Friday, June 24

"SAYA TAK SANGKA PUN.."

"Dah berapa bulan?" saya bertanya pada wanita yang duduk di sebelah saya.
Kami dah kena tahan. Tak dibenarkan keluar dari bilik. Walaupun untuk mengambil beg dari kereta.
"Telefon suruh suami ambil," kata jururawat bertugas.
Wanita yang kelihatan sebaya umur saya itu [dari raut wajahnya] menjawab," Tujuh bulan. Semalam baru tahu."
 "Tahu apa?"
"Tahu yang saya mengandung. " senyumnya melebar.
"Baru tahu? Kira selama ni tak ada tanda yang awak mengandung? Haid macam mana?" saya hairan.
"Haid saya tak tetap, kadang-kadang 5 bulan sekali. Cuma baru-baru ni saya rasa tak sedap badan, ingatkan angin. Jadi saya ke klinik kesihatan ni semalam, jumpa doktor di bahagian pesakit luar. Doktor kata angin, dia nak bagi ubat angin tapi saya minta buat scan. Saya risau penyakit lain."
"Oh, gitu. Jadi scan di bilik Dr. Naimah [doktor yang bertugas di bahagian Kesihatan Keluarga], ya?"
"Tak juga, Scan di bilik pesakit luar. Doktor Cina itu terkejut, dia pandang muka saya sambil berkata,'Ada baby la.' Saya macam tak percaya. Semua jururawat dalam bilik tu terkejut."
Saya ketawa. Itu satu berita baik.
"Alhamdulillah, tahniah. Dah ada berapa anak?"
"Ini anak sulung. Saya berkahwin 12 tahun, tak dapat anak. Macam-macam dah cuba, berubat kampung. Orang kata bomoh itu ini bagus, saya pergi. Suruh makan pisang hutan, saya makan. Mengurut tak usah nak sebut dah. Merata ceruk dah saya dan suami pergi dan berikhtiar nak dapat anak. Ambil juga ubat kesuburan di klinik tapi tak berjaya. Sampai  saya disuruh berubat dengan bomoh lelaki. Dia urut perut saya tapi isterinya ada la di sebelah. Saya naik takut jadi saya henti pergi. Hampir setahun saya tak buat apa-apa, tiba-tiba doktor kata saya mengandung," terangnya dengan panjang lebar.
Saya mengangguk faham."Suami awak mesti seronok benar."
"Dia seronok betul. Maklumlah tak disangka. Adik beradik saya pun belum tahu. Kami pun dah ambil anak angkat, anak adik saya. Dia pun dah masuk tingkatan satu."
"Allah nak bagi anak kepada awak, kira ada hikmahnya. Berkat kesabaran awak menunggu selama 12 tahun. Sekarang dah 7 bulan, dekat raya la bersalin nanti. Beraya la awak sekeluarga tahun ni."
"Dijangka beberapa hari selepas raya. InsyaAllah beraya sakan tahun ni," ujarnya gembira.
"Mengapa pula datang ke klinik pagi ini?"
"Datang buat buku merah, ujian air gula dan ambil darah. Doktor check, kata darah tinggi, terus suruh masuk wad,. Mungkin masih terkejut dengan berita saya mengandung," jelasnya lagi.
Jururawat tiba dengan dua buah kerusi roda.
"Kena naik ni, saya tolak," katanya.
"Berjalan saya tak boleh kah? Berat kami ni, dah awak tu kecil molek, nanti orang kata mat labu ni dera," saya bertanya dengan nada mengusik.
"Saya kuat lagi. Awak tak dibenarkan berjalan, kena duduk di atas kerusi roda Takut pengsan kami tak larat angkat. Jom la naik, ambulan dok tunggu kat luar," arahnya lagi.
Mahu tak mahu, kami berdua terpaksa duduk di atas kerusi roda lalu ditolak ke tepi ambulan.
"Dua [pasakit]?" tanya attenden ambulan.
"Baru ada kawan, tak sunyi," jawab jururawat yang mengiring.

Saya dan Fatimah [bukan nama sebenar] ditahan kerana bacaan tekanan darah tinggi melebihi 150/100.
Kami tak sedar pun sebab tak ada tanda-tanda seperti sakit kepala, pening dan sebagainya. Cuma saya mengalami sedikit loya kerana tersilap makan sehari sebelumnya, lalu muntah selepas waktu maghrib. Mungkin itulah puncanya bacaan naik sedangkan saya dah makan ubat.

Di dalam Wad 9, saya ditempatkan sebilik dengan Latifah, ibu kepada 9 orang anak. Anak-anaknya berderet seperti tangga; antara umur 2 tahun sehingga 17 tahun. Dia sudah cukup bulan, menunggu masa untuk melahirkan anak ke-10.Masalahnya kepala bayi masih belum turun sedangkan dia sudah mengalami sedikit pendarahan. Doktor bertugas asyik bertanya kepadanya sama ada sudah mengalami sakit hendak bersalin. Mereka risau dengan keadaannya kerana pintu rahim sudah buka beberapa sm.
Saya kagum dengan ketabahan Latifah mengharungi hari-hari menjelang kelahiran anaknya seorang diri di wad. Suami yang sibuk dengan 9 orang anak di rumah tidak sempat menjenguknya di hospital. Dia dikira keluarga sederhana saja, lagipun anak-anaknya ramai tentu memerlukan belanja tinggi.
Sudah ditakdirkan dia dipilih berkongsi bilik dengan saya kerana doktor risau saya mengalami komplikasi bila tinggal berseorangan dalam kubikel. Berada dalam bilik khas Kelas 1 ni sedikit sebanyak dapat mengurangkan stres melihat pesakit lain dikerumuni ahli keluarga pada waktu melawat, juga membolehkan kami mengerjakan solat asar serta maghrib tanpa gangguan pelawat.

Pengalaman-pengalaman saya semasa di Wad 9 selama mengandungkan Ikram dan adiknya mengingatkan saya akan kekuasaan Allah swt. Allah swt telah berfirman, maksudnya:
Dia memberikan anak perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki, atau Dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan (kepada siapa yang Dikehendaki-Nya), dan Dia menjadikan mandul siapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa. [AQ: As-Syura: 49-50]

Alhamdulillah, saya dibenarkan keluar wad pada petang tadi. Kasihan pula pada Fatimah; dia masih dalam rawatan hospital kerana disyaki mengidap kencing manis sebab mengandung.
Latifa pula masih belum tentu bila akan melahirkan anaknya.
Semoga Allah swt permudahkan untuk mereka dan semoga mereka mendapat anak-anak yang soleh.. ameen.
InsyaAllah saya pula akan kembali ke Wad 9 pada 2 minggu lagi untuk kelahiran anak kedua.

4 comments:

  1. assalamualaikum Puan Aliyah'
    Tahniah krn menghampiri masa kelahiran anak ke-2. Kami berdoa puan & kawan2 baru (kak pah & fatimah) semuanya selamat.

    Cuma ada baiknya saya rasa (dan dah tibalah masanya...terutamanya di zaman IT),masyarakat Islam lebih mengetahui ttg 'general knowledge" termasuk ttg "ilmu perubatan/kedoktoran am".
    cth:
    kak pah => grand multipara...dan apakah pula risiko2nya,
    Fatimah: gestational diabetes & kurang subur
    Aliyah: PIH....risiko berulangnya HT semasa mengandung mgkn boleh didugakan?. wlpn tanpa simptom.

    -kalau tdk nnt, mgkn kita selalu perbesar2kan "hujah2" spt: pisang hutan, angin dan urut2.

    (kepercayaan lama & norma2 lama mgkn ada tempatnya, tetapi saya fikir, tahap medical education ummah perlulah ditingkatkan lagi.

    wassalam.

    ReplyDelete
  2. semoga selamat semuanya.
    memang ada yang tak perasan diri mengandung walau dah masuk 7 bulan.

    saya sendiri, orang tak sangka saya mengandung, walaupun masa tu dah 6 bulan. tapi saya sendiri tahu la...hihi

    ReplyDelete
  3. Waalaikumussalam nas,
    Terima kasih kerana doa, ameen...
    Saya akui, saya terkejut mendengar cerita Fatimah yang berubat kampung dengan pelbagai ikhtiar semata-mata untuk mendapat zuriat. Masyarakat kita masih tebal dengan fahaman lama, yang malangnya kadangkala boleh jatuh syirik jikalau tidak berhati-hati.Kaum wanita juga perlulah banyak membaca dan menambah ilmu tentang kesihatan dan kehamilan.Dengan bertambahnya ilmu, kurangnya yang tertipu dll.
    Saya turut besyukur kerana diketemuNya dengan 2 insan yang amat berbeza- seorang ibu yang baru mengandung anak sulung dan seorang lagi [sama umur dengan saya]ibu mengandung anak ke10.
    nas, saya bukan kategori PIH tetapi essential hypertension, kerana BP tak turun-turun walaupun selepas bersalin.Memang sedar dan dahpun letih berulang alik ke klinik tetapi demi anak, sangguplah berkorban asalkan dia sihat, sempurna sifat dan selamat[insyaAllah].

    ReplyDelete
  4. Ibu Muda,
    Ni mesti kes pandai menyamar, hahaha.. sampai orang tak tahu dah mengandung 6 bulan :P
    Saya pula 3 bulan dah terpaksa pakai baju mengandung kerana perut dah buncit.

    ReplyDelete