"Dia balik rumah terus masuk bilik dengan telefon bimbitnya, kunci pintu," Encik Azli, lelaki berumur 30-an itu memberitahu saya.
Maria [bukan nama sebenar] sekadar tersenyum manja. Saya perhatikan kedua-dua anak-beranak itu; seorang gadis berumur 13 tahun, seorang lagi seorang bapa tiri yang kini memikul tanggungjawab membesarkan anak isterinya.
"Perlu hadkan penggunaan telefon bimbit," saya menyuarakan pendapat.
Saya jeling ke arah deretan ibu bapa yang masih sabar menunggu giliran untuk berjumpa saya dan mengambil Buku Kemajuan Pelajar.
Encik Azli masih belum berganjak.
"Dulu dia yang minta, katanya kawan-kawannya ada, senang nak contact jadi saya pun belilah. Sekarang dia asyik dengan telefon bimbit tu," sambung Encik Azli lagi.
"Tak salah berikan telefon bimbit tapi perlu kawal. Boleh hadkan penggunaan telefon tu. Jika dia tak tunjukkan perubahan ke arah yang lebih baik, jangan bagi dia guna. Bagi dia sedar bahawa telefon bimbit yang Encik berikan padanya itu adalah satu keistimewaan, bukan haknya untuk digunakan sesuka hati," kata saya sambil menjeling ke arah Maria.
Maria, pelajar bermasalah dalam kelas saya. Sudah banyak aduan yang telah saya terima daripada guru-guru lain tentang sikapnya. Ponteng kelas. Lewat ke kelas. Menganggu ketika guru mengajar. Bercakap kurang sopan. Minggu lalu ditahan oleh guru disiplin sekali lagi kerana kesalahan yang lebih serius.
Saya terpaksa menghantar pesanan ringkas kepada Encik Azli supaya ke sekolah pada Hari Terbuka Sekolah untuk sama-sama membincangkan prestasi anak. Risau Maria tidak menyampaikan surat yang diberikan oleh pihak sekolah. Alhamdulillah, Encik Azli menghadirkan diri.Lama dia duduk di meja sambil membincangkan masalah Maria dengan saya, sambil didengari Maria. Dia nampaknya banyak mengamalkan sikap berdiplomasi dengan anaknya.Mungkin sebab status anak tiri itu menyebabkan Encik Azli lebih berlemah-lembut dengan Maria.
"Tak apalah, cikgu. Saya beri sedikit masa lagi padanya. Kita tengoklah nanti sama ada markah yang merah ini bertukar kepada hitam pada akhir tahun," dia mengakhiri perbincangan.
"Baiklah. Kami pihak sekolah pun mahukan yang terbaik bagi Maria. Sekarang dia di bawah pemerhatian pihak sekolah. Dia sendiri perlu ubah sikap dan berikan tumpuan pada pelajaran. Kita doakan yang terbaik untuknya."
Wanita Cina itu menggeleng kepala apabila melihat keputusan peperiksaan anaknya.
"Dia ni nak jadi macam tahi [tak berguna kepada masyarakat]," katanya dalam loghat Hokkien sambil menjeling tajam ke arah anak teruna yang tinggi lampai.
Saya tergelak. Istilah Hokkien yang agak kasar itu tidak serasi dengan wajah kacak Ryan [bukan nama sebenar]. Nampaknya si ibu marah benar.
"Kalau dia tak nak belajar elok-elok, besar nanti kutip sampah sajalah [sebagai pekerjaan dia]," saya senyum sambil mengiakan pendapat si ibu itu. Bukan menghina pekerjaan pengutip sampah tetapi itulah istilah Cina yang biasa digunakan untuk menggambarkan seseorang itu sudah tidak berkemampuan membuat kerja lain yang lebih baik.
"Dia ni, hari-hari main komputer. Buka internet, duduk berjam-jam di depan komputer. Katanya, nak cari bahan tapi entah apa yang dia buat sebenarnya. Saya bukan tahu guna komputer," adu ibunya lagi.
"Perlu hadkan penggunaan komputer. 2 jam sehari cukuplah. Budak-budak ni suka main game, kalau tak sekat nanti mereka tak baca buku."
