Tuesday, March 4

BUKAN KERANA WANG ZAKAT

"Bas belum mari kah?" makcik India itu bertanya kepada saya.
Kami sekumpulan mualaf sedang menunggu di hadapan pejabat agama Islam.
Semua merupakan jemputan ke majlis berbuka puasa anjuran pejabat agama negeri , dan kami juga diberitahu akan menerima zakat khas untuk saudara kita (baru).

"Belum auntie, jemputlah duduk," saya menghulurkan sebuah kerusi plastik kepada makcik 40-an itu. Dari pemakaiannya jelas kelihatan bahawa dia orang miskin.
"Terima kasih," dia tersenyum kepada saya.
"Anak terima surat dia orang kah?" dia bertanya lagi.
" Ada, ini surat yang saya bawa," saya pun tunjukkan surat yang diterima.
" Saya banyak susahlah, anak. Saya tak terima apa-apa surat langsung,"kata makcik India itu. "Nasib baik saya datang ke sini semalam, terus dia orang bagi tau hari ini ada majlis."
"Oh," saya mengangguk faham. " Auntie tinggal di mana?"
"Dekat sini saja," dia menoleh ke arah bangunan berdekatan. " Rumah itu pun orang agama bagi sebab lepas saya masuk Islam, saudara mara saya marah saya. Rumah saya itu tak ada alamat, jadi surat tak sampai."
" Auntie tinggal seorang di rumah sekarang kah?"
"Tak, dengan anak-anak," makcik India terus bercerita. "Saya ada ramai anak, semua sudah besar. Saya cakap sama dia orang, kalau mau tinggal dengan saya, kena jadi orang Islam. Kalau tidak, saya tak kasi tinggal."
"Jadi berapa orang anak yang ikut Auntie masuk Islam?"
"Ada anak ikut saya jadi orang Islam, jadi saya kasi tinggal dengan saya. Saudara mara saya banyak jahat, dia tau kita orang susah tetapi selalu kacau saya minta duit. Ini saya datang ke sini pun saya tak kasi tau dia orang, nanti dia kacau lagi."

Jam sudah menunjukkan pukul 12.40 tengah hari. Kami berkumpul di bawah pokok di hadapan pejabat agama Islam pada hari Ahad bulan Ramadhan. Semuanya berpuasa. Semua wanita menutup aurat. Kami terdiri daripada pelbagai bangsa, umur dan latarbelakang; ada India, ada Cina, ada Iban malah orang Vietnam pun ada. Syukur alhamdulillah cuaca baik, jadi kami tidak risau dibasahi hujan. Pintu pejabat agama dikunci rapat. Hairan, walaupun surat meminta kami berada di pejabat tersebut pada pukul 12.30 tengah hari, masih belum kelihatan kelibat sesiapa pun yang mewakili pejabat agama yang menyambut kedatangan kami. Kerusi plastik yang dihulurkan oleh seorang pengawal yang baik hati sudah usang dan tidak cukup untuk semua yang hadir. Beberapa orang lelaki Cina Muslim berbual-bual sambil berdiri.

Saya bertambah resah. Saya amati muka-muka setiap seorang yang hadir. Semua merupakan orang asing, tidak saya kenali. Ramai merupakan mualaf keturunan Cina; mereka berbual dalam bahasa Mandarin. Semuanya kira-kira 20 orang.

Azan sudah menandakan masuk waktu zohor kedengaran. Kami masih menunggu dengan sabar. Tiada seorang pun yang meninggalkan kawasan itu. Tiba-tiba kelihatan sebuah bas sekolah berhenti berdekatan dengan tempat menunggu kami.
"Itukah bas kita?" tanya salah seorang daripada kakak yang menunggu.
"Mungkin," saya menjawab. Seorang lelaki dalam kalangan kami berjalan ke arah bas itu untuk mendapat kepastian.
" Siapakah yang sepatutnya menguruskan kita untuk dihantar ke pusat itu?" saya bertanya kepada saudara-saudara baru yang berada di situ.
"Mungkin *Ustaz Man," teka *Kak Ina.
"Ah, saya ada nombor telefon Ustaz Man," saya mengamati nombor-nombor yang disimpan dalam telefon bimbit saya. Peristiwa berbalah melalui telefon dengan Ustaz Man selama 3 hari kerana dia lewat 3 minggu menghantar dokumen Kad Masuk Islam saya masih bermain-main dalam kepala. Hahaha, sudah tentu dia akan panik apabila menerima panggilan saya lagi.

"Ustaz, saya Aliya. Kami masih menunggu di hadapan pejabat. Bas dah sampai tetapi kami tak boleh naik sebab tak tahu hendak ke mana. Siapa yang sepatutnya menguruskan kami ini? Kenapa tak ada wakil dari pejabat agama?" Saya terus mendesak sebaik sahaja Ustaz Man menjawab.
Memang sah. Ustaz Man yang bertanggungjawab menguruskan kami. Apabila saya menelefonnya, dia masih dalam perjalanan ke tempat kami.
" Tiga minit saya sampai," dia memberitahu.
"Ustaz kata 3 minit dia akan sampai. Jom kita kira dari sekarang," saya memberitahu mereka yang menunggu dan disambut dengan gelak ketawa mereka. Suasana kembali ceria.

Kami sampai ke destinasi lewat. Terus saya bergegas mencari tempat untuk bersolat. Kakak-kakak dan adik-adik yang lain turut mengambil wuduk bersama-sama. Kami tidak menghiraukan pengelola majlis yang meminta kami duduk di dewan untuk memulakan majlis mereka. Biarlah mereka yang menunggu kami pula. Kewajipan kepada Yang Esa lebih diutamakan.

Setelah lama menanti di dalam dewan, ustaz jemputan tidak hadir untuk memberi ceramah kepada kami. Oleh itu, kami terpaksa duduk mendengar celoteh spontan Ustaz Man yang kurang berisi, kerana beliau tidak bersedia. Saya mendapati dua kumpulan besar membentuk saudara baru. Satu kumpulan terdiri daripada orang India yang kebiasaannya memeluk Islam beamai-ramai dalam satu keluarga. Satu kumpulan lagi merupakan orang Cina yang memeluk Islam secara berseorangan. Kumpulan kedua inilah yang berisiko tinggi kerana amat memerlukan bimbingan dan sokongan kerana kebanyakan mereka sudah tersisih daripada keluarga sendiri.

"You tau kah, inilah kali pertama saya terima wang zakat setelah sekian lama memeluk Islam?" seorang brother memberitahu saya dalam bas.
"Sudah berapa tahun brother peluk Islam?"
"Sudah 3 tahun,"dia menjawab.
"Oh, kira saya bernasib baiklah, saya belum masuk setahun," saya bersyukur.
Rupa-rupanya wang zakat untuk membantu mualaf tidak diberi setiap tahun di negeri ini. Semuanya bergantung kepada budi bicara pejabat agama.
"Awak tengok anak saya ini, sudah masuk Tahun Satu di sekolah," *Kak Ina yang berasal dari Indonesia memberitahu saya. " Inilah pertama kali kakak terima wang saguhati zakat."

Entah, sedih juga saya. Pelbagai rintangan sudah kami lalui demi Islam. Mengapa perlu dilayan begini pula? Wang saguhati zakat bukanlah kami kepingin sangat hendak terima. Kami bersetuju untuk hadir memeriahkan majlis berbuka puasa dengan tujuan mengenali saudara-saudara baru yang senasib dengan kami dan berkongsi pengalaman. Namun layanan yang kurang prihatin daripada mereka yang mewakili satu organisasi yang berlabel Islam agak mengecewakan. Malah ramadhan yang lalu saya langsung tidak terima sepucuk surat jemputan atau aktiviti pun daripada pejabat agama.
Pengalaman demi pengalaman dengan pejabat agama Islam tidak mengurangkan rasa kecewa saya dengan mereka yang diamanahkan dengan tanggungjawab membimbing dan memimpin. Mengapa boleh jadi begini?
* pseudonym

4 comments:

  1. Salam 'alaik...

    Sedih, Kecewa & Terkilan apabila membaca posting ini..

    Sesuatu perlu dilakukan oleh pihak JAIPP...

    Hope Kak Aliya membawa hal ini ke pengetahuan pihak JAIPP.. moga dgn usaha ini dapat mengejutkn pihak yg sedang terlena.. Selebihnya kita serahkn pada Allah...

    Wallahua'lam..

    ReplyDelete
  2. salam kak aliya...
    sedih sangat saya baca post ni. tapi ini la hakikat realiti umat islam hari ini. mungkin sebab islam ini sudah menjadi agama warisan jadi tidak ramai yang ingin mengaji dan mengkaji sedalam-dalamnya...sedangkan Rasulullah saw diutuskan untuk membetulkan akhlak.

    ReplyDelete
  3. Waalaikumussalam,
    Saya fobia dengan JAIPP atau MAIPP setelah melalui pelbagai masalah dengan cara pengurusan mereka. Pendedahan seperti yang saya tulis bukan untuk mengaibkan mereka tetapi untuk menceritakan keadaan sebenar yang membelenggu pihak yang menguruskan hal-ehwal agama Islam di negara kita. Semoga mereka yang bertanggungjaab dapat mengubah keadaan kelak, wallahu'alam.
    syudnuc, sebenarnya saya kesihan dengan mereka yang lahir Islam tetapi tidak mengamalkan hidup mengikut ajarn Islam. Alangkah ruginya dunia & akhirat.

    ReplyDelete
  4. aiyaaa... itu org aji smo x de urusan. Baca lain buat lain. Amacam kita mau percaya sama dorg punya ceramah ? -Tok Aji Masuk Neraka-

    ReplyDelete