Monday, July 25

KAIN TELEKONG DI WAD 9

"Kak, boleh saya pinjam telekung akak? Saya lupa nak bawa," Azura meminta kebenaran.
Saya angguk sambil senyum, "Boleh, ambil saja."
Azura merupakan salah seorang ibu mengandung yang berkongsi bilik berhawa dingin berkatil 3 dengan saya di Wad 9, wad yang dikhaskan untuk ibu mengandung. Kesemuanya seramai 6 orang (5 Melayu, 1 India - Azura, Faiezah, Aishah, Kumareswari, Hayati, Suhaila ) ibu mengandung lain yang masuk silih berganti di dalam bilik kecil nombor 1 itu dalam 5 hari saya sabar menunggu masa untuk menjalani pembedahan cesarean untuk melahirkan Ihsan.
Saya seorang sahaja yang membawa kain sembahyang.
Maklumlah saya yang bakal dibedah c-section tidak turun apa-apa tanda bakal melahirkan, maka masih wajib bagi saya untuk mendirikan solat 5 waktu sehari semalam.

Saya tak pasti mengapa yang lain tidak membawa telekung.Mungkin mereka yang lain tergesa-gesa ke hospital sehingga tertinggal kain telekong sembahyang di rumah. Mungkin juga mereka sudah mendapat tanda mahu bersalin seperti darah, lalu tidak memasukkan kain telekung ke dalam beg. Mungkin juga suami mereka tidak tahu di mana telekung isteri disimpan di rumah lalu gagal membawanya ke hospital [ dalam soal ini, suami saya lulus 100% - alhamdulillah...]
Apa-apa pun alasan mereka, pengalaman awal saya di wad itu sudah memberi gambaran bahawa bukan semua penghuni wad 9 yang beragama Islam akan mendirikan solat semasa mereka menunggu kelahiran anak masing-masing.
Sebab itu juga, saya bersyukur apabila permohonan saya untuk tinggal di dalam bilik berhawa dingin itu diizinkan doktor pakar [ biasanya pesakit darah tinggi tidak dibenarkan tinggal di bilik kelas 1 berhawa dingin kerana dianggap berisiko tinggi dan perlu diawsi di kubikel pemerhatian yang sesak dan hangat].
Dapatlah saya mendirikan solat dengan lebih tenang dan selesa. Aurat juga lebih terjaga berbanding ketika berada di wad biasa.

"Kak, pinjam telekung ya?"
"Ambil la, lepas tu letak saja di atas meja tu," saya memberi cadangan.
Alhamdulillah, pada satu ketika sepasang kain sembahyang dikongsi oleh 3 ibu mengandung yang menunggu saat kelahiran anak masing-masing. Saya bersyukur. Saya tidak perlu bercakap apa-apa pun, sekadar mendirikan solat di atas katil bila tiba waktunya.
Betul kata suami kadang kala tindakan kita sendiri tanpa berkata-kata juag satu bentuk dakwah yang halus.
Saya bersyukur kerana dengan hanya sehelai telekung dan kain sembahyang, saya dapat membantu mereka mendirikan solat [insyaAllah turut memberikan kekuatan dan ketenangan kepada mereka yang bakal melahirkan anak]
Memang terdapat mereka yang tidak meminjam. Tidak sembahyang. Ada yang sekadar diam saja walaupun belum turun apa-apa tanda mahu melahirkan. Saya pun diam saja. Tidak boleh berdakwah secara keras mahupun memaksa pada waktu genting seperti itu. Mereka yang perlu membuat pilihan sendiri.

Alhamdulillah, pengumuman masuknya waktu solat jelas kedengaran di wad 9. Tak perlu kami bertanya kepada jururawat yang bertugas.Mereka mesra dan profesional tetapi sibuk.Bila ditanya di manakah arah kiblat, mereka akan memberitahu.Namun nasihat untuk mendirikan solat bukan kerja mereka.
Mereka juga tidak ada kain telekong untuk dihulurkan kepada pesakit yang memerlukan.
Pesakit sendiri yang perlu membawa kain telekung dari rumah jikalau mahu mendirikan solat di dalam wad.
Surau dengan kain telekung memang ada di hospital tetapi kami ibu mengandung tidak dibenarkan keluar dari wad itu kerana dikhuatiri berlaku sebarang kecelakaan.Mahu tak mahu, kami hanya boleh solat di atas katil atau di atas kerusi plastik di tepi katil.

Namun, bukankah baik jika pihak hospital dapat menyediakan kemudahan kain telekung untuk ibu-ibu beragama Islam yang mengandung di wad 9. InsyaAllah mereka akan lebih tenang dan bersemangat ketika mahu melahirkan anak.
Mungkin ada pihak tertentu yang ingin membuat kebajikan dengan menyumbangkan beberapa helai kain telekong untuk kegunaan bakal ibu Muslimah di hospital kerajaan?
[ InsyaAllah akan turut menyumbang nanti]

** pos ini juga peringatan buat diri sendri - bawa kain sembahyang ke mana-mana dan bila-bila saja.

14 comments:

  1. Setiap dari kita ialah pendakwah. Wp ilmu kita masih cetek namun itulah hakikat. Lakukan sesuatu mengikut kemampuan.
    Paksi(ngo saya) pernah menyantuni pesakit hospital parit buntar. Kebanyakan pesakit amat gembira dengan kedatangan mereka yg menziarahi. Pelbagai soalan berkaitan asas agama hendak ditanya.
    Ramadhan tahun ini kami akan cuba melakukannya lebih baik lagi.
    Tahun lepas sekadar kurma. Tahun ni mungkin boleh ditambah telekung(kain sarung bagi lelaki?)pula...
    MRC mungkin bercadang mengadaka program ziarah pesakit di hospital pula? Biarpun sekadar bertanya khabar...

    ReplyDelete
  2. ada sesetengah orang tu berkira kalau orang lain nak pinjam barang dia~~haih~~

    *cikgu dengan anak sihat?he~~

    ReplyDelete
  3. Kadang2 terfikir nak bawa sejadah ...

    ReplyDelete
  4. pengalaman wife saya ketika di wad 9.. ketika nurse nampak wife nk keluar dr wad 9.. mereka bertanya nak ke mana, bila dijawab surau, tidak dibenarkan kerana pesakit perlu sentiasa berada di dalam wad..

    pada pertama kali warded, isteri saya hanya solat di dlm wad kelas 3 (tidak diberi wad kelas 1 dgn alasan perlu diberi perhatian wlwpun layak kelas 1). Namun, kali kedua warded, kami berkeras utk ke kelas 1, pelbagai alasan diberi namun pihak nurse berkeras utk tidak melepaskan.. akhir usaha, alasan utk bersolat tidak dpt mereka ketepikan.. Alhamdulillah, mudah utk isteri saya bersolat di kelas 1 (selain ruang tidak terbuka & dekat dgn tandas)

    namun isteri saya hanya memakai uniform hospital, stokin & menutup bahagian lengan.. alhamdulillah dpt solat tanpa perlu mengenakan telekung asalkan cukup syarat menutup aurat.. :)

    ReplyDelete
  5. Saya teringat kawan saya yang baru sebulan memasuki dunia islam, ketika maknya sakit tenat dihospital swasta, seorang perempuan tua tinggal di katil sebelah, kaki dan tangannya diikat dikatil. Setiap anak perempuannya datang selalu terjadi pergaduhan. Ketika kawan saya bertanya, perempuan tua itu bercerita: "Saya seorang ibu tunggal dengan 4 orang anak, yang laki2 engineer dan dokter di hospital ini, yang perempuan sekretaris dan yang kecil masih belajar di Australia. Saya hantar mereka belajar ke luar negara agar mereka punya masa depan yang bagus, tapi mungkin ini kesalahan besar saya, mereka tak pernah hormat dengan saya, bila mereka datang, mereka hanya duduk angkat kaki dan saya seperti pembantu yang melayan mereka. Saya menabung sedikit2 dari dulu agar saya dapat pergi naik haji, tahun lepas saya suruh anak saya mendaftarkan ke tabung haji, ternyata mereka tak pernah mendaftarkan tetapi menggunakan uang saya untuk beli kereta. Jawab anak perempuan saya, "abang dalam keadaan susah, dia perlu kereta untuk mencari nafkah, mak kan boleh pergi lain tahun", saya sangat2 sedih. Sekarang mereka datang menyuruh saya menandatangi surat yang saya serahkan rumah saya pada mereka, dan menyuruh saya tinggal ber-ganti2 diantara rumah mereka. Saya tak mau mereka mendapatkan harta saya, anak saya kecil masih sekolah lagi. Jadi mereka mengikat saya agar saya tidak lari, sampai saya tanda tangan. Saya tak dapat sholat."
    Kawan saya meminta kepada jururawat2 agar mengizinkan perempuan tua itu sholat, dia pun pergi membelikan sejadah dan telekung (walau sebenarnya solat di katil tidak memerlukan sajadah, tapi dia belum lagi tahu hal itu)dan memastikan dia ada disitu masa adzan agar perempuan itu dapat sholat 5 waktu. Benar, terjadi hanya 5 waktu, sebelum adzan asar keesokan harinya anak perempuannya datang, pergaduhan besar terjadi, dan tiba2 sunyi, dokter and jururawat keluar masuk. Perempuan tua itu meninggal dunia.

    ReplyDelete
  6. joe,
    Setuju, kia semua pendakwah, lakukan setakat yang mampu walaupun sampaikan sebaris ayat :)idea kain telekung & sarung itu baik.
    Saya gabungkan ahli MRC dengan kumpulan lain dalam FB, alhamdulillah semakin ramai ahli dan banyak yang dapat dikongsikan

    ReplyDelete
  7. bujal X,
    kita mulakan dengan diri kita sendiri, berubah sebelum rebah :)
    Alhamdulillah kami sihat

    ReplyDelete
  8. Ikhwan, di hospital sejadah bukanlah benda penting ketika solat, hanya perlu menutup aurat. Privasi sesuatu yang susah didapati lebih-lebih lagi jika ditempatkan di wad biasa - susah nak solat asar kerana waktu melawat 4.30-7.30pm.

    ReplyDelete
  9. MyzwR,
    Jururawat di Wad 9 akan dimarahi doktor pakar yang bertugas dan perlu menulis laporan jika berlaku kecelakaan pada pesakit yang merayau di unit lain. Sebab itulah mereka melarang keras,dan pertukaran pesakit ke dalam bilik juga perlu kelulusan doktor.
    Betul tidak perlu telekung jika sudah cukup syarat menutup aurat :)

    ReplyDelete
  10. Books.For.You,
    Gerun bila difikirkan apa yang dihadapi oleh anak-anak itu jika si ibu tidak memaafkan dosa mereka itu

    ReplyDelete
  11. Salam Kak Aliya.

    Teringat masa aja ziarah seorang kawan di wad biasa. Masa itu dah masuk asar dan pesakit yang ada di katil di hadapan terus minta kebenaran pesakit Cina di sebelah katilnya untuk solat. Jadi pesakit Cina tu bangun dari katilnya dan pesakit tadi pun mulakan solat asarnya. Pesakit Cina tu kata kat aja yang arah kiblat menghala ke katilnya jadi setiap kali nak solat pesakit Melayu tu akan minta izin pesakit Cina tu untuk beralih sedikit. Subhan'Allah. Aja tengok pesakit Melayu tu solat pun beralaskan selimut sebagai sejadah.

    ReplyDelete
  12. Bg yg berkemampuan adalah wajar menabung supaya dpt bersalin dihospital berbayar dimana boleh memilih doktor perempuan yg uruskan proses bersalin. Perkara ini selalu dipandang ringan dan memberi alasan tidak mampu padahal belum betul2 berusaha.

    ReplyDelete
  13. Waalaikumussalam Hajar,
    Alhamdulillah. Sebenarnya ramai orang nonMuslim sekarang, dengan adanya pendedahan meluas di media,yang semakin sedar akan cara ibadah orang Islam. Kerjasama lebih mudah didapati, lainlah jika mereka itu memang anti-Islam.
    Sebenarnya mudah saja, tak perlu minta pesakit Cina itu beralih pun [bayangkan jika pesakit Cina itu tidak boleh bergerak langsung, bagaimana?]. Gunakan saja meja kecil dll sebagai penanda.

    ReplyDelete
  14. 1000lan,
    Saya percaya semua ibu mengandung berhasrat mendapat doktor perbidanan perempuan untuk merawatnya, tapi keadaan mungkin tidak mengizinkan.Bukan semestinya kerana kos tinggi{rm8ribu untuk cesarean dan penjagaan ibu anak di swasta]. Seperti kes saya, kerana dikategorikan berisiko tinggi, hospital muslimah tidak mahu menerima dengan alasan hanya ambil pesakit yang bersalin normal. Jika hospital swasta pun, belum tentu dapat doktor pakar perempuan kerana bilangan mereka hanya sedikit.

    ReplyDelete