"Betul, betul kata awak," si ibu angguk setuju. "Dengar tu, cikgu awak sendiri kata 2 jam sahaja. Tengok markah dah banyak merah."
Saya senyum melihat telatah si ibu yang agak 'hangat' melihat markah peperiksaan anak, dan anak yang menggaru kepalanya yang tidak gatal itu. Pagi-pagi lagi Ryan telah merayu pada saya agar 'bercakap perkara yang baik-baik di depan ibunya'.
"Ryan baik di sekolah. Tiada masalah disiplin. Tapi dia perlulah lebih rajin belajar supaya prestasi dia bertambah baik. Rotan saja di rumah jika dia malas belajar. Ini masa depan dia, jika prestasi lebih teruk nanti, dia juga yang susah," saya mengakhiri perbincangan sekali lagi.
"Dia suka tonton tv, tu masalahnya. Duduk di depan tv tu, dah tak gerak-gerak," wanita Melayu itu pula mengadu tentang anaknya, Yati.
Yati menundukkan kepala, malu.
"Yati perlu ada disiplin diri. Kita sebagai ibu bapa pula harus mengehadkan penggunaan media seperti tv dan komputer jika anak-anak tak nak belajar dan buat ulangkaji pelajaran di rumah. Di sekolah pun, cikgu-cikgu selalu mengingatkan, mesti bijak membahagikan masa. Kita di rumah pula boleh simpan remote control jika anak-anak asyik dengan tv. Gantung rotan di rumah, biar dia nampak rotan tu. Jika tak ikut kata, rotan," saya berikan saranan.
"Dia lebih besar dari saya, camna nak rotan?" kata si ibu itu.
"Bagi bapa dia pula yang rotan. Yang penting, kita didik dia, jangan bagi dia sebagai anak yang kawal kita."
Saya memandang wajah Yati yang berkulit hitam manis.
"Kesian mak kamu kerja teruk-teruk, tapi kamu tak belajar dengan rajin Jika terus malas belajar, kahwin saja. Lepas tu, bolehlah tonton tv hari-hari, tak payah datang sekolah belajar dah.".
Yati menggelengkan kepala; dia tahu saya mengusiknya.
" Yati kena rajin. Jika boleh jangan ada bunga merah di atas kertas ni pada akhir tahun. Bunga merah ni busuk, bukannya wangi, tau," saya menghulurkan buku kemajuan itu kepadanya.
Ibunya ketawa sebelum bersalaman dengan saya.
Setelah bertahun-tahun menyampaikan Buku Kemajuan Pelajar, saya dapati ibu bapa yang prihatin terhadap pelajaran anak-anak akan berusaha untuk menghadirkan diri ke sekolah semata-mata untuk berjumpa dengn guru. Ada yang sanggup mengambil cuti. Ada yang bertukar shif kerja. Itulah sikap yang terpuji. Saya menghargai pengorbanan mereka. Berikutan itu juga, saya selitkan juga nilai-nilai positif anak-anak mereka supaya mereka tidak terlalu kecewa dengan prestasi anak-anak mereka yang tidak begitu cemerlang. Tidak boleh mengutuk semata-mata; kasihan si anak kerana tiada seorang pun yang mahukan kegagalan.
Namun begitu, kini dengan adanya gajet seperti telefon bimbit dan komputer peribadi, segolongan ibu baoa sudah hampir hilang kawalan terhadap anak-anak mereka. Dengan alasan itu alat yang penting dalam hidup pelajar remaja dan membantu pembelajaran, diserahkan bulat-bulat gajet tersebut kepada anak-anak.
Ada yang membiarkan anak-anak yang masih mentah dan kurang disiplin diri itu bergaul dengan komputer tanpa batas. Yang sedihnya, ramai ibu bapa yang tidak tahu menggunakan komputer serta internet, maka mereka gagal mengawasi penggunaan komputer si anak. Mereka ditipu bulat-bulat oleh si anak yang semakin bijak menyembunyikan kegiatan 'haram' mereka itu dengan alasan mencari bahan untuk projek sekolah sedangkan sebenarnya mereka bermain online game atau sedang chat dalam Facebook sehingga awal pagi.
Yang lebih berkemampuan pula akan menghadiahkan telefon bimbit yang serba canggih kepada anak. Sudah menjadi satu jenaka dalam kalangan guru bahawa telefon bimbit yang digunakan oleh pelajar adalah lebih canggih dan mahal daripada kepunyaan warga pendidik. Hadiah itu jua yang boleh merosakkan akidah serta tumpuan anak-anak terhadap pelajaran. Tidak kurang yang memberi alasan berhubung dengan kawan-kawan untuk bertanyakan hal pelajaran, tapi sebenarnya mereka sedang bergayut dengan teman lelaki/perempuan sehingga berjam-jam. Malah ada yang berjaya membuat temujanji dengan kawan untuk ponteng sekolah pada hari yang sama supaya dapat ber'dating' di lokasi tertentu [dah ramai tertangkap dan mengaku]. Semua gara-gara adanya alat perhubungan itu. Yang lebih tenat pula akan merakamkan aksi kurang sopan mereka [tidak bertudung, video lucah dll] untuk disebarkan kepada rakan-rakan. Dan malangnya semua dilakukan tanpa pengetahuan ibu bapa yang memberi sepenuh kepercayaan kepada anak-anak tanpa sistem kawalan yang baik. Cakap terus terang, saya tidak nampak keperluan memberikan telefon bimbit kepada anak-anak yang masih belajar di sekolah, lebih-lebih lagi anak-anak yang berada di rumah yang sama dengan ibu bapa. Sedih bila mendengar pengakuan pelajar bahawa wang saku yang diberikan oleh ibu bapa digunakan untuk membeli top-up supaya dapat bergayut/ber-sms berjam-jam dengan teman di telefon tanpa tujuan mustahak.
Pada pendapat saya, tidak salah jika memberi hiburan kepada anak-anak tetapi perlulah dikawal. Mereka memerlukan hiburan tapi hiburan yang membantu mengembangkan minda dan membaiki akhlak. Kawal mereka dengan cara mendisiplinkan diri mereka. Jika mereka masih gagal dari segi disiplin, terpaksalah ibu bapa yang mengehadkan penggunakan gajet seperti menyimpan remote control tv, menguncikan bilik tv, mengurangkan penggunaan internet dan perbualan telefon bimbit jika tidak menyiapkan kerja sekolah, memblok website tertentu dalam komputer anak, membuat kod rahsia untuk menghalang anak-anak menggunakan komputer sesuka hati, serta memeriksa sms dan foto dalam telefon anak-anak [tidak salah membaca sms anak kerana itu tanggungjawab ibu bapa terutama terhadap anak gadis mereka].
Malangnya, ada ibu bapa yang agak takut menggunakan hak mereka terhadap anak-anak, dengan alasan nanti anak merajuk, nanti anak tuduh mereka mencabul hak 'privacy', dan sebagainya. Itu adalah propaganda media barat yang tidak seiring dengan cara mendidik anak-anak ikut acuan Islam dan al-Quran. Tanggungjawab ibu bapa terhadap anak terutama anak perempuan berat dan memang menjadi tugas mereka mengawasi tingkah laku serta pergaulan anak.
Lebih merisaukan, dari pengalaman saya menguruskan anak gadis orang, remaja perempuan sudah mula berminat terhadap kaum Adam dari umur 11 tahun. Ia memuncak apabila mereka menjejakkan kaki ke sekolah menengah. Keadaan sekolah menengah harian yang membolehkan pergaulan bebas lelaki dan perempuan pula mewujudkan suasana mesra yang kadang-kala memerlukan pengawasan rapi para guru dan pihak sekolah. Jikalau anak gagal ditanam dengan iman dan ketakutan melakukan dosa yang dimurkai Allah, boleh mengundang bencana pada kemudian hari.
InsyaAllah, jikalau ibu bapa sepakat dan konsisten dalam sistem pengawalan disiplin anak-anak serta sentiasa meluangkan masa mendampingi mereka, mereka mampu mengubah keadaan ke arah kebaikan. Mulakan dari zaman kanak-kanak lagi.
Tanamkan didikan agama yang kukuh pada jiwa anak-anak agar mereka takut pada kemurkaan Allah swt dan patuhi ibu bapa.
Sabda Rasulullah s.a.w, "Setiap anak dilahirkan ke dunia dalam keadaan suci bersih. Maka kesalahan ibu bapalah menjadikan mereka Yahudi, Nasrani atau Majusi"
"Saya tak tak dapat kawal dia, cikgu," akui seorang ibu kepada saya.
"Doakan dia, puan. Paling tidak pun, kita doakan anak kita dengan doa yang baik-baik, insyaAllah diperkenankanNya. Bukankah doa ibu itu mustajab?"
Tahniah Puan Aliyah krn memberi nasihat yg penting, tepat & sgt berguna. Inilah cabaran terbesar & berleluasa di kalangan remaja kita sekarang, dgn akibat2 yg buruk (yg kita semua tahu) akibat serangan hebat dari media IT.
ReplyDeleteTinggal lagi kita perlu bentengi remaja dgn perisai unsur2 keagamaan, aqidah, moral yg kuat. Pengaruh rakan sebaya serta trend mengikuti budaya asing juga amat hebat melanda kebudayaan kita sndri.
Tindakan tegas serta bijak drpd bubapa/penjaga amat diperlukan.
Akhirnya, remaja juga yg perlu dipertanggungjawabkan (mmg mrk sudah akhir baligh & tdk terlepas drpd dosa/pahala).
Jadi, tepuklah dada....tanya SELERA!!!
Wassalam.
teringat saya pengalaman sebagai murid sekolah utamanya pada kisah mak cakap anaknya nak jadi tahik, hahaha. saya pun bukan pelajar baik juga di sekolah. sampai dikejar cikgu untuk kelas matematik. saya bukan apa cuma berasa malu saja kadang2 kawan-kawan kita mendapat keputusan yang baik tetapi kita masih di tahap yang teruk. dapat keputusan je saya akan lari sembunyi dalam tandas x mahu perbincang. masa guru panggil ibu bapa beramai2 di dewan sekolah ke, macam masukan ini saya akan berasa muka begitu tebalnya. nak nangis hai saya malu lah nanti dikatanya bukan lelaki lah awak. nak dikatakan x rajin tu x adalah. mungkin sudah lumrah remaja atau kanak2 suka memberontak dan mahu bermain2.
ReplyDeleteadik bongsu saya pun masalahnya hampir sama. mak pernah menangis lah di depan cikgu masa dipanggil ke sekolah. tapi adik memang bermuka tebal. saya tak tahu mana dibelajarnya.
saya setuju pendapat puan dengan pembelajaran akidah dan iman diutamakan. kita sebenarnya kekurangan kerohanian walaupun mengejar duniawi. sebenarnya iman dan akidah memang menjadi pembentuk disiplin hidup. saya dulu pun x pahamnya tetapi lepas dah meningkat tua ni baru nak menyedarinya. pada asasnya memanglah kena bertegas dahulu dengan anak2, tetapi apabila anak2 sudah mula meningkat besar dia akan melihat suasana sekelilingnya. jadi apa sahaja tindakan ibu bapa kemudiannya akan dipersoal.
kalau perbandingan anak2 dengan anak orang contohnya: "kenapa lah awak x jadi mcm anak makcik tu makcik ni. dia tu rajin, pandai, berdikari, sebagainya." hal ni memang mengguris perasaan anak2. nanti anak akan terpikir lah, kalau awak tahu saya tak guna, dari awal saya mcm ni mengapa awak lahirkan saya lagi? atau macam makcik itu katakan kepada anaknya: "awak ni tak berguna lah." kata2 negatif itu sebenarnya berkesan juga kepada anak walaupun bermuka tebal. saya tahu adik saya terasa hati juga jika dikata begitu walaupun pd zahirnya tak menunjukkan tindak balas.
x kira buruknya anak pun keluarkan kata2 positif lah sebab ibu bapa pangkat lebih tinggi daripada anak2. anak2 x akan boleh melawan kata ibu bapa jadi akan tersimpan dalam hati menjadi luka dan parut.
maaf bahasa melayu saya akhir2 ni jadi buruk pulak. beberapa lama tak bercakap bhs melayu tp ini pandangan peribadi saya lah.