"Assalamualaikum..."
Saya terkejut. Cepat-cepat mengintai dari celah baju-baju yang telah disidai di depan rumah.
Alamak! Ada seorang lelaki di depan pintu pagar. Nampak gaya seperti seorang pengutip derma.
Saya pula masih tercegat di tepi ampaian, dengan selonggok baju-baju yang perlu disidai. Seperti biasa, aurat memang dijaga ketika di luar rumah tetapi hati masih berasa kurang selesa dengan kehadiran si dia itu di depan pintu pagar.Jiran-jiran pula sama ada berada di dalam rumah yang pintunya bertutup rapat ataupun telah keluar. Maklumlah, petang hujung minggu.
"Waalaikumussalam," saya menjawab ringkas. "Ada apa hal?"
Lelaki berbaju putih itu masih berdiri di situ.
"Saya sedang mengutip derma untuk anak yatim Myammar," katanya.
"Tolong letakkan nama dan risalah encik dalam peti surat saya. Nanti suami saya baca," saya memberikan cadangan. Cuba mengelak daripada menghampirinya.
"Maaf, saya tak ada kertas lain. Saya buat kutipan terus. Ini surat dari Jabatan Agama dan gambar kami" katanya pula seperti memujuk.
Saya intai-intai dari jauh. Hmmm, memang betul. Ada beberapa keping gambar seperti kanak-kanak Myammar. Ada sekeping surat kebenaran mengutip derma daripada Jabatan Agama Islam Kedah [Jabatan Agama Islam Kedah? Mengapa datang ke Pulau Pinang untuk kutip pula? Mana surat kebenaran dari MAIPP?] Saya diamkan sahaja isu itu.
"Maaf ya, suami saya dalam rumah. Nanti saya panggilkan dia," saya memberitahunya.
Terus saya masuk ke dalam rumah lalu memberitahu suami tentang kehadiran lelaki tersebut.
"Mana? Tak ada pun," suami pula bersungut sebab diganggu rehatnya.
"Eh, tadi ada. Lama dia di depan pintu pagar rumah kita."
"Dah lari," kata suami.
Sah dia dah tak di kawasan rumah kami. Mungkin sudah beredar ke blok lain.
Hmmm... saya akui, saya memang tak selesa setiap kali didatangi pengutip derma yang beroperasi dari rumah ke rumah. Jikalau tak dengar panggilan mereka, dikira selamat. Namun seperti tadi, ketika saya sibuk dengan kerja rumah di halaman rumah, susah untuk mengelak. Tambahan apabila mereka sudah tercegat di depan pintu pagar dan nampak kelibat saya.
Hampir setiap bulan ada sahaja orang yang datang ke rumah mengutip derma. Agaknya mereka menganggap kawasan rumah saya yang dua tingkat itu rumah orang kaya.
Pernah saya didatangi lelaki warga asing yang katanya mengutip derma untuk orang Palestin. Pernah didatangi wanita dengan kanak-kanak perempuan dengan alasan mengutip derma untuk surau di negeri lain. Hairan, tak pernah pula ada yang mengutip untuk kawasan berdekatan.
Saya paling tak selesa apabila mereka enggan beredar dari pintu pagar selagi saya tak layan mereka. Namun jikalau saya hampiri, takut pula ada niat buruk di sebalik penampilan mereka. Tambahan lagi apabila saya berseorangan dengan anak kecil di rumah. Oleh itu, saya memilih untuk tidak menjawab salam mereka jika saya berada di dalam rumah [setahu saya, jika salam tidak dijawab sebanyak 3 kali, orang itu perlu beredar]. Jikalau saya sudah berada di depan rumah, saya akan minta mereka memasukkan risalah ke dalam peti surat rumah sahaja. Bukan kerana tak bersimpati dan tak mhu tolong, tetapi demi keselamatan diri saya sendiri. Zaman sekarang ini, apa-apa sahaja boleh berlaku. Air yang tenang jangan disangka tiada buaya.
Satu alasan lagi, saya tidak suka memberi derma di depan pintu pagar rumah, lebih-lebih lagi kepada lelaki yang tidak dikenali. Tidak sesuai bagi seorang wanita tambahan yang bergelar isteri dilihat berduaan di depan rumah dengan seorang lelaki bukan mahram, walaupun lelaki itu hanya bertindak sebagai pengutip derma. Ia boleh mengundang fitnah. Tetapi mereka yang datang tanpa diundang itu [lelaki] pula seolah-olah tidak memahami ataupun sendiri tidak kisah, memanggil-manggil dengan suara yang kuat.
Mengapa mereka perlu mengutip derma dari rumah ke rumah?
Sekiranya amat perlu, boleh sahaja serahkan risalah, nombor akaun bank dan borang kutipan kepada pihak organisasi, surau atau masjid supaya lebih ramai umat Islam yang ikhlas mahu menderma dapat berbuat demikian. Mungkin ia akan mengambil sedikit masa untuk mendapatkan kembali kutipan derma tetapi bukankah itu lebih selesa dan mudah jika dibandingkan dengan susah payah berjalan dari rumah ke rumah, memanggil tuan rumah dan meminta belas orang sambil berdiri di bawah panas terik matahari?
Derma ekspres? Hasilnya tentu tak seberapa.
Kasihan juga melihat mereka yang datang itu berpeluh-peluh di bawah sinar terik matahari tetapi keselamatan sendiri masih perlu diutamakan. Lebih-lebih lagi saya seorang wanita.
Kata suami, daripada menanggung pelbagai risiko melayan mereka yang berdiri di depan pintu pagar rumah itu, lebih baik memberikan derma terus ke tangan badan kebajikan yang memerlukan seperti rumah anak yatim, surau atau sekolah tahfiz yang kita tahu kewujudannya.
Assalamualaikum.
ReplyDeleteYa benar apa yang suami kak cakap tu. Bukannya kita tidak bersimpati dan tidak bersedekah, tetapi perlu bersedekah kepada tempat dan orang yang betul.
Juga pernah didatangi seorang peminta sedekah yang mengutip derma di surau Thailand. Saya sedang berfikir... Takkan penganut Islam di Thailand sanggup datang ke Perak untuk mengutip derma semata-mata?
Bukankah lebih baik bersedekah kepada rumah anak yatim, surau, sekolah tahfiz yang memang memerlukan perbelanjaan?
Rasanya tak salah kita memberi derma kepada sesiapapun untuk tujuan kebajikan yang diharuskan agama. Bukan nak riyak, rasanya aku tak pernah menghampakan sesiapapun yg mengutip derma walaupun datang kat pintu rumah. Mungkin derma aku tu tak banyak tapi yang penting yang datang mengutip derma tu datang mengutip untuk perkara yang harus dalam agama seperti membina surau, bina masjid, bina pondok pengajian dan sebagainya. Aku tak kisah pun jika mereka menipu sebab bila niat kita baik maka ia tetap berpahala. Bagaimanapun hati kita mesti ikhlas selalu jangan merungut-rungut dalam hati. Nak bersihkan hati kita bukannya senang. Jadi rasanya tak salah kita beri derma pada sesiapapun walau dimanapun asalkan ianya untuk kebaikan Islam. Biasanya jika kita sentiasa beprasangka buruk ini mungkin bermakna hati kecil kita masih belum lagi bersih....
ReplyDelete.....satu lagi....pernah tak kita terfikir, mungkin ALLAH hendak memberi kita pahala melalui pengutip derma yang datang kepada kita di mana-mana saja kita berada dan pada bila-bila masa. Pernah atau tidak kita terfikir, setiap manusia yang perlu pertolongan daripada kita itu mungkin digerakkan oleh ALLAH samaada nak menguji kita atau untuk membolehkan kita mendapat pahala 'percuma' dengan memberi sedikit bantuan kepada mereka...pernah tak kita berfikir begitu...? Renungkanlah...
ReplyDeleteWaalaikumussalam Ikhwan,
ReplyDeleteYa, setuju. Bagi saya mudah saja.. janganlah kita menjadi seperti orang yang anak kera di hutan disusukan, anak di rumah kelaparan. Utamakan mereka yang dekat dan memerlukan. Zaman sekarang, bukan mudah nak uruskan belanja rumah, maka setiap sen yang dibelanjakan[tak kiralah untuk apa pun] perlulah secara berjimat-cermat dan hemat.
studioukm,
ReplyDeleteSaya tak menafikan hak mereka yang datang ke rumah untuk mengutip derma, selain daripada pendapat saudara tentang hikmah bersedekah. Tapi topik di atas ditulis daripada perspektif seorang wanita dan isteri yang berada di rumah sendirian. Pada pendapat saya, banyak lagi cara lain yang lebih sesuai untuk mereka mengutip derma kerana jika mengutip dari rumah ke rumah,boleh memaksa para isteri yang berseorangan di rumah untuk keluar menghulurkan derma tersebut. Jika tak keluar derma, boleh timbul rasa bersalah;jika keluar maka menanggung risiko dirompak dll. Lagipun setahu saya, dalam Islam menjaga keselamatan diri dan ahli keluarga sendiri serta bersedekah kepada saudara terdekat yang memerlukan itu lebih diutamakan. Bagi seorang isteri pula dia perlu menjaga maruah diri dan mengelakkan fitnah yang boleh menganggu keharmonian rumahtangga.