Saturday, March 15

SEGALA PUJIAN BAGI ALLAH

"Ya Allah, bantulah aku... bimbinglah aku kerana aku hanyalah hambaMu yang lemah. Bantulah aku agar dapat mengekalkan prestasi akademikku untuk semester ini agar nama Islam tidak dipandang hina..."

Saya benar-benar takut menghadapi peperiksaan selepas memeluk Islam. Sebelum itu, saya merupakan antara pelajar yang agak menonjol dalam kalangan rakan sekursus. Pensyarah mana yang tidak kenal dengan 'Nyonya' berbaju kurung yang lantang memberikan pendapat semasa kuliah?

Selepas memeluk Islam, saya mula mendapat perhatian berlainan daripada orang di sekeliling. Kalau dulu saya hanya seorang pelajar biasa, kini saya juga merupakan saudara baru Islam, dengan nama yang mudah diingati dan disebut. Sudah ada desas-desus bahawa selepas memeluk Islam, prestasi saya sebagai pelajar mungkin akan merosot, kerana saya perlu meluangkan masa belajar fardu ain dan iqra' di samping subjek akademik. Selama ini, jarang terdapat pelajar Islam di universiti ini yang mendapat keputusan cemerlang dalam bidang yang saya ceburi. Mampukah saya mengekalkan prestasi saya dalam peperiksaan?

Saya memeluk Islam dalam tahun kedua pengajian, Julai 2006. Peperiksaan semester yang pertama pada tahun tersebut, saya amat cemas. Saya yakin saya sudah bersedia tetapi jantung tetap berdegup kencang. Kalau dahulu saya hanya mengambil peperiksaan untuk lulus dengan cemerlang, kini saya mendapat tekanan tambahan. Saya perlu membuktikan bahawa walaupun saya Muslim, saya masih mampu mengekalkan prestasi cemerlang saya dalam akademik. Malah niat saya kalau diizinkan Allah swt, saya ingin menjadi pelajar Islam yang terbaik dalam pengajian saya, mengalahkan mereka yang bukan seagama dengan saya. Saya mahu membuktikan bahawa Islam tidak menghalang saya untuk maju dalam pelajaran. Malah Allah swt Yang Maha Berkuasa membantu saya dalam segala hal.

Kerana mahu bersaing hebat dengan rakan-rakan non-Muslim yang lain, saya berusaha bersungguh-sungguh. Strategi saya mudah; buat yang terbaik dan termampu, lakukan segala tugasan dengan ikhlas dan jujur tanpa meniru mahupun mengupah orang lain untuk melakukannya bagi pihak saya, serta banyak bertawakkal kepadaNya. Bagi saya kejujuran amat penting. Saya tidak mahu menipu semata-mata untuk mendapat A. Tambahan pula, malulah saya untuk berhadapan dengan bekas pelajar saya jika saya menipu dalam tugasan dan peperiksaan, kerana saya juga sepatutnya menjadi model kepada mereka. Sudah banyak kisah yang saya dengar tentang orang lain yang menipu untuk lulus dengan cemerlang, atau yang hanya menumpang rakan lain tanpa menyumbangkan apa-apa. Saya tidak mahu menjadi seperti mereka. Integriti harus dijaga. Saya lebih suka berkongsi ilmu dengan mereka yang meminta bantuan saya. Di samping itu, saya juga tidak percaya dengan amalan sesetengah pihak yang memakan kismis khas untuk menjadi pandai. Biarlah saya susah asalkan segala yang saya buat itu halal di sisi Allah swt. Dia juga yang Maha Melihat dan Maha Mendengar.

Syukur Alhamdulilah. Selama lima semester berturut-turut, saya berjaya mengekalkan prestasi saya dengan CGP melebihi 3.5. Bukannya mudah, namun berkat kekuatan dan ketabahan yang diberikanNya, saya berjaya. Saya turut bersyukur kerana mempunyai rakan-rakan lain yang turut membantu. Walaupun demikian, saya tidak pernah menyangka sama sekali bahawa doa saya yang awal memberi kesan hingga ke hari ini.

Rakan-rakan non-Muslim mulai berubah pendirian mereka.
"Congratulations, wahhh... how did you do it?" (Tahniah, bagaimana awak melakukannya?)
"Great eh, you managed to maintain." ( Hebat, awak berjaya mengekalkan prestasi).
"Aliya, dapat berapa A kali ni? Dean list lagi?"
"Tahniah."
"Alhamdulillah," saya akan berkata kepada rakan Muslim.
" It's God's will," Saya akan berkata kepada rakan nonMuslim.
Saya tahu ramai rakan berpendapat bahawa saya masih berotak Cina, sebab itu saya dapat keputusan peperiksaan yang cemerlang. Kalau benar begitu, mengapakah bukan semua rakan Cina yang berotak Cina yang mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang juga?
Malang sekali apabila manusia mudah lupa kepadaNya.

Pengajian saya kini di peringkat akhir. Banyak lagi kerja yang belum siap. Banyak buku yang perlu dibaca. Selepas menikah dan tinggal di luar kampus universiti, saya terpaksa mengurus masa dengan lebih bijak. Waktu 24 jam sehari saya jadikan 25 jam, dengan meminjam sejam daripada hari esok. Setakat ini, belum rebah lagi, huhuhu.

Peperiksaan akhir akan berlangsung pada bulan hadapan. Aduh...cepatnya masa berlalu. Sama ada saya masih dapat mengekalkan prestasi semester ini melepasi tahap 3.5, hanya Allah swt yang dapat menentukannya. Apa-apa pun, saya tetap berusaha dan bersyukur. Allah swt telah memberkati saya dan memberikan banyak rezeki kepada saya selepas saya memeluk Islam. Saya telah dapat membuktikan bahawa memeluk Islam bukan penghalang seseorang untuk maju dalam pelajaran, malah dengan izinNya pelajar itu akan bertambah maju lagi.
Syukur alhamdulillah...

3 comments:

  1. Assalammualaikum
    Cerita kak ttg pengajian tu ada sedikit persamaan dgn sy. Teruskan berusaha, semoga berjaya.Haii.. rindunya nk sambung belajar semula.

    ReplyDelete
  2. salam...
    kak seronok baca semua cerita...
    btw sy pun amal kan mkn kismis dan kurma..
    utk bg minda cerdas dan hilangkan stress dan mnguatkan daya ingatan :)

    ReplyDelete
  3. Waalaikumussalam Humyrah & izmin's collection,
    Saya pun ingin sambung semula belajar, tapi nak buat fulltime. Tak larat rasanya nak buat part-time di samping membesarkan anak,menguruskan rumahtangga dan mengajar hingga 3 petang setiap hari.

    izmin's collection,
    kismis dan kurma kegemaran saya juga, makan kerana khasiatnya, bukan kerana kepercayaan boleh lulus peperiksaan :P

    ReplyDelete