijadikan isu politik. Cuma bagi saya yang jahil ini, mengapakah wanita bukan Islam yang berpakaian sopan [baju kebaya, pakaian tradisi Melayu] harus dijadikan mangsa sedangkan pihak yang bertanggungjawab di surau adalah ajk surau berkenaan?
Isu 2 orang pengetua sekolah yang dilabel sebagai racist kerana memarahi pelajar nonMuslim semasa perhimpunan pagi turut menarik perhatian masyarakat. Ini sangat sensitif kerana melibatkan pelajar di sekolah. Pada pendapat saya, tindakan kedua-dua pengetua berkenaan memang tidak patut dilakukan, maka berserahlah kepada pihak kementerian dan SPA untuk menyelesaikannya.
Cuma harapan saya, tiada lagi kenyataan sebegitu disebut oleh mana-mana pengetua mahupun mereka yang bergelar guru.
Bagaimanakah pelajar bukan Islam dapat menghormati orang Islam dan bulan Ramadhan sekiranya mereka didiskriminasikan dan hak mereka sebagai nonMuslim dinafikan di institusi pengajian sepanjang bulan ini?
Terkini pula, timbulnya kontroversi tentang iklan hari raya TV3 yang dikatakan berunsur syirik. Saya yang memang jarang menonton televisyen [baru tonton drama 'Ar-Rayyan malam tadi setelah 2 bulan tak duduk depan tv, hahaha] hanya sedar akan hal ini apabila meninjau facebook dan blog kawan-kawan lain. Hmmm... apa nak dikatakan?
Sah iklan tersebut bukanlah iklan biasa yang menimbulkan keinsafan kerana dosa atau kerinduan pada keluarga di aidilfitri. Iklan itu mungkin berkonsepkan 1Malaysia tetapi ternyata terpesong kerana tidak mengambilkira sensitiviti serta pegangan aqidah umat Islam.
Mana mungkin beca terbang dan bunga teratai di alam khayalan menjadi konsep Aidilfitri? Kalau dikaji betul-betul, nampaknya produser iklan itu bersungguh-sungguh mewujudkan konsep 1Malaysia, iaitu dengan menggabungjalinkan lambang-lambang dari budaya lain ke dalam iklan ini. Ya lah, kini banyak pihak nmpaknya tergila-gila mewujudkan konsep 1Malaysia sedangkan apa sebenarnya konsep 1Malaysia itu tidak difahami!
Tak fahamkah mereka bahawa konsep 1Malaysia itu tidak boleh dicampuradukkan dengan perayaan agama Islam seperti Aidilfitri dan Aidil-adha?
Iklan itu ada:
beca terbang = kereta santa claus [kristian]
pakcik penarik beca = santa claus [kristian]
bunga teratai = unsur agama Buddha
lampu pelita = unsur agama Hindu
mengacau kuih dodol = unsur budaya Melayu
Tiada langsung nilai-nilai yang boleh dijadikan teladan untuk dihayati oleh umat Islam, seperti kebaikan berpuasa, mendekatkan silatulrahim dan bersedekah.
Aduh, sedihnya kerana tatkala Ramadhan tinggal lagi 5 hari, masih ada pihak yang nampaknya begitu jahil tentang apa sebenarnya yang menjadikan Aidilfitri itu suatu perayaan yang begitu istimewa kepada umat Islam yang berpuasa.
Siapalah agaknya yang membuat iklan ini ? Kalau orang Islam, betapa sedihnya!
Siapalah yang meluluskan iklan ini untuk siaran di TV3? Tak malukah semua staf TV3 yang beragama Islam kerana anda akan dikaitkan dengan iklan ini yang boleh menyesatkan orang Islam dan memberi imej yang salah kepada nonMuslim tentang Hari Raya Aidilfitri?
Ishhh... ishhhh... ishhh..
nota: dengar kata Tv3 dah tarik balik dari facebook, dalam TV tak tahu la, sebab saya memang jarang tonton TV. Tapi kalau dah ditarik balik pun, TV3 patut memohon maaf kepada umat Islam kerana kesilapan menayangkannya sebelum ini. Kalau nasi dah jadi bubur, bubur tetap perlu diuruskan supaya tak basi dan berkulat.
Friday, September 3
KAMI HORMAT
Saya cuba menarik perhatian para pelajar Tingkatan 1. Semua masih aktif dan asyik berbincang. Bising tahap sederhana.
Tinggal lagi 5 minit pengajaran dan pembelajaran. Nak masuk sesi penutup.
"Look at the board!" Saya naikkan suara sedikit.
Ramai yang memberi perhatian tetapi masih ada yang leka dengan perbincangan kumpulan masing-masing yang sepatutnya sudah tamat.
Ishhh... letih juga mengajar pada bulan Ramadhan.
Tiba-tiba seluruh kelas itu senyap. Tak ada bunyi. Pelajar-pelajar yang berdiri segera kembali ke tempat duduk masing-masing. Tak ada lagi gurau senda, gelak ketawa.
Saya kehairanan.
Eh, pengetua atau guru disiplin sedang berdiri di luar kelas kah?
Jeling-jeling ke arah pintu, jenguk-jenguk ke kaki lima.
Tiada orang.
Mengapa senyap?
Lega dengan keadaan kelas yang senyap sunyi itu, saya yang mengejar masa, teruskan pengajaran dengan memberi penerangan terakhir sebelum tamat waktu pengajaran.
"Teacher... teacher.." tiba-tiba ketua tingkatan itu berbisik kepada saya sambil memberi isyarat.
"Why?" saya bertanya.
"Azan..." dia berkata dengan nada bimbang.
"Oooohhh."
Sayup-sayup kedengaran azan berkumandang, menandakan masuknya waktu fardu zohor.
Rupa-rupanya di sekolah saya yang baru ini, semua pelajar, dari Tingkatan Satu sehingga Tingkatan 6, akan diam ketika mendengar azan. Tak kiralah pelajar beragama Islam mahupun bukan Islam. Semua akan senyap secara automatik, tanpa disuruh.
"Mengapa ketika azan, kamu diam dan duduk?" saya menyoal para pelajar nonMuslim.
"Kami diajar untuk hormat pada azan, teacher."
"Siapa ajar buat begitu?"
"Cikgu."
"Cikgu di sekolah ini? Siapa? "
"Tak, kami dah diajar buat begitu di sekolah rendah," jelasnya yang belajar di sekolah kebangsaan sehingga Tahun 6.
Alhamdulillah, amalan itu dibawa sehingga ke sekolah menengah.
Saya sebagai guru pula yang agak pening apabila mengajar kelas jam 1.10-1.50ptg, yang kebetulan masuk waktu zohor. Terpaksa berhenti mengajar seketika sehingga tamatnya azan.
Kadang-kadang kerana tempoh yang agak lama itu, terlupa apa yang hendak disampaikan.
Saya pernah cuba teruskan pengajaran semasa azan berkumandang [memberi penerangan dan arahan] kerana kesuntukan masa tetapi pelajar nampaknya kurang selesa melihat saya bercakap ketika azan, maka terpaksa pula saya hentikan amalan itu.
Kalau menurut iman Bukhari, dibolehkan bercakap ketika azan berkumandang kerana sahabat-sahabat Nabi sendiri berbuat demikian.
Adalah mereka di zaman Umar bin al-Khattab, menunaikan solat (sunat) pada hari Jumaat, sehinggalah Umar masuk ke dalam masjid, apabila Umar masuk (ke dalam masjid, dan beliau duduk di atas mimbar, lalu tukang azan melaungkan azan. Kata Thalabah : Kami pun duduk (berhenti dari menunaikan solat sunat) dan kami berbicara (bersembang). Apabila azan selesai, lalu Umar berdiri untuk menyampaikan khutbah, kami pun diam dan tidak ada seorang pun daripada kami yang berbicara. [Muwata Malik dengan Syarah al-Zarqani. Jld 1, m.s. 307]
Lagipun setahu saya, kita perlu menjawab azan, bukannya sekadar mendiamkan diri.
Apabila kamu mendengar azan, maka jawablah sebagaimana yang diperkatakan oleh muazzin [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Saya tidak pasti sama ada pelajar Muslim disuruh diam kerana percaya akan satu hadis dhaif yang berbunyi:
“Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allah akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya..”
kerana belum ada pelajar yang berkata begitu [pelajar tidak akan menegur guru yang dilihat sebagai 'membuat kesalahan' tetapi berbisik sesama sendiri]
Harap-harap, tak adalah ustaz/ustazah yang mengajar mereka mempercayai hadis itu!
Kini, kalau mahu para pelajar yang terlalu aktif dan rajin bercakap [pelik la kalau subjek bahasa, pelajar diam membisu] itu diam seketika, terpaksalah saya tunggu masuknya waktu zohor, hahaha..
nota: Kalau pelajar nonMuslim pun boleh hormat azan dengan mendiamkan diri, apalah kita Muslim yang terlalu leka dengan hiburan hedonisme dan lain-lain maksiat sehingga lupa menghormati azan, apatah lagi menjawabnya. Malunya